DUNIA FESYEN

DUNIA FESYEN


Lama sungguh tidak dilawati pasaraya dan mall, kalau bahagian supermarket barangan dapur ya...itupun singgah sebentar jika perlu, cepat diteliti senarai tertulis, beli dan terus pulang.


Ahad lepas bersama teman teman kami singgah menelusuri GAMA, serta merta terimbau kenangan akan sifat peribadi terhadap fesyen. Mall kebanggaan orang Tanjung sebelum Komtar siap kini semakin tersusun. (Lama tidak dijejaki sebenarnya). Hari itu saya kembali menilai busana busana streetwear, home-grown companies, mid-range fashion, kualiti jahitan dan musim barangan/produk. Tidaklah banyak perubahan.


Bahagian pakaian dan aksesori sebenarnya sangat memikat, tetapi dinasihatkan jangan lawati jika tidak berjiwa kental. Di usia 20an hingga lewat 30an saya antara yang gemar menghabiskan masa meriki riki fesyen dan membeli belah sebagai terapi tanpa disedari.


Menjelang usia 40an barulah mula sedar bahawa pakaian dan perhiasan tidak memberi kebahagiaan jangka lama. Lepas tamat mendapatkan barangan yang diperlukan, apa lagi yang mahu dikumpul? Pakaian tergantung tidak bersentuh, perhiasan tersimpan dalam kotak tidak berpakai. Pakai sekali dua lalu dilupakan.


Saiz badan berubah, maka bertambah ghairahlah niat mahu memiliki koleksi baharu. (Pernah diceritakan bagaimana saya mengambil masa setahun untuk berdamai dengan saiz badan dan kerap membeli silap saiz akibat berilusi bahawa badan dan usia masih mantap seperti dulu). Ia fasa pembelajaran yang menginsofkan.


Beg tangan? Blouse potongan terbaharu? kasut yang sedang IN? Berfesyen sakanlah kita penuh nikmat, dipuji hanya dua saat kerana setelah itu ada perbualan serta tumpuan yang lebih penting mengambil alih kitaran hari manusia dewasa. Jadi satu tugasan pula untuk bersembang tentang jenama, harga, diskaun, buatan dan potongan. Di usia emas, semua itu sudah jadi tidak bermakna. (Pernah disimpan sekotak helaian helaian skirt jeans berjenama disorong bawah katil - dengan penuh harapan)


Di usia matang, kelas tidak diukur dengan pakaian lagi.


Dengan ilmu Perdagangan dan Ekonomi selama ini bukanlah sedungu mana untuk dikenal pasti iklan berbayar, modal pusingan iklan, iklan cuit ghairah, advertorial dan pelbagai teknik komersil rekaan manusia untuk manusia. Diri yang ikut terbuai lama... akhirnya mula faham akan kualiti, potongan, saiz, keselarasan usia dan nilai wang laburan.


Di pertengahan usia 40an tekad dibulatkan (ini sebelum masuknya teknik KonMarie si manis dari Jepun). Deria tentang pemilikan material semakin tajam. Kita bukanlah artis pop yang perlu dikagumi almari atau bilik dengan pakaian mewah tergantung, tidak kemana pamiran segala koleksi tersebut. Tanpa dirancang dikumpul semua busana (jarang sentuh atau pakai sekali dua) untuk diagih agihkan secara berkala. Terpaksa pula difikirkan bagaimana koleksi harus pergi secara berhemah.


1. Persatuan Tzu Chi dan KawanKu yang mengitar semula sebagai pusat derma.


2. Mak Nyah terpinggir (mereka akan seronok berbusana gonta ganti - lagipun busana lama semuanya agak seksi bukan muslimah)


3. Teman teman dan adik beradik fashionista, kau nak tak? aku ada CK, MK, Celine dan bla bla bla (untuk jenama dan potongan impian) tanpa merasa rugi apapun.


4. Kumpulan kenalan yang tahu di mana harus diserahkan pakaian terpakai. (orang asli, komuniti terpinggir, pusat kitar semula).


5. Jualan melalui internet (Ya...banyak sudah terjual di mudah.com saat ia mula diperkenalkan - macam macam dijual).


Secara peribadi saya fikir saya manusia yang puas, termasuk puas bergaya di atas pentas dan bergaya saat remaja. Sesekali bila melihat fesyen yang pernah dipakai 30 tahun dahulu muncul kembali, hati merasa senang. Kitaran fesyen yang terus berpusing dan sampai ke titik sama atau rekaan yang hanya diganti beberapa kemasan terkini: jenis kain, warna, tambahan butang, kemasan, jahitan atau apa sahaja...


Masih menikmati dunia fesyen (hanya untuk halwa mata) tanpa sekelumit berat rasa mahu memiliki. Sesekali teman meminta nasihat sebelum pembelian. Kini pembelian apa sahaja menjadi sangat sederhana. Meriki riki kedai Thrift, menikmati proses upcycle dari bahan terpakai/terbuang, menghargai seni vintaj dan tidak ghairah lagi pada persembahan duniawi.


Segala perasaan tentang fesyen beransur ansur pergi... kalau dahulu gila melihat juraian manik manik, kegilaan itu hilang setelah menjadikannya aktiviti untuk jualan dan minat untuk memakai hilang. Jika ke kota Bangkok dulu bukan main lagi... sekarang sudah boleh pergi satu beg galas pulang satu beg galas, siap memberi syarat, "ini bukan travel shopping shopping tau... ini travelling budaya!". Secara kasar kini hanyalah beg galas 2 saiz (Adidas), tot mullbery vintaj, bottega vaneta (untuk majlis), Long Champ Kendell Jenner (hadiah dari anakayam). Tumpuan hanyalah pada baju T sedap, seluar dan kasut sukan yang selesa... begitu juga helaian kasual yang seadanya tidak menjerit jerit "tengok aku, tengok aku!".


NOTA: Penulis masih suka mengamati busana yang dipakai oleh kenalan dan menelitinya sewaktu menghadiri majlis. Masih suka pada meneliti fabrik dan pembuatan, tanpa niat mahu memiliki. Artikel ini ditulis mewakili pendapat peribadi, para fashionista teruskan kebahagiaan kamu ya...saya suka melihatnya. Mungkin proses peribadi ini tiba agak lewat, menanti keselarasan mata, otak, hati dan ekonomi. Bukankah lebih baik lewat dari terus terbuai mimpi? Matilah sudah sifat buruk saya 20 tahun dahulu dengan statement bintang, "Saya hanya pakai busana ini sekali sahaja"


Comment