PENJARA HIDUP

PENJARA HIDUP (Bicara bersama sang Anonymous)

Ghairahnya kita demi masa depan hingga terlupa mencumbui keberadaan di depan mata. Hasilnya? Kita tidak pula hidup di masa mendatang dan tertinggal pada yang semasa. Ghairah merancang seolah olah mati tidak hadir, ya? Akhirnya mati tanpa menikmati hidup. Jangan begitu... memanglah hidup harus dirancang molek.

Sibuk rumit merangka busana diri, bergegas menuju tempat kerja, memandu kereta hutang, sibuk berkisah itu ini, kagum tentang jenis kereta apa orang lain pakai bukan setakat itu sahaja kagum lagi melihat pameran mereka, lelah dan penat sebenarnya jika tungkus lumus hanya untuk mendapat upah membayar upacara hidup dan peralatan rumah yang kosong (Ya, kosong kerana kamu tidak ada di rumah – balik untuk tidur sahaja) segala usaha hanya demi untuk mempunyai/memiliki rumah tangga.

Ramai daripada kita sebenarnya sedang bermimpi di siang hari, begitu juga impian terhadap kerjaya, bila mana imbuhan wang semata mata mengaburi segala makna. Demi keuntungan kita terhenti memikirkan asal tujuan hidup asas akibat berlumba mendapatkan gaji dan upah. Terpalitlah segala ghairah impian, minat, cita cita akibat taat setia pada rutin hidup yang disaluti ketidakpastian termasuk visi visi yang lemah.

Kata mereka penjara yang hebat adalah penjara halimunan, manusia sendiri tidak pasti samada mereka terkunci di dalamnya. Nampak atau tidak? Seragammu? Aturan aturan di tempat kerja? Tali leher sebagai jerat? Ketua pejabatmu sebenarnya berperan sebagai pengawal penjara? Ruang kerjamu yang ciput itu adalah lokap? Jika berkahwin, isteri dan anak anakmu yang bagaikan meminta minta?

Merangka pencapaian maksima bagaikan memecahkan gelas siling yang akan berhamburan jatuh ke atasmu serta menikam tubuh. Namun saban hari kita mahu patuh pada waktu kerja... tepat masa, pulang tetapi kepala dan badan masih memikirkan tentang kerja lagi... aduh! Kita bijak menerajui internet, melihat pula paparan wajah suasana gemilang teman teman pelayar,sambil berharap agar kerja dan prestij semasa itu kekal...aduhai!

Segalanya tepat namun monotoni... bagaimana Isninmu bisa ceria? Selasa berkurangan siksaan, Rabu yang berbaloi? Khamis menjana hal baharu, Jumaat jadi lebih bermakna? Merangkalah kita untuk minggu minggu mendatang... sedangkan lagi 50 tahun mendatang, kalau usia panjang? Entah apa agaknya diminta oleh dunia? Tercari carilah pula kita pada ruang selamat (percutian, pantai, pulau, hiburan), walaupun tahu ia sebenarnya tidak wujud... yakni ruang di mana kita jauh dari hal hal kerja, kerana kepala masih di situ, berfikir tentang kerja yang tidak beres. Aneh bukan?

Maka penuhlah kepala kita dengan hal kerja, kenderaan, hutang, waktu, politik, rakan sepejabat, objektif pejabat... terlepas waktu bersama untuk makan dengan kekasih penuh damai, makan sambil berlari, sibuk, waktu jadi mahal, bungkus makanan, televisyen bodoh yang menyerap waktu dalam perhubungan kita... segalanya dilakukan secara lewa pantas... tertanya tanya kenapa pula, kenapa ada orang menipu, curi tidur, menjual diri, menyapa dalam kekalutan akibat suntuk masa... aduh!

Katanya adalah biasa 8 jam bekerja...biasa tu...sebenarnya lebih jamnya. Tiada waktu pula untuk kekasih, kekasih yang sudah kita janjikan perkongsian hidup. Berhempas pulas kita menamatkan tugas bila hampir hujung minggu.. didarab waktunya aduh... siapa agaknya yang merangka semua ini? Ia terasa tidak normal. Kita harus dapatkan kembali hidup kita yang hakiki kerana ketika ini kita hanyalah hap hap nyawa ikan... kerana kamu harus tahu, "kau kerja terlalu kuat, kalaulah kamu mati esok apakah kerja yang akan ganti kau?" dan kamu mengelak untuk berfikir. Katanya, "kamu tidak pernah berubah" bergaduhlah kamu... untuk hidup esok yang itu itu juga... lantas menggelarnya hidup. Cest la vie!

Entahlah... tidakkah kamu mengispirasikan orang orang yang berani mengikut rentak hati mereka? Melakukan hal hal yang mereka suka sehingga berjaya.? Tidakkah kita mahu jadi pasangan kekasih yang baik? Manusia yang sayang pada diri? Bijak merangka, bersyukur seadanya sambil menyemai ghairah pada hidup?

Semua manusia akan bersertakan laluan yang tidak mudah. Kita sebenarnya ada potensi dan bijaksana dalam diri yang dilupakan hanya kerana mengejar hidup yang dikatakan tepat, berjaya, fantastis oleh ramai orang. Memang manusia akan sering berada di posisi keliru dan kekurangan dalam proses mengejar misi masing masing. Satu pertanyaan yang harus kamu utarakan pada diri:

Di hujung hidup, adakah aku akan menyesal?

Jawapannya mudah: Sesal tidak mencuba adalah terlalu sakit berbanding sakit kerana berani mengambil risiko hidup.

Jadi sekiranya kamu menghadapi cabaran, ingat: PEMENANG ADALAH SI KALAH YANG SUDAH MENCUBA BERKALI KALI. Kamu hanya perlu bertemu manusia yang tepat dalam suasana yang juga tepat untuk mengatakan Ya dan saat itu mampu untuk merubah segalanya.

Di waktu waktu mendatang kamu akan melihat kembali dan berdetik, "aku seharusnya memulakan sekarang". Paling tidak kamu mencuba dan sepanjang mencuba usaha yang kamu ghairah serta cinta itu pasti ada calitan rasa bahagia.

Mati juga mungkin dengan mata yang tertutup rapat, kepuasan.

Bual bicara bersama si Anonymous. 

Comment