DERIA CURI PERHATIAN YANG MENCANDU



JANAAN DERIA CURI PERHATIAN YANG MENCANDU


Awalnya dimulakan dengan tidak sengaja, lantas terbius sejenis rasa yang seronok dan indah. Semua orang suka, puji, kagum dan tingkatan status lonjak meledak.


Ahhhh! kita semua ada melintas kenikmatan tersebut bukan?


Tidak kira di lapisan hidup nyata dan kehidupan terbiasa masakini medsos. Lama lama segalanya dinilai seputar hal tersebut dengan pelbagai persoalan: Nanti apa mereka kata? Gambar ini sesuai atau tidak? Kenapa kurang likes? Kenapa dikongsi paut? Hmmm...segala persoalan bermunculan, tikaian pengikut di ruang komentar sesekali mengguris hati, memurungkan hari akibat silap percaturan. Jika ia dilihat remeh maka remehlah ia, bagaimana jika ia menjadikan kamu berfikir berat? Kamu sudah ketagihan perhatian tentunya.


Masing masing manusia medsos hadir dengan nawaitu yang tidak sama. Mungkinkah kita sudah salah tanggap?


1. Saat orang memamirkan kemewahan kita katakan ciwi: (tas tangan berjenama, rumah kereta hebat, minyak wangi tiba tiba bagaikan iklan percuma) Pamiran barang mewah: Sangka baik, mungkin dia berkongsi bahagia, jaya dan kerja keras. Jika suka apa salahnya dipuji kagumi akan hal tersebut? Boleh juga dilupakan begitu sahaja - tiada siapa akan terguris hati , lainlah kalau kapsyennya menghina hina kita yang miskin.


2. foto foto editan teruk, kita ketawakan sinis:Siapa yang tidak mahu jadi cantik/tampan? Setelah bertahun berada dalam konstruk sosial tentang ciri ciri cantik, berilah ruang pada teman teman berwajah polos untuk bersolek dan mengedit, mereka juga sedar itu semua hanyalah suka suka.


3. membaca luahan pilu, kita angkat jadikan bahan kutukan: terus menghakim, apatah lagi jika kita kenal dan ingat akan kelaku kenalan yang jahat dulu. Tidak molek begitu, manusia berubah dan dia mungkin sedang melalui fasa gelap dan resah.


4. kisah romantik orang kita siniskan berbaur cemburu: Pada siapalah lagi mahu dipamirkan? Dia bukan bintang yang akan disorot oleh media mana manapun... apa yang dia ada hanyalah medsos yang terbuka dan mudah di telapak tangan. Doakan seikhlasnya agar dia terus bahagia justru menjadi manusia yang jauh lebih baik.


5. Cara hidup orang kita pertikai kerana tidak mengikuti syarak: Ini penyakit orang Melayu Malaysia selalunya. Mereka gemarkan keseragaman dari sisi apa sekalipun termasuk tampilan di medsos... kes kes perempuan rambut merah tidak bertudung, peluk anjing, orientasi seksual orang, aties baru marahkan Tuhan, peluk kekasih, kenalan yang tiba tiba berlagak ustaz dan lain lain... tidak perlulah kamu tikaikan sangat.


6. Pendapat orang kita pintas habis habisan: dilahirkan sebagai tukang bangkang juga adalah penyakit. Masuk pula perbalahan tampok politik, aduh! Harus ingat orang lain ada pilihannya. Cukup baiklah dia sudi berkongsi untuk memperlihatkan pendapat yang berbeza. Belajarlah untuk berdamai sendirian tentang hidup pilihan, 'agree to disagree'.


7. Terbahak bahak ketawa bila jenaka atas harga orang lain: Lawak lawak sundal tentang fizikal orang, kecacatan, kelaku pelik atau musibah awalnya dikongsi hanya seronok seronok, lama lama jadi ketagihan, maklumlah ia tidak kena mengena pada maruah diri dan sanak saudara kita... fikirkan semula, adilkah? Lainlah kalau ia sememangnya dengan tujuan parodi sosial (itupun harus difikirkan 10 kali)


8. Kemudian kita rangka muatnaik pula untuk perli: Pantang nampak kenalan tersilap atau khilaf dalam hidup, kita cepat cepat merangka kata kata sedap tapi selamat untuk perli. Apakah itu sudah menjadi sifat kita?


9. Kita kongsi paut video badut badut meniaga: Badut badut pengasas produk akan sentiasa ada, menjual barangan atau perkhidmatan yang ada kalanya tidak masuk akal. Apakah kita mahu membantu untuk memberikan mereka iklan percuma? Berbaloi kalau kita ikut serta? Kamu fikir sendiri.


10. sesekali kita menjadi hakim tatabahasa: kerana sedap, nyaman tidak pernah diteguri atau ditemplak, kita fikir menegur secara terbuka dibaca oleh puluhan orang itu suatu nikmat? Jangan begitu, tegurlah melalui DM secara berhemah, sertakan sekali tatabahasa yang betul atau panduan yang sepatutnya. Bukan semua orang mampu menerima teguran terbuka sebegini...cari jalan selamat.


Paling tidak kita semua pernah terlibat salah satu paparan di atas, ada yang merasa selamat jika mencetus jenaka di ruang medsos orang. Itu juga sakit mencuri perhatian sebenarnya - kita merangka set set curi perhatian nikmat yang tertentu - bukan manusia medsoslah namanya jika dijawab 'tidak pernah'. Masing masing mendamaikan akhirnya dengan mantra - 'My Wall My Rights' atau 'Kalau sensitif jangan main medsos'


Begitu subjektif kisah 'Gian Mencuri Perhatian' bukan? Sekali lagi, kita ada pilihan, jari jemari saat melayari medsos harus matang berhemah kerana ia melibatkan emosi kenalan. Ingat, bukan semua muatnaik mebutuhkan sensasi, bukan semua harus beriring jujukan LIKES akan pendapat 2 sen kamu itu.


Saya kira apa sahaja yang dilakukan dengan niat yang cerah ikhlas akan menjadikan suasana lebih damai. Ekspresi yang disalah ertikan boleh saja cepat cepat dijelaskan sebaik baiknya.


Kita bagaikan terlupa menyelami sisi sisi baik teman teman yang berada dalam senarai teman medsos. Ayuh kita alih pemikiran untuk tidak terjebak menjadi manusia yang kecanduan perhatian, ada caranya untuk berpada pada. (fikir 10 kali akan muatnaik peribadi, fikir 10 kali lagi bila mahu memberikan reaksi pada muatnaik di dinding orang). Alah bisa tegal biasa...


Sebenarnya kita harus BERTERIMA KASIH pada teman teman yang rajin berkongsi apa sahaja, itu adalah kesudian mereka untuk menghiburkan hati dan mengaktifkan pemikiran secara harian,tidak kiralah apa kisahnya, saya fikir begitu... kamu bagaimana?


NOTA: Ini belum lagi melihat paparan nafsu adik adik yang telanjang seksi (gayah dan transnita), si miskin yang baru jadi kaya, terkejar kejar pada keaiban, kemarahan manusia dicurangi, mengaibkan teman sendiri bak kera mendapat bunga... ada ketikanya tidak masuk akal, sebenarnya kita tidak faham bagaimana hati pelayar yang sepi bergantung harap pada perhatian sumbangan muatnaik di internet, itu mungkin nyawa dan nadi mereka!


Di pihak kita? damai damaikan jiwa dan fikirlah sedalam dalamnya. Kita juga berhak untuk merasa lemas dan nakal sekali sekala.

Comment