ARTIKEL SWARA

BERKULIT BIAWAK MENYUSURI DUNIA

Tidak pernah terbayang separuh usia dilalui untuk terus berkisah tentang kewujudan LGBTQ.

Keluar masuk pusat pengajian tinggi menemui anak anak bangsa, berurusan dengan pihak media dan bertemu mereka yang dewasa dalam forum forum seksualiti hanya untuk berkisah keberadaan diri dan komuniti. Ia bagaikan kerja kotor yang harus ditangani kerana takut, takut jika tugasan tersebut jatuh pada perwakilan yang salah.

Muncullah saya seawal tahun 1997 setelah benar benar menjalani kehidupan sebagai Transnita. Dengan wajah dan fizik yang tidak seberapa memberanikan diri meleraikan pada umum tentang laluan hidup dan cabaran yang perlu dilalui oleh kaum Mak Nyah di Malaysia. Percayalah ia tidak mudah, sesekali seperti membuka pekong di dada.

Ini tugasan berat untuk manusia pemalu, namun dengan dukungan pengalaman sebagai bekas guru sekolah dan kerjaya pentas (penyanyi dan pengacara majlis) bermulalah kerja kerja advokasi tentang SOGIE (Orientasi Seksual, Identiti Gender dan Ekspresi Manusia). Di saat masyarakat terpana mahu tahu bagaimana kehidupan sebagai pondan (terma hina lama yang sudah jarang dipakai) tampillah saya dengan harapan, memperkenalkan terma terma seksualiti, memohon sedikit ruang untuk teman teman senasib di negara Malaysia (selalunya di bahagian utara tanah air - sekali sekala dijemput untuk ke Kuala Lumpur). Penerangan semakin betah setelah terjun ke dunia penulisan, giat bermedsos serta menghasilkan karya karya fiksyen dan non fiksyen di dunia penulisan Malaysia.

Adalah dipercayai bahawa di sekeliling, masih ramai manusia berhati mulia tanpa mengira apa jantina mereka. Kerap diusulkan bahawa kata kerja PENERIMAAN membawa makna besar nan sakral, terima atau tolak mampu berlaku dalam banyak segmen hidup, ia hak peribadi. Sayangnya Gender/Jantina/Orientasi manusia sudah dibuktikan mampu diangkat menjadi senjata politik, sosial dan agama. Di sinilah berlegarnya LGBT pelbagai polemik membebankan. Tidaklah pula dapat dipastikan bagaimana beratnya tanggungan emosi di pihak Cisgender (manusia yang emosi mereka selaras dengan gentalia sewaktu dilahirkan), apa yang pasti para Transgender (mereka yang emosinya tidak selaras dengan gentalia sewaktu dilahirkan) mendapat banyak kekangan/hadangan/kesulitan hidup demi menzahirkan  jantina masing masing. Jantina dan kelaku yang tidak pernah direkrut itu membawa masalah, bermula dari lingkung kecil keluarga, masyarakat kecil (tempat tinggal, sekolah) dan tempat kerja, menjurus pula ke tangga mahkamah syariah tanpa belas kasihan melibatkan terbantutnya kesejahtaraan manusia LGBTQ..

Menjadi perang  berterusan sejak pertengahan tahun 80an sehingga hari ini, polemik LGBT masih diangkat jadi hal tabu hanya kerana ada pihak secara diam atau terang terangan tidak dapat menerima keberadaan yang berbeza daripada mereka. Sesekali negara dikejutkan pemberitaan media yang melibatkan tingkah LGBT, hingga menyelinap masuk dalam ruang politik. Tidak kira samada ia kejadian benar atau fitnah semata mata, tidak dapat tidak masyarakat menjadi terganggu dan mula merangka penghakiman peribadi yang selalunya tidak adil, ada ketikanya begitu tidak berperikemanusiaan.

BERKULIT BIAWAK?

Untuk hidup rasa malu harus diketepikan. Atas dasar itu secara berjenaka dalam banyak wawancara, sering dijawab: "Jangan diambil kira tentang saya, saya ini berkulit biawak"

Berpakaian wanita sejak usia 15 tahun secara curi curi dan ketika cuti penggal, kemudian berpakaian sebagai lelaki bila terpaksa (ketika belajar & bekerja) membuahkan perasaan yang kucar kacir. Menjalani hidup sebagai transnita tanpa sebarang bimbingan sangatlah mengerikan. Apa tidaknya? Belanggu ketakutan akan sering ada. Merasa keseorangan dan depresi berat ditanggung sebaik akil baligh membawa dewasa.

6 tahun 7 bulan menjadi guru sekolah kerajaan (di Kelantan dan Brunei) hampir menjadikan saya gila akibat tertekan, lantas mengambil keputusan untuk berpakaian dan hidup sebagai perempuan sebaik sahaja adik bongsu tamat persekolahan (menjadi tulang punggung keluarga secara ekonomi/kewangan ketika itu). Ternyata 'berperasaan wanita di tubuh lelaki' bukanlah fasa hidup yang akan berubah selaras usia atau kematangan, saya kekal demikian. Proses menyalahkan diri tamat di situ juga sebaik diputuskan bahawa saya akan berurusan dengan Tuhan secara peribadi (kerana kiri kanan, termasuk dari komuniti mengatakan ia salah).

Proses mencari jawatan baharu amatlah sukar. Tidak ada pihak ketika itu mahu menawarkan kerja pada manusia yang dianggap aneh memalukan.

Giat memberanikan diri itulah yang dirujuk sebagai berkulit biawak. Matikan apa kata orang, kemudiannya memanipulasikan bakat sedia ada dan terus menjadi diri sendiri sambil menjana pendapatan. Hampir 20 tahun bakat digunakan untuk menyara hidup sebagai penghibur dan pengacara majlis makan malam dan kelab. Berdiri di panggung membadut diri serta menerima upah berpatutan. Ia kerja keras yang disyukuri kerana tidak perlu berdiri di lorong dan menanti ikhsan pelanggan seks yang aneh aneh.

Sesekali terbayang, apa agaknya yang bersawang dalam pemikiran Cisgender bila melihat gelagat Transgender? Ia pertanyaaan yang mencabar tanpa jawapan tepat, kerana kita masing masing tidak memakai kasut hidup yang sama.

Di usia emas ini saya sudah tidak teringin lagi mahu membincangkan tomahan, hinaan, cacian, salah hitung, hukum hakam (menurut fahaman mereka yang sempurna). Segala pilu, kemelut, resah dan panduan sudah dikongsi dalam penulisan yang ada di pasaran secara fiksyen dan non-fiksyen.

Sebagai transnita, saya adalah perempuan pada diri sendiri. Jika ditanya, untuk memudahkan suasana akan dijawab: "Ya, saya pondan, encik ada apa apa yang mahu ditanya?"

----------------------------------

MAK NYAH SEBAGAI PENGHIBUR

Sejak zaman berzaman kaum wadam/waria/darai/pondan/Mak Nyah berbakat sudah terbukti menghibur. Mereka wujud.

Penari Istana? Jururias anak anak raja dan menteri? Mak Andam pengantin, tukang jahit dan Tukang Masak hebat di kampung mereka. Kebanyakan mereka lucu spontan semulajadi, bijak dan berbakat demi kelansungan hidup. Ini termasuklah menjadi penari Ghazal Party dan menlenggok lenggok berhadrah. Akibat tekanan sosial, ada yang hanya berpakaian wanita di atas pentas sahaja sewaktu zaman masih menuntut untuk berahsia. Dalam nada berbisik masyarakat tersipu sipu berbicara tentang 'lelaki pakai perempuan' di lorong gelap.

Kumpulan PAPERDOLLS dari Manila menyerang Malaysia pada tahun lewat tahun 70an diberikan publisiti luas oleh media tempatan, awal awal lagi sudah dikhabarkan bahawa mereka adalah LELAKI sejati. Mereka hanyalah para 'impersonator' yakni peniru gerak laku selebriti ternama. (Jantan asli mana agaknya yang sudi mencari makan begitu?) Perakuan tersebut mungkin atas dasar keselamatan, mengelak dari dikecam? Lantas media menganggap mereka sebagai pakar seni di pentas. Begitu juga dengan dua tiga lagi artis tempatan yang sah sah Mak Nyah, terpaksa bertalam dua muka apabila berurusan dengan media. Antaranya Dee dan Moon, Kumar dan dua tiga lagi. Kita sebenarnya kurang jelas apakah Identiti GENDER sebenar mereka. Lantas kita anggap mereka hanyalah CROSSDRESSER yang bersiap lengkap untuk menghibur/berhibur atas pentas. Masyarakat mula merasa lega, tapi masih keliru dalam diam.

Awal 90an Malaysia mula dilanda kumpulan kumpulan penari Mak Nyah tempatan untuk kerja pentas. Lagu lagu rancak dan panas dipersembahkan dalam acara acara tertutup. The Mannequeen, Milla Sexy Divas dan Ika Fancy antara yang terawal menjadi buruan para perancang acara - 'event organizer'. Di tahun 80an Kuala Lumpur memiliki kumpulan 'impersonator' yang dibimbing oleh Alvin Tan tetapi kurang menyerlah. Pertunjukan yang meniru gaya artis itu lama lama jadi membosankan. Satu demi satu satu akan keluar, berkumat kamit meniru gaya gaya artis popular saat itu. Banyaklah juga pertandingan yang digelar 'Drag Frag' atau apa sahaja gelaran dijalankan beberapa kelab, sehinggalah tiba ke tahap Mak Nyah diharamkan 'BANNED'. Diharamkan masuk berhibur di kelab yang transphobia. Ya, sehingga kini masih ada kelab yang tidak membenarkan subjek yang ditafsirkan 'lelaki berpakaian wanita'untuk masuk bersantai.

Allahyarham Radin Sunario adik kepada bintang jazz Julie Sudiro mengumpulkan adik adik trans untuk membuat persembahan kebajikan. Mereka dilatih bekerja secara berkumpulan dan akhirnya mendapat tawaran untuk mempersembahkan bakat mereka di Pulau Pinang tanpa restu Radin Sunario.

Persembahan tersebut menjadi sejarah di Pulau Pinang, kerana ia pertunjukan setiap malam (6 malam seminggu). 2 set setiap malam. Mereka mengelar diri THE FUNKY DIVAS (mengambil tajuk album kumpulan En Vogue). Sedang kumpulan lain di tahun 1992 naik ke pentas tanpa kemantapan koreografi (step ikut mak), kumpulan ini berbeza. Mereka merancang semua bentuk persembahan mereka secara terbuka sesama ahli.. Pembukaan, Tarian rancak, host, lawak jenaka dan penutup. Ia sesuatu yang baharu di Malaysia. Sekitar 6 musim lamanya.

Penulis menyertai kumpulan ini sewaktu musim ke-2 menggantikan tukang karut mereka. Tukang karut (si jelita yang tampil untuk berlucu jenaka selama 20 hingga 30 minit) . Penulis menjadi vokalis untuk kumpulan Funky Divas. Diterima masuk setelah audisi oleh pengurus dari Singapura dengan lagu Dream Lover dan If Ever Your in My Arms Again. Sebelum itu penulis adalah penghibur selit selitan dengan kumpulan The Mannequeen dan sudah mula mengacara majlis majlis ratu sekitar Pulau Pinang.

Dengan kumpulan Funky Divas, penulis menjelajah pelbagai teknik teknik belakang dan atas pentas. Ada pelbagai disiplin yang dipelajari, teknik solekan, merancang pakaian juga aksesori hiasan, merangka persembahan, menghargai penonton dan lain lain. Sempat menyaksikan sifat sifat penari (baik dan buruk) serta ketekunan mereka. Ahli kumpulan yang masih muda remaja, hormonal rage - golak hormon, aspirasi, hajat hajat penting diri dan lain lain. Persembahan The Funky Divas berterusan sehingga dibubarkan pada tahun 1996. Masing masing membawa diri. Ketika itu tumpuan mula diberi pada kerjaya SOLO sebagai penyanyi dan pengacara majlis.

Sebenarnya ramai penari transnita sudah mejelajahi luar negara. Sejak tahun 90an mereka telah membuat persembahan secara kontrak di Macau, Hong Kong, China, Vietnam dan atas kapal pelancung. Sesekali mereka akan mewakili negara untuk persembahan persembahan di persidangan antarabangsa dan sambutannya sangatlah menggalakan sehingga menjadi sorotan media media luar. Negara sendiri tidak teringin mahu ambil pot!

Tidak banyak perubahan pada persembahan kumat kamit (mime), suak tetek, goda penonton gatal melibatkan sifat seksi mereka di atas pentas. Ia adalah asas. Seksi nama ke 2 mereka. Tidak banyak perubahan sebenarnya kalau mahu dibincangkan, tentang kisah Mak Nyah atas pentas. Cuma koreografi yang jauh lebih mantap berbading tahun 80an. Siapa yang malas bereksplorasi akan tertinggal. Meniru persembahan persembahan dari negara gajah putih tidak akan membawa mereka kemana mana. Penonton akan kagum kalau pertama kali melihat, setelah dua tiga kali ia akan menjadi  bosan,''same ole, same ole'.

Bagaimana dengan pembayaran?

Ramai yang berfikir menjadi penari mak nyah itu bayarannya lumayan. SALAH SAMA SEKALI. Ada yang tertipu dengan penganjur (Yang juga merupakan komuniti LGBT). Pembayaran lambat atau pura pura lupa bagaikan sudah menjadi adat. Penulis sering menasihati penari baharu transnita tentang hal ini, keghairahan mereka bekorban untuk pengalaman ada ketikanya sangat menakjubkan. 80 ringgit untuk satu persembahan makan malam di zaman itu adalah skema, majlis makan malam pula hanyalah di hujung minggu. (Bagaimana dengan pengangkutan dan alatan solek mereka? - tidak pulang modal). Semoga ada kesedaran tentang pembayaran harapnya!

Mereka yang benar benar berbakat dinasihatkan untuk mula berjinak jinak dengan muzik dan pembesar suara. Ini penting kerana di sinilah mereka akan mengasah bakat berjenaka dan menyampaikan mesej pada penonton. Bayarannya jauh lebih menawan! Tahap koreografi yang mantap pula akan membawa mereka ke depan. (ini termasuk tataan kostum persembahan). Ahli kumpulan harus peka dengan irama muzik semasa, lagu tradisional dan bentuk isi kandung persembahan. Kalau kumpulan mereka berterusan membuat persembahan KOSONG, mereka tidak akan ke mana mana.

Apa yang perlu dalam persembahan kumpulan Mak Nyah adalah keseimbangan bercitarasa yang mantap berkelas. Ada penganjur yang terus terang mahukan hanya persembahan SEKSI. Para penari Mak Nyah pula harus tahu apa seksi bercitarasa dan apa itu seksi KOTOR. Aksi aksi Mak Nyah membadutkan diri di pentas dan kelab kecil demi $$$ masih berlaku di pekan pekan Indo-china, namun belum mencapai tahap Burlesque di eropah.

Tidak ada saranan lain selain daripada galakan agar mereka lebih berdisiplin, terus berlatih dan menyintai kraf persembahan. Mereka harus ingat, berada di pentas bukanlah hal suka suka indah sahaja, ia sebenarnya lebih dari itu. (Pendapatan, mewakili komuniti dan jalinan sosial) Ini belum lagi bicara tentang kes kes tangkapan oleh JAWI untuk didakwa di Mahkamah Syariah. Perjuangan yang menyedihkan sekiranya para artisan pentas Mak Nyah tidak kuat semangat.

1001 jenis transnita, 1001 juga menjadi alasan mereka memilih kerjaya di pentas. Ada berhajat mahu menyelam sambil minum air. Ada yang mahu keluar dari belenggu pekerja seks. Ada yang betul betul berbakat mahu menikmati kehidupan di atas pentas dan termasuklah yang menjadikan kerjaya 'showgirl' sebagai punca pendapatan sampingan (Bekerja biasa di siang hari)


---------------------------------------------------------

NOTA: Bicara tentang pentas dalam artikel ini melibatkan pertunjukan di majlis jamuan makan malam koporat, majlis untuk makan malam kilang, pertubuhan dan persatuan, show kebajikan, majlis persendirian - private dan kelab kelab malam terbuka. The Funky Divas kini kembali dengan nafas baharu di Kuala Lumpur dengan persembahan yang lebih segar. Ini setelah berada di The Ship Bukit Bintang Milla Sexy Divas dibubarkan atas alasan pihak pengurusan.


-----------------------------------

MENULIS TENTANG SEKSUALITI (DI MALAYSIA)

Penulisan bila menyentuh perihal seksualiti sudah tentu akan menarik perhatian di mana mana negara sekalipun. Pembaca dahagakan informasi, mahu menjamu rasa teruja semulajadi. Pembaca akan sentiasa bernafsu mahu tahu.

Sewaktu PABKL 2019 terkedu saya melihat buku BAPUK terbitan Lejen tulisan Fazrin Jamal. Namun masih menanti ulasan buku bergenre thriller di goodreads, mana tahu isinya bagus walaupun terma BAPUK sebenarnya hadir dari perspektif para cisgender (atas dasar meluat).

Negara yang masih keliru pada hak asasi manusia sebaiknya peka pada butiran orentasi dan identiti seksual, ia harus ditangani dengan cermat. Ada rasa takut berdetik sekiranya penjelasan tidak tepat jatuh di telinga ketua keluarga, pemimpin masyarakat dan para alim ulama.

Dalam karya karya langka hal seksualiti sudah wujud (e.g Biru Warna - Awang Had Salleh) namun disentuh secara sipi sipi sahaja. Antara yang berterus terang dalam kadar sastera adalah novel Profesor tulisan Faizal Tehrani, terkini novel Aku tulisan Shaz Johar membincangkan secara telus kemelut lelaki gay yang menikah dan meniti saat saat penilaian diri.

Apa agaknya kaum yang digelar Trans atau Transgender?

Mudah: Mereka yang nafsu, deria berahi, gerak badan, langkah hidup tidak sejajar dengan jenis KELAMIN sewaktu mereka dilahirkan. Payung pada jenis jenis di bawahnya mewakili LGBTQ (lesbian, Gay, Bisek, Transeksual dan Queer). Ada banyak lagi tambahan pada 5 yang disebutkan.

Jika terfikir mahu menulis tentang mereka, haruslah dilaksanakan dengan seimbang dan bertanggungjawab. Kes kes berfiksyen mahu menikahkan mereka setelah insof sudah banyak ada dalam novel novel picisan Melayu. Contohnya: Bekas Mak Nyah dinikahkan dengan perempuan dan yang paling diromantikan watak lesbian/tomboy yang akhirnya jatuh kasih pada jejaka. Jelasnya  di sini ada kekeliruan perihal orientasi dan identiti seksual atau apakah itu mungkin impian penulis yang bergender sempurna? Sama sahaja dengan karya karya seronok yang menggunakan terma Gay untuk menghina hero jambu berimej K-Pop dalam penulisan fiksyen.

Jadi solusinya begini: Bila menulis tentang seksualiti sebagai gambaran watak, sebaiknya ia  bercitarasa, realistik dan memberi gambaran bahawa kamu sebagai penulis matang dan faham benar akan galur seksualiti yang hakikatnya berspektrumnya bercabang dan berlapis. Begitu juga jika teringin menulis tentang sakit sakit seks ia harus tepat. Pengertian tentang HAART (Highly active antiretroviral therapy), perbezaan antara gohnorea, syphlis. STD (sexually transmitted diseases) yang kini ditukar jadi STI (sexually transmitted infections) secara global dan simptom simptom itu haruslah berbunyi menyakinkan. Bukanlah melulu melakar kisah badan berkudis, kurus kering setelah diberitakan kena Hiv atau Aids. Buatlah sedikit kajian.

Sama seperti gambaran PELACUR (yang kini termanya jadi PEKERJA SEKS) digunakan untuk sajak, puisi, cerpen agar berbunyi gah! Wow! Menangkap! Juga sensasi... kamu masih ingat terma 'Perempuan WTS' di Indonesia? Ia berbunyi agak murni tetapi membawa makna tidak elok, Wanita Tanpa Susila. Di mana pula representasi pekerja seks lelaki? Apakah kerana penulis tidak pernah nampak, maka ia tidak wujud dalam sastera?

Saya fikir bagi mereka yang ingin menulis tentang pekerja seks harus mendalami sistem yang pelbagai dahulu. Banyak membuat siasatan dan mata harus lebih liar, peka serta terbuka mengkaji suasana. Pekerja seks yang bagaimana? Kamu fikir semua pekerja seks itu tampil seperti di filem? Berbusana pendek buah nangka warna merah? Menghisap rokok di lorong gelap dan asapnya berkepul? Apakah mereka masih seperti gambaran yang sudah dipamirkan oleh A.Samad Said bertahun dahulu di Singapura lama, duduk berhimpun pelbagai bangsa?

MISREPRESENTED (salah representasi) adalah hal yang paling digeruni oleh manusia trans. Hal yang subjektif ini sekiranya silap ditangani perspektifnya oleh penulis cisgender besar kemungkinan akan membawa pada perbalahan. Namun, sebagai mendukung penulis penulis cisgender yang berfiksyen secara adil, kita katakan bahawa 'Sastera kekal sebagai wadah untuk diperdebatkan'

Sebagai penulis transnita yang banyak menyentuh hal seksualiti dalam penulisan saya sebenarnya agak terbuka untuk membaca nilaian penulis dari kelompok mana sekalipun asalkan termanya betul, berpada dan tidak semberono melencong. Perspektif mereka akan membuatkan saya sebagai pembaca merasa teruja. Gambaran watak watak gay yang campy, flamboyan, gaya lucu orang salon, dialek dialek trans atau lakaran eksotik bercitarasa seperti bab pemulaan novel Arudhati Roy dalam The Ministry of Utmost Happiness memaparkan watak hijras tanpa sebarang pengadilan. Terkini hangat dipersoalkan pula tentang penulis John Boyne dengan novel baharunya bertajuk My Brother's Name is Jesicca (dikatakan tidak pantas jadi representasi trans – namun kita tidak pasti samada ia hanyalah alat untuk iklan/pemasaran percuma). Pokoknya harus dibaca dahulu.

Ada penulis yang menulis prihal seksualiti secara umum dan sepintas lalu sahaja. Tidak kurang juga yang mahu menyertakan nilai pandangan spiritual dan keagamaan mereka (Paling teruk mula menerakakan sang LGBT seolah dia itu Nabi atau Tuhan). Tidaklah diharapkan mereka (para pengkarya) tahu membezakan secara tepat apakah itu gay, bisek palsu, crossdresser dan transvestite. Representasi biarlah adil dan memberi warna pada fiksyen bila perlu.

Sama seperti menulis fiksi bergenre jenayah, tidaklah adil dikatakan bahawa mereka hanya boleh tulis sekiranya mereka sudah terlibat dengan jenayah. Penulis yang baik sudah pasti lambat laun akan melewati batas seksualiti setelah melalui batas batas lain sewaktu merangka fiksyen.

Rangka dan tulislah dengan penuh keadilan, sebagai lambang matangnya jiwa kamu sebagai pemikir.

Ada caranya, penulis selalunya bijak dalam kadar terus terang, bersinis atau memberi pengamatan secara terhormat.

Berikut adalah sisipan karya fiksyen yang mewakili nasib si lesbian/pengkid yang saya fikir mewakili watak masyarakat secara adil (tanpa disebut langsung dalam penceritaan):

Sewaktu pulang lewat akibat kerja lebih waktu, aku pernah disekat. Diheret 6 anak anak jantan penghuni flat 10 tingkat. Aku cam muka semua, cuma aku tidak tahu nama mereka.

"Jangan lepas dia..."

"Peghhh...dok buat macam perangai jantan ya..."

"Sekali kau kena, kau nanti minta lagi...sedap tau, " entah suara garuk mana berbisik di telingaku.

"Apa ikat ikat... bukalah biar dada bernafas...," lelaki paling gemok kedengaran berfalsafah jengkel merentap ikat dada getahku.

Malam bagaikan membantu segala kedurjanaan mereka. Menjeritpun tidak berguna, tangan terkilas, rayuanku dipermain mainkan.

"Eh? Pandai pula kau bercakap macam pompuan betul...," perlian entah siapa di antara mereka.

Mereka puas, bergilir gilir membaham ratah aku seperti binatang. Saat itu, segala tentang diriku menerpa bagaikan video ulang tayang di minda. Kemeja lelaki, seluar jeans, kasut sukan, hempas pulas mengikat dada dan rambut pangkas pendek oleh sang mamak di pekan. Antara basah tangis, masin darah dan lendir lendir di kelengkang menjadikan aku tidak tahu apa perasaan sebenarnya, esok apa akan jadi? Mahu diceritakan pada siapa? Segalanya tamat bila aku bagaikan terdengar hilai tawa manusia beramai ramai... bunyinya bagaikan seluruh penghuni flat bergabung, bertepuk seronok pada situasi padan mukaku.

Kederatku kuatkan. Tercari cari punat lif yang hilang akibat sifat penghuni, budak india yang mengesot ke belakang kerana ketakutan melihat darah dan bajuku yang rabak.

"Jatuh motor...," aku berbohong

NOTA: Sebenarnya setelah membaca buku yang tidak melintas langsung watak watak trans kita akan merasa pelik di alaf ini. Mana mungkin di alaf baharu seluruh pengisian itu dikermuni oleh cisgender sahaja. Begitu juga paparan drama dan filem, mana mungkin watak anak, adik, pakcik atau kenalan mereka itu jantan atau perempuan betul semuanya. Aneh bukan? Kalau ada sisipan watak trans sekalipun ia akan tidak tepat dan hanya bertujuan badut badutan.

Kamu fikir bagaimana?

-----------------------------------

PENULISAN MEWAKILI JANTINA?

Menulis sebenarnya adalah proses memilih kata kata. Paparan dalam naskah pula akhirnya dibaca sebagai suara dalaman penulis. Betul, segala garapan lengkap itu adalah perspektif mutlak si penulis.

Pernahkah kamu memperuntukkan waktu untuk melihat bentuk jantina dalam penulisan? Tidak kiralah samada artikel, buku motivasi atau kerja fiksyen. Sudah tentu pernah, kisah biasa selalunya melibatkan Lelaki dan Perempuan.

Secara antarabangsa memang sudah ada kajian tentang perbezaan jantina ketara dalam berkarya; pemilihan jalan cerita, ekspresi dialog, penekanan aspek aspek tepat melibatkan gerak penceritaan dan termasuklah pemilihan ayat. Namun dalam konteks tempatan, hal ini jarang dibincangkan. (Ia bukanlah mencakupi hal hal jantina seperti HE/SHE atau seperti bahasa Perancis, Arab dan Siam yang ada jantina walaupun menyebut objek atau hal materi - masmuka- masmuki, kha - khapp).

Membaca novel secara teliti memungkinkan si pembaca berteka teki akan jantina penulis (Jika nama samaran digunakan). Ada ketikanya representasi watak dan pemilihan ayat dan dialog menjadikan pembaca tertanya tanya, penulis ini lelaki atau perempuan? atau apakah beliau seorang LGBT? Jangan silap faham, penulis LGBT antara yang paling bersinar dalam mengekspresikan watak, apatah lagi bila menyentuh soal soal masakini yang melibatkan trend dan stail kehidupan yang tidak dapat tidak harus dimasukkan dalam penulisan.

Ada ketikanya luahan dalam tanda kutip bernada sama... luahan perempuan begitu, si lelaki juga begitu.. (Ya, ada banyak naskah yang dibaca begitu, asal sedap puitis? - No name shall be mentioned here, it includes some international writers and publications) Begitu juga luahan dari si bijak dan si bodoh, bunyinya sama pintar. Aneh bukan? Penulis yang baik tahu, ekspresi yang bagaimana bila mereka masuk kasut jantina pilihan - dua buku tulisan penulis perempuan tempatan yang saya fikir mampu mewakili watak lelaki adalah: RAKA - oleh Mahizan Hussien dan BINGIT - Oleh Jihan terbitan Fixi Malaysia

Penulis Queer pula bila menulis, terlupa bahawa ada representasi watak di dalamnya. Ada dialog dialog yang tidak seharusnya hadir dari mulut si lelaki atau si perempuan cisgender sebagai mewakili watak. Mungkin ini tidak disedari oleh pembaca yang hanya membaca untuk menghibur hati dengan cerita cerita Queer.

Ingat: Bila berfiksyen luahan atau gambaran watak dalam penceritaan mewakili status Jantina, Kewangan, Ekonomi, Politik, Usia dan latar akademik

Apalah penting sangat representasi jantina oleh penulis?

Benar juga, novel dibaca hanya untuk hiburan, tetapi penglipurlara yang baik seharusnya mampu dan peka memperlihatkan garapan ulah jantina watak pilihan secara penulisan (walaupun ada ketika mahu berjenaka secara tidak konvensional) Ada beberapa naskah sebelum ini yang berplot baik dirosakkan oleh representasi jantina yang tidak tepat.

--------------------------------------------------------------------------------------------

CONTOH:

"Auw... seksi you... tergoda I,"Rahman sengaja memondan diri bila melihat Razak teman sepermainan yang didandan baju melayu, siap bertanjak lengkap di hari perkahwinan

"Kau jangan macam macam aku teranjang kang...!" Razak spontan bereaksi, rasa cemas sebenarnya ikut serta bila terpaksa berbusana pengantin yang lengkap.

----------------

Tuala basah disibai ke longgokan baju. Berbogel, matanya sempat melihat kamar yang semak, cermin retak tinggalan penyewa lepas memantul imenjan tubuhnya yang kekar. Sempat melintas di kepala akan usaha selama ini mengumpul wang sebanyak mungkin. Penat membanting tulang, dua pekerjaan demi memenuhi permintaan 10K dari keluarga Raziah. Kepala tanpa sedar digeleng, sewa 350 kamar ini hanya untuk mandi, pulang, mandi dan tidur 5 jam dalam rutin membosankan saban hari. Apa jenis hidup jika berterusan begini?

--------------------------

Anak tudung mencengkam kemas. Disapunya bedak padat biar rata, sedikit alit bibir merah muda. Serlum bawal sifon lebih mudah berbanding belitan Yuna.

"Sapulah bedak dan gincu sikit biar nampak berjenis," pesan ibunda di kampung menerpa.

Kalau diikutkan hati dia mahu bebas dari semua ini, kenapa harus kita berhempas pulas hanya untuk terlihat cantik di mata orang? Kalau benar ikhlas disukai, berwajah bogel sekalipun tidak mengapa. Ini tidak, ada sahaja rekaan manusia demi janaan meniaga, kesan pada buah pinggang siapapun tak sebut!

-----------------------------------------------------------------------------

NOTA: Sastera moden akan jadi lebih memikat bila penulis tidak kira jantina mana satu, mampu mewakili jantina watak sebaik mungkin. Jika dahulu dunia bacaan kurang peka akan hal sebegini, penulis penulis awal sedar bahawa mereka perlu telus bila melakarkan watak. Harus bijak untuk memperlihatkan gerak jantan, gaya feminin, flamboyan atau sebarang sifat manusia sedia ada, tambahan pula di alaf baharu.

Kamu fikir dunia ini hanya ada dua sahaja? Lelaki dan Perempuan? Silap besar tu!

--------------------------------------------

PENULISAN QUEER

Ramai penulis muda bertanya apakah itu Queer Writing. Payah mahu diterangkan untuk para penulis dan pembaca cisgender yang konstruk sosialnya sehala sahaja. Teknik Queer pula tidaklah semestinya menjurus pada watak pondan atau darai sahaja.

Oleh kerana selama ini penulisan dihasilkan untuk bacaan umum, sesekali dikhususkan pada gender gender tertentu sahaja selama ini akibat dari sistem hidup dan norma norma tertentu. Penulisan queer dalam bahasa Melayu jarang ditemui. Kalau ada sekalipun hanyalah yang melibatkan hal hal aib dan jadi bahan lelucon sejagat.

Dunia tidak begitu lagi. Inklusif watak watak queer akan sering wujud sebagai bunga dalam penceritaan. Begitu juga paparan sifat cisgender dalam karya karya queer. Sudah tentu fiksyen atau memoir akan jadi lebih memikat.

Penulisan Queer tidak berat sebelah, antagonis dan protoganis sama naik. Tidaklah ia perlu jadi kisah yang pilu pilu sahaja... ia malah boleh mencakupi persoalan sosial, politik, agama dan macam macam galur kehidupan. Penulisan queer tidak lagi meletakkan para LGBTQ dalam ruang lingkup untuk hinaan semata mata, watak jengkel dan protoganis seimbang, begitu juga laluan yang melibatkan cisgender dan bersinis pada segala watak pilihan.

Kamu perasan atau tidak sebelum ini dalam karya karya lama bagaimana watak LGBTQ diangkat? Walaupun hadir dari pengkarya LGBTQ sendiri, beliau akan memakai kasut para cisgender demi kehendak penerbit dan khalayak umum yang agak kabur tentang watak watak queer dalam karya (adakalanya memberikan info yang silap, tafsiran sehala atau apa sahaja palitan yang kurang baik terhadap golongan komuniti LGT).

Namun begitu tidaklah seharusnya pengkarya LGT memilih untuk bercerita hanya tentang komuniti mereka sahaja, sesekali mereka juga mampu dan mahu bersinis pada dunia.

Tidak wujud pertikaian samada karya itu bermoral atau tidak, apa yang jelas ia berfungsi sebagai susunan cerita/penerangan/info yang sebenar tentang dunia yang kita huni.

SELAMAT MEMBACA...

Berikut disertakan suku bahagian dari kisah yang sudah berada dalam vault cerpen yang akan diserahkan pada penerbit tidak lama lagi. Ia agak queer, membabitkan hal pembangunan, horror dan kisah lama. Perhatikan lenggok lenggok queer di dalam tulisan ini.

MUZIUM KOTA LEMBAH MURNI - MEJA SOLEK SAADAH

Azizah dan teman teman lain bekerja semata mata. Rutin membuka muzium pukul 10 pagi dan tutup pukul 5 petang sudah sangat mereka syukuri. Apatah lagi kesemua mereka anak jati Pekan Lembah Murni. Menjenggah artifak buruk dalam stor untuk apa? Silap haribulan kena sampuk jenuh mencari pawang mahu berubat! Muzium tempatnya keras!

Kerjaya masing masing dari tukang kebun, penjaga akaun, kerani, tukang beli barang selama ini sangat terjamin, gaji tepat ada EPF. Sekali sekala mereka naik lemas bila diarahkan oleh Azmi yang kononnya berkelayakan. Saadah bukan tidak tahu sifat mereka... dia nampak semuanya, namun siapalah dia?

Saadah masih setia menemani Azmi.

Seronok sebenarnya melihat dia bekerja. Dedikasi Azmi pada hari Isnin, bila muzium tutup menjadikan dia lebih kreatif. Kedengaranlah segala bunyi kepuasan uuuh! Ahhh! Ahh! bagaikan orang kena sawan bila menggilap bahagian ukiran kayu katil penghisap candu, agaknya ukiran yang bernilai estetik menjadikan dia berorgasm. Kali ini lebih sensasi, kerana ada sejarahnya. Azmi mahu semua orang terkejut. Sensasi boleh dijadikan umpan media... kerana katil itu bukanlah milik orang cina, katil berukir tersebut milik Ngah Aziz, orang kaya melayu di Lembah Murni. Azmi diam diam memasang niat mahu meraih nama sebagai kurator tersohor yang peka dan prihatin sejarah.

"Ngah Aziz, namamu akan kembali disebut orang, siapa kata orang Melayu miskin? Di zaman 50an sudah ada orang kaya Melayu yang goyang kaki... kebunnya beratus ekar, lombongnya dua tiga, buruhnya orang orang Cina... dia suka berhibur di kelab bangsawan, lantas dibawanya pula kumpulan opera Teochew dari selatan Siam untuk menghiburkan para buruh suruhannya setiap dua minggu, kau Ngah Aziz Nyak Zakaria yang hebat, tunggu... biar aku kenalkan kau semula, hahahhahaha, " Saadah yang mendengar jadi terkejut. 2 kejutan sebenarnya. Pertama, Perangai Azmi dan kedua nama yang disebut sebutnya... bagaikan menjulang kembali segala kenangan, memberikan perasaan aneh!

"New introduction of history, all eyes will be on me...satu negara you...ahhh!" Doa apa agaknya yang Azmi baca?

Saadah masih mengekori Azmi, kali ini jiwanya bertambah buntu. Mahu ditanya sudah pasti persoalan jatuh ke telinga yang tuli! Siapa tak kenal Azmi? Sombongnya melangit pada semua! Bertambah aneh bila masuk ke ruang 12 kaki x 12 kaki baharu yang dindingnya dicat putih. Tersergam meja solek kayu jati kukuh, berukiran sederhana dan cerminnya diselubungi kain batik lepas jawa panjang.

Azmi mengambil waktu. Bercekak pinggang seketika. Tersenyum puas.

"Ruang indah primadona... tinggal nak gantung gambar sahaja," Azmi antara berbisik dan berkata pada diri... matanya melilau pada sudut yang ada gramofon lama, pantas dia memulas tombol tepi, di keluarkan piring hitam cap anjing dalam sampul keras bewarna putih... kulit aslinya sudah lama hancur.

Saadah duduk terconggok melihat kelaku si Azmi...makin pelik budak ni... makin menggeletis tidak malu jadinya. Menari rentak rumba perlahan di iringi muzik lama... ikut menyanyi sama walaupun bersuara parau sumbang.

Semalam aku tidur...tapi tak boleh lena... mengingatkan dirimu

Tak tahu pergi mana... aku tidak setuju kerja alang kepalang

Kalau siang kau kerja... malam mesti kau pulang...oh! Oh! Oh! Abang....

Azmi menari dua lagu penuh. Kepuasan. Kalau ada orang dia segan. Berpeluh peluh jadinya, ditambah pula dengan badannya yang gempal berlemak di bahagian perut dan pinggang... berhenti hanya bila terdengar bunyi jarum gramophone tidak menghasilkan bunyi lagi. Dinyalakan rokok sebatang, disedut penuh kepuasan. Membayangkan sejarah yang akan disingkap untuk penduduk di Lembah Murni.

"So sad... pathetic human with no clue of history, let alone erasing one... so sad," luah Azmi bersama hembusan kepulan asap rokok bagaikan Joan Collin dengan mata terpejam. Saadah tidak faham, itu mantra atau apa? Semakin pelik jadinya si Azmi

"Let me reveal you honey...yesss yessza...," ungkapnya lagi dengan jari melentik.

Comment