KENAPA ORANG LAIN TAMPIL RELAK DAN TENANG?

KENAPA ORANG LAIN TAMPIL RELAK DAN TENANG?


Menjadi adat, mata melihat hati bertanya dan kotak fikir merangka. Susuk tubuh dan akal dewasa, kenal pada gerak tubuh resah, kata kata mereka berlapik tidak kira bila melibatkan cerita bahagia atau derita.


Bagaimana dia tampil begitu tenang dan damai? Sedangkan... Nah, di sini kayu ukur dan acuan peribadi tidak boleh diguna pakai.


Kenapa dia begitu relak, tenang dan damai?


1. Bulat menerima segala kententuan hidup dan perubahan. Selalunya melibatkan hal materi (kaya miskin, pasangan, susah senang dan mengukur baju di badan sendiri).


2. Tidurnya tidak terganggu oleh perkara remeh enteng. (harapan pada orang, jenama, membanding, hubungan, risau tak menentu, sebaliknya berfokus pada kemampuan peribadi)


3. Orangnya tahu bahawa warna dunia tidak sama, bermusim dan didakapnya perbezaan tersebut. Dicarinya jalan tengah untuk lebih tahu dan menghormatinya.


4. Di samping berusaha dia tidak meletakkan kewangan sebagai Tuhan hidup. Percaya di mana ada usaha di situ ada jalan rezeki yang tidak salah alamat.


5. Sedikit atau banyak tidak menjadi hal, asalkan dirasakan adil. Kalau ditipu sekali dia tidak akan mengulanginya.


6. Remeh atau Prioriti? Dia bijak membezakan mana satu untuk digalas sungguh sungguh. Jika remeh, bercakap tentang hal tersebutpun dia tidak kuasa.


7. Menjaga kata kata agar tidak dijadikan jerat pada diri sendiri. Ghairah tentang cerita hidup orang dilatih agar tidak menjadi hal penting. Jenaka sekalipun ditimbang tara. Kenyataan atau tuduhan tidak diwenang wenangkan.


8. Sudi mencari tahu tentang sebarang hal dari pelbagai sumber tanpa sebarang justifikasi melulu.


9. Iri, dengki, cemburu buta tidak dibenarkan singgah ke hati. Ditukar sebagai pembakar semangat. Dikawal sejak muda belia. Sebaliknya berkemampuan meraikan orang, paling tidak mengucapkan tahniah atas capaian orang sekeliling.


10. Tahu ada kuasa paling atas mencatur gerak dunia. Disalurkan melalui Doa segala harapan pada yang Pengasih dan Penyayang. Erat percaya akan 'Khun Fa Ya Khun'.


Jangan pula dituduh bahawa dia tidak bercita cita. Ia mungkin tidak dicanang uarkan. Paling utama beliau hadir tidak kalut, resah dan berburuk sangka, fenomena ini mungkin mampu membuatkan kita duduk dan kembali menilai diri.


Manusia ditakrifkan sebaga tenang bila mereka tidak membawa kerisauan atau tertekan. Tenang adalah perasaan terbaik yang wujud, seringnya menjurus pada perasaan yang baik baik seperti gembira dan berkeyakinan. Hadangan, undang undang dan syarat syarat akan menjadi lebih aman jika ia tidak terlalu ketat.


Regina Ibrahim


270820


Comment