MELIHAT HIDUP



HIDUP ATAU MIMPI?


Direnung kembali, segala kesukaran hidup itu ingin aku katakan yang ianya berpunca dari tindak tanduk diri sendiri.


Kuasa dan tenaga hidup kita yang lemah akibat benteng ego, berat melepaskan nafsu duniawi, kedekut memaafkan dan takut kalah (kerana hidup dilihat sebagai pertandingan dan perbandingan).


Akhirnya berbahagialah orang orang yang mampu mentertawakan khilaf khilaf diri dan manusia lain sambil sambil hidup dan dia terus yakin dengan landasan pilihan, kalau tersalah sekalipun dia dengan senang hati berpatah balik bagi memulakan gerak baru.


Secara amnya sudah kita bincangkan dalam topik topik yang lalu. Begitu kuatnya kita beranalisa tentang hidup kita ini. Adakalanya berbunyi bijak dan dalam banyak waktu agak bodoh kedengarannya.


Diasak orang orang terdekat dalam perbualan dan perbincangan, dihakimi oleh orang atau rasa dihakimi orang padahal orang tak kisah apapun. (sakit apa orang kata).


ini semua melibatkan pelbagai segmen hidup dari dalam unit keluarga, teman teman sekerja atau kenalan biasa. Kita pun berusaha keraslah untuk memenuhi kehendak standard dunia yang ujud di keliling kita. Berhempas pulas, masih tidak cukup, masih tidak dihargai. Kita jadi bebal, marah marah dan kecewa. Sampai terlupa kita tidak menumpu pada kemahuan dan keselesaan diri.


Kalau bernasib baik dan dihargai kita rasa wow...melayang. Kalau dikritik kita rasa tertekan. Padahal landasan itu landasan pilihan kita sendiri, takut pula mahu berpatah balik, takut mahu memulakan dari 0...kerana takut tertinggal. Padahal siapa tukang hakim kita? Manusia fana juga bukan?


Ini bukan artikel untuk kamu menjadi seorang yang REBEL. Tujuan hanyalah untuk kamu membuka mata dan lebih menyintai diri dan kemampuan kamu. Hadapi, cerna, telan jika mampu, luah kalau pahit dan bergerak pantas ke depan. Usah lagi lengai lengai mahu beranalisa berat untuk hal hal remeh hidup. Kenapa tidak itu? kenapa tidak ini? kenapa kamu jadi begini? Ingat hanya kamu yang berhak untuk bersoal pada diri dan pilihan kamu. 


Tapi saya perlukan pendapat.


Ya boleh memohon pendapat, tapi dari sumber mana? si pemberi pendapat itu pun hidupnya kuchalana bertaburan hidupnya. Harus ingat, hanya kamu yang kenal diri kamu. Selagi tidak berbahaya dan memudaratkan apa salahnya menjadi diri kamu yang sebenarnya?


Dosa dan Pahala?


Ler... ke situ pulak perginya. kiraan siapa tu? Piawaian siapa agaknya yang kamu pakai?


Kesimpulannya, dari masa ke masa bentuklah diri menjadi manusia yang kuat, kerana semakin kamu dewasa semakin banyak urusan dengan orang lain harus kamu lalui. Salurkan Tenaga dan Harapan pada yang patut patut. Berlalu pergi kalau kamu diugut (oh ya manusia gemar memberi ugutan). kamu pun kerana bodoh dan lembab, jadi takut...padahal yang mengugut itu juga manusia yang tidak sempurna.


Semoga kamu jadi manusia yang tenang dan tidak cepat GELABAH dalam hidup. Ini adalah hidup tau...bukan mimpi sayang...bangun, ceriakan hidup yang mudah ini.

Comment