IPOH 030819

IPOH DI AWAL OGOS 2019


Selalunya saya akan ke Ipoh untuk pertunjukan makan malam, samada menyanyi atau mengacarakan majlis. Ini kali ke 2 saya ke sana untuk wacana sastera atas jemputan Port Ipoh – Koloni Karyawan – People of remarkable talent. Bicaranya tentang Gender Dalam Sastera.


Bertolaklah dari awal pagi menaiki bus ekspres yang tidak ekspres, lompat sana sini mencari penumpang. Tiket jam 7.45 dari Komtar akhirnya jadi 9 pagi dari Penang Central Butterworth. Saya tidak gabra kali ini, mungkin sudah matang dan tahu jerih payah orang mencari makan. Kenapa tak naik ETS? Ets kan mudah? Memang cepat tepat, ets buat masa ini akan sering diganggu oleh jadual feri yang tidak ketentuan hala waktunya... terkena sudah dua tiga kali bikin serik!


Tibalah di Aman Jaya sekitar 11 pagi (ini adalah rutin jika ke Ipoh, dari situ akan naik MyBas ke Medan Kidd. Tempat kenangan ketika remaja, sudah tentu mau menjamah Mee Kari Ipoh yang sedap dan murah di situ. Sewaktu remaja juga di situlah mee kari sedap dicari. $5 ringgit termasuk nescafe ais... cari sat kedai mana jual dengan harga begitu di zaman ini?


Naik bas lagi untuk masuk ke pekan baharu. Berhenti di hadapan Ipoh Parade, mencelah di laluan bangunan belum siap untuk ke Regency Tower Apartment & Hotel. (sudah biasa tinggal di sini sewaktu wacana sastera Inggeris di sekolah Anderson bersama Pak Peter). Check in mudah walaupun saya tidak menggunakan telefon berinternet... bayar dulu klaim kemudian. Rehat, mandi dan minum kopi... turun ke lobi yang penuh dengan ahli sukan dari Sabah yang punya acara di situ... di usia 55 segala mak nenek hotel sudah dijengah, dari yang kam kam hinggalah yang tercanggih. Menanti dan merokok, sementara wakil dari Port Ipoh tiba. Nasib baik wakil mereka memakai baju tee Port yang cantik.


Port Ipoh rupanya berada di Tiger Lane. Terimbau kenangan sewaktu remaja mengayuh basikal dari Taman Cempaka ketika belajar di PUO. Kenalan mat salleh (dulu Ipoh ramai expatriate dari eropah – tiger lane antara kawasan tempat tinggal mereka) – manalah hilangnya semangat budak lelaki kurus kering hitam melegam itu agaknya? Cest la vie!


---------------


Makan malam bersama Hariz Zain, berbicara tentang buku dan kehidupan. Hariz Zain telah menterjemah jilid 1 tulisan Charles Darwin yang sangat menarik tentang Evolusi.


Seperti ibu kepada anak, tentulah banyaklah kata kata peransang dihulurkan: Berikut adalah coretan beliau di dinding facebook terhadap wacana gender dalam sastera.


Gender dalam penulisan dan sastera Malaysia. Di awal penulisan sastera klasik, penulis dan perwatakan hanya tertumpu kepada watak lelaki yang superior dan terlalu bersifat patriaki. Kemudian, Nusantara dilingkari dengan nuansa karya kesempurnaan lelaki seperti Hikayat Hang Tuah, Merong Mahawangsa dan sedikit cair dengan tertulisnya Hikayat Siti Zubaidah yang menekankan pertukaran gender lelaki dan perempuan sebagai siri konflik. Di pertengahan 1950 an sehingga awal 1980 an, di situlah tercetusnya emansipasi penulis wanita dengan kepelbagaian cerita kehebatan wanita seperti Puteri Gunung Ledang, Ranjau Sepanjang Jalan dan kelahiran Sasterawan wanita. Isu transgender mula mendapat perhatian di akhir era retro 1980an kemudian ia mencapah pada tahun 1997 dan berevolusi sehingga kini. Keterbukaan masyarakat mengenainya amat memuncak mulai awal milenium 2000 dan pada tahun 2019, masyarakat sudah menjadi "muak" dengan kontroversi tersebut dan mereka seolah-olah mahu membiarkannya larut di arus masa.


Gender adalah sesuatu yang dirasai oleh individu, tetapi bukan apa yang dilabel oleh masyarakat. Seorang lelaki yang dilahirkan lelaki, yang mahu berpakaian lelaki, walaupun dia lembut, dia berhak dipanggil sebagai lelaki, walaupun masyarakat menggelarnya sebagai "pondan".


Tekanan yang dialami oleh gender wanita pula seringkali berkisar tentang keinginan wanita itu sendiri yang ditekan oleh masyarakat dan juga peraturan manusia. Seringkali wanita dipersalahkan di depan khalayak walaupun wanita terus mentaati syariat. Misalnya, wanita yang sudah berkahwin ingin dicintai dan dibelai, namun peraturan masyarakat yang menidakkan kemesraan tersebut berlaku di khalayak ramai menyebabkan wanita itu mengalami kesengsaraan.


Kesejahteraan adalah sesuatu.yang diimpikan oleh setiap insan. Semua manusia mahukan hidup yang sejahtera. Sejahtera dari penghinaan orang lain dan rasa disayangi dan dihargai. Justeru, karya yang hebat perlu memainkan sentimen gender dengan bijak agar emosi dan roh karya dapat ditiup ke dalam karya penulis.


Begitulah khulasah bengkel sebentar tadi.


Rasa semakin segar dan ingin bernafas semula dengan nafas baharu dalam karya. Sempat bertemu idola penulisan saya Mama Regina Ibrahim, Puan Nana, Puan Dilla dan Dr Fong dalam forum tentang evolusi gender dalam sastera.


Satu lagi, sastera itu universal. Ia meliputi novel, cerpen, lirik lagu, skrip dan filem. Terima kasih kepada PORT atas penganjuran wawancara yang bermanfaat ini.


Hariz Zain


-----------


TAMAN KANAK KANAK SEBELAH KAMDAR


Port Ipoh menganjurkan pesta seni setiap malam minggu (minggu pertama dan minggu ke tiga – 2 kali sebulan). Pelbagai jualan barangan kraf dari vendor vendor terpilih memeriahkan lagi astaka taman kanak kanak yang sangat bernostalgia. Sate Endut yang penuh sesak dengan pelanggan memaksa saya membeli popiah basah dan nasi ayam sahaja.


Berlegarlah di situ untuk beberapa ketika menikmati irama ghazal yang kebetulan terpilih untuk berdendang di malam minggu yang cuacanya sangatlah menawan.


Dalam perjalanan pulang ke hotel, terlihat pasar malam Memory Lane, juga sesak dengan manusia, teruja, memberanikan diri sengaja dipintas masuk. Ada buku terpakai, ada pakaian bundle dan baharu. Hati berbisik sendirian bagaimana bertuahnya warga Ipoh, banyak pilihan... sama seperti dahulu sewaktu saya remaja di sini. Kota simple yang membawa pelbagai erti.


Pulang ke hotel saya beristi rehat. Menonton TV3 dengan sitkom tidak menjadi itu... lawak lawak keras dan berprop gagal Pop Yeah! Yeah! kemudian muncul pula cerekarama (lama sungguh tidak menonton) kali ini harapan bagai teransang. Telemovie arahan Sabri Yunus... Hassan Turbo menarik kerja kameranya...ermmm...urrrr... jadi klise di pertengahan. Membosankan, mungkin temanya terlalu jantan.... Beralih pula ke TLC yang ringan kisah keluarga orang katik... hmmm menarik dan penuh yakin mereka (terbayang pula sistem persekolahan anak anak istimewa di negara mereka... entah bagaimana boleh seprogresif ini?)


Tidur nyenyak!


---------


MUNGKIN ADA HANTU?


Saya mungkin diekori hantu.


Saya bukan manusia mistik. Tidak pernah begini. Atau saya sudah tua? Sewaktu berjalan mahu melintas di daerah Shamrock Hotel badan bagai ditolak kuat, saya melayah dan bernasib baik memegang besi pemisah jalan. Kembali mengumpulkan tenaga dan berfikir, Kemudiannya terus menuju ke stesyen keretapi, sambil menikmati bangunan lama yang pernah dilihat dahulu dan melihat dari luar pasar pagi LOKEN – menarik mungkin lain kali sahaja.


Di hadapan kawasan pintu masuk tempat tiket ETS saya tersembam jatuh, juga bagai ada tangan yang kuat menolak... lutut kanan saya luka dan bahu kanan juga sengal... saya amat berjaga jaga takut payu dada silikon pecah. Dibantu oleh lelaki cina yang baik hati... perlahan lahan saya duduk mengambil nafas, memastikan tidak ada luka serius. Membeli tiket 10.50 pagi dan berbaki 2 jam lagi... saya menenangkan diri di taman dengan kopi dari mesin vending. Merakam video dan bergambar... kemudian melangkah kembali ke Dato Sagor untuk makan pagi... aduhai, berselawat dan membaca ayat 3 qul saya yang tua ini...


ETS yang selesa membawa saya tiba ke Butterworth tepat 12.30 tengahari.


-----------


SAMPUL DUIT HILANG...?


Mana mungkin?


Tadi di stesyen sewaktu ETS hampir tiba saya jadi teringat pada sampul putih berisi wang honor. Saya fikir ia pasti ada dalam beg di mana mana tiga bahagian bag galas itu... Bahagian beg galas disemak sekali lagi secara tergesa gesa (satu sahaja beg –travel light) ada tu... pasti ada di mana mana. Saya bukan jenis manusia cuai.


ETS yang lancari tiba di Butterworth tepat 12.30 tenghari. Menaiki feri di Penang Sentral yang berpusar pusar. Terdengar rungutan manusia bagaimana mereka pening mencari pintu masuk feri... (maklumlah lokasi baharu belum siap total). Atas feri (yang kini dikongsi dengan kereta dan bangku bangku besi tepi tingkap) saya berura ura akan membungkus ais kacang dan jeli lemon. Cuaca begitu cerah sekali di Pulau Pinang... bahangnya tetap seperti musim kemarau.


Langkah pertama bila tiba di Wisma KGN adalah menyelongkar bag galas. Selongkar punya selongkar tidak nampak bayang sampul putih langsung. Tidak mungkin ia tercicir. Ia ada atas meja kamar hotel semalam...tidak mungkin!


Abdul Rahman yang masih di Ipoh saya hubungi... sms mula bolak balik. Memang terasa absurd... Pantas Rahman menghubungi hotel bila disertakan nama penuh,nombor telefon dan nombor bilik. Tidak sampai beberapa detik pesanan di fb masuk... Alhamdulillah sampul itu memang ada di bilik hotel... Begitu sekali dugaannya separuh hari Ahad 4hb Ogos 2019.


Saya kembali merawat luka lutut dan sengal bahu kanan... terfikir apa ada hantu yang membuatkan sampul tercicir (sesuatu yang tidak mungkin kerana saya orangnya hati hati, ditolak hingga 2 kali dan tersembam...) Apakah ada roh misteri yang benci pada saya? Aduh! Semakin Tamar Jalis jadinya saya yang tua ini..., mungkin juga permulaan bulan hantu kalau mengikut kalendar orang Cina. Hmm... seriau!


Namun Tuhan yang maha baik itu ujud. Saya percaya itu hanyalah hiasan cerita untuk saya di hujung minggu. Esoknya entah apa pula? Sama samalah kita mendoakan pada segala yang terbaik.


Comment