REZEKI

REZEKI


Ketika menjamah Indomee Instan telur asin, aku kembali terfikir perihal rezeki. Kemarahanku ketika di usia 20an, buakan nafsu yang macam macam. Pengennya mau jadi kaya raya sedangkan segala proyek yang dicuba punya banyak penghadang. Sesekali aku marah pada Tuhan.


Kekalutan mengejar hal duniawi sudah aku lalui, hingga kini ya masih juga demi kelangsungan hidup dalam kadar yang jauh lebih tenang tanpa keributan mental. Falsafah hidup berganjak entah berapa ratus darjah.


Kata nama 'rezeki' membawa pelbagai reaksi manusia. Masing masing hadir dengan penilaian peribadi. Tidaklah mahu aku menjual nilaian aku padamu. Banyak magis rezeki hadir sepanjang hidup, ada yang aku terlupa mahu bersyukur. Setiap terkenang akan khilaf tersebut, akan cepat cepat terima kasih kuhulurkan padaNYA.


"Ahhh...saya ini cuman hap hap nyawa ikan," antara frasa kegemaran tiap dihampiri mereka yang bagaikan bersoal mahu menebak bagaimana mewahnya kehidupanku. Mereka silap besar, aku ini apa adanya. Citarasa peribadi dan usaha yang tidak dilihat mereka itu sebenarnya membawa aura misteri sebenarnya. Mereka tidak tahu bagaimana kerja baik pulih, kitar semula dan jimat cermat sudah mengalir dalam tubuhku. Sesekali aku sendiri dikejutkan oleh penemuan yang bukan kepalang (kasut Adidas 10 ringgit yang lucu... hadiah minyak wangi jenama mewah di saat saat perlu)


Frasa merendah diri 'Hap hap nyawa ikan' itu memang benar. Bukan sekadar kata penyedap. Hidup sebagai artis kreatif (orang lain tidak pula aku tahu bagaimana) aku fikir memang begitu. Berapa sangatlah jualan lukisan, aksesori buatan tangan dan buku fiksyen. Banyak sedikit wang pentas (yang ini memang mewah – kalau benar benar mahu dihitung) dijimatkan untuk perbelanjaan bulanan dan sewa rumah.


Oh! kamu harus melihat aku yang tidak sedar diri 20 tahun yang lalu... pakaian pakai sekali sahaja, ego mengatakan sekiranya sudah bergambar busananya jangan diulang. (pengaruh kumpulan En-vogue). Minyak wangiku asal saja jenamanya Tresor dari Lancome. Bukan main lagi kan? Rezeki masuk dan terus masuk sehinggalah diberi amaran bahawa rezeki dalam bentuk wang ringgit akan mula jarang mengetuk pintu hidupku. Ketika itu aku dipaksa duduk menilai kembali erti rezeki dan menamatkan sifat boros mewah.


Ah! Bukankah begitu selalunya? Klise? Jadi menemui manusia yang dalam perbualan mereka menyatakan bahawa dia dulu begini dan begitu tidaklah menjadi hairan lagi. Been there and tasted that!


Aku masih memohon pada rezeki yang baik dariNYA. Kali ini dengan pendekatan berbeza: 


"Berikanlah aku tidur nyaman, kesihatan yang baik, makanan bergizi seadanya dan lingkungan hidup makmur nyaman." 


Falsafah tentang rezeki sejak 20 tahun lalu ini juga mejadikan aku ini aku yang damai sebenarnya. Sesekali dikongsikan dengan teman teman, tidak mahu digelar pengkhutbah (tidak sedap ya berbicara serius melulu ketika santai berhimpun) silap haribulan dihencapnya nanti sesedap rasa: 


"kau takda duit kau katalah begitu...kan?"


Setiap melihat pameran di medsos tentang jenama, kemewahan dan kebahagian materi, ada berdetik 'sangka buruk' namun cepat cepat dimatikan perasaan itu. Usia, latar belakang dan taraf sosio ekonomi peribadi penghantar harus difikirkan. Ada yang benar benar meraikan bahagia rezeki mereka, ada yang bertujuan perniagaan dan ada yang benar benar ciwi... bayangkan jika saat ini aku berusia 20an? Aku mungkin akan lebih teruk dari mereka, bukan? Jadi bersyukur sahajalah pada kesedaran di usia lewat ini... keep the posting coming guys, I am okay!


Mematikan lamunan tentang rezeki, aku ungkapkan:


"Air kosong ketika sedang dahaga itu rezeki, bantuan yang hadir tanpa diduga juga rezeki, kehadiran manusia manusia baik adalah rezeki, terbangun pagi merasa tangkas sihat juga adalah rezeki dan dikurniakan akal fikir yang murni juga rezeki yang tiada tara nilaiannya."


SEMOGA KITA SEMUA DIMURAHKAN REZEKI anak anak semua... Usaha dan terus berusaha percaya pada urusanNYA.


Comment