RUNGUTAN



RUNGUTAN
Hidupnya penuh persoalan. Ada sahaja dengusan tidak puas hati terhadap hasil diri dan kejadian di sekeliling. Sesekali dia perasan yang dirinya bagaikan orang orang penting pemerintahan, namun sudah bersedia dengan alasan kukuh kalau disanggah.


Sangkaannya sering buruk dan ada ketikanya rasis termasuk ragu pada kaum sendiri.


Kusut masai jiwanya tiap kali menilai kejadian. Politik, Agama, Sosial, Seksualiti termasuk kisah kisah picisan. Dijadikan modal bicara yang dibawa sewaktu berkumpul akhirnya menjadikan dia kurang disenangi tanpa disedari. Bertambah lagi satu rungutan bahawa teman teman menjauh akibat memilih dan paling sedap dituduhnya orang lain itu otaknya dangkal pemalas.


Dia manusia yang marah. Tidak tahu membezakan mana satu dekat dan penting untuk ditangani. Dia juga perlu tahu ada banyak hal hal galau duniawi yang di luar mampu untuk dibaik pulih manusia sejagat. Pendekatan hidup dan nilaian tidak pernah sama dan ada ketikanya membaca saluran informasi yang salah berat sebelah.


Seharusnya dia menangani hal hal dekat. Ruang lingkung peribadi agar selesa kondusif, bantuan pada adik beradik, jiran jiran terdekat dan kerja bakti tempatan, setempat. Paling penting tumpuan adalah terhadap sejahtera dirinya (keterampilan, kesihatan dan bahagia dirinya) agar tidak muncul kelat. Bukankah segala hidup kita itu politik? Memang benar, politik diri itu lebih penting, tidakkah dia berfikir dan berusaha ke arah itu?
Sesekali apabila diarahkan agar dia menilik diri, dia jadi bertambah marah dan kesal. Bertambahlah bayang resah yang marah berbaur kesumat!


Celaka punya manusia...


Comment