SERONOK DAMAI BAHAGIA

TAK SERONOK TAK DAMAI TAK BAHAGIA


"Bahagia takkan datang sendiri... jika manusia tiada cari...!" lantunan semula Sheila Majid dalam album Legenda yang membariskan lagu lagu nostalgia P.Ramlee... lagu yang berentak semi- rancak gembira. Lagu yang sama awalnya sudah dirakam oleh EMI menggunakan vokal Roy dan Fran.


Bukan tentang lagu yang mahu dibicarakan di sini, baiklah kita bersembang tentang kita dan kita sahaja yang mencari erti nilai kebahagiaan, tidak bertemu dan menelan liur akan (delusi dan ilusi) susuk orang lain yang kita fikirkan seronok dan bahagia, kalau boleh kita mahu jadi seperti dia (nampak seronok sangat).


- Bahagia itu ada dalam hati


- Negerimu ada di dirimu (Gorvenance)


Awalnya kita masing masing sudah merangka apa langkah langkah yang perlu diambil. Apa sahaja termasuk merantau meninggalkan tempat kelahiran, asalnya didasari oleh hal ekonomi dan akhirnya secara perlahan menentukan 24 jam harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Ringan ketika menyahut segala cabaran atau berteleku murung dengan fikiran yang sesak besarang...


- Apa yang sudah aku lakukan selama ini?


- Kenapa aku tersangkut di sini sedangkan...


- Seronoknya melihat putih salji dan rumput hijau negara orang


- Kenapa bukan aku yang berada di situ?


Wajah kita berkerut kerana merasakan dunia dan takdir sudah tidak adil. Kenapa nikmat hidup dibeza bezakanNYA? Bukankah dia jauh lebih laeh dari aku sewaktu kami masih anak anak hingusan? Kita merasa malang dan dihantui rasa tidak seronok.


]إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ [


"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum."


Dan firman-Nya:


]حَتَّى يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ[


"Sebelum kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka."


Definasi bahagia dan seronok itu bagaimana agaknya? Acuan apa yang sudah kita lurut selama ini? Maaf, ini bukan 'lecture performance' tidak juga bersifat akademik. Anggaplah ini meja bulat santai dengan rela kita duduk dan berbicara tentang setakat mana kita merasa okay, bahagia, damai dan seronok sangat mahu bangun awal pagi dan membelah dunia sementara masih bernafas.


Bersimpang siur mereka yang membesarkan kita memberi panduan, saran nasihat agar ditingkatkan pencapaian akademik dan menjawat jawatan tinggi. Khabarnya di situ ada bahagia besar. Namun kini setiap pulang badan kepenatan, minda letih dan 4 dinding di rumah bagai mengejek. Bertahun merutin benda yang sama, kita jadi terfikir. Kalau ditinggalkan seketul apa lagi yang akan ada? Bagaimana kalau diserahkan sahaja nasib?


Kita cuba berkawan, mencari tempat mengantung hati dan masih tidak bertemu bahagia hakiki. Sesekali perasaan berguris sesama kita. Diunjurkan pula agar menikah, diterangkan tentang sujud ke sejadah dan macam macamlah resepi bahagia... secara tidak lansung. Kita balik lagi pada dirian peribadi, bersoal bolak balik tentang gerakan kita selama ini... Pilu tentunya. Itu belum lagi serangan sakit sepi, rasa kosong, insomnia dan ngilu fizikal. Alternatif bahagia masih tetap dicari... terangan atau nyata.


- Bersosial - tidak seronok - tak jumpa geng


- Medsos - hmmm penuh kepalsuan - bosan


- Filem dan muzik? - entah tidak ada hati di situ


- Seksualiti - sesekali menggoda nakal


Ya Tuhan, di manakah bahagia? Kita mula melihat semua kekurangan diri. Satu persatu jadi terhitung. Warna kulit, bentuk hidung, tinggi rendah, wang simpanan, taraf hidup dan apa sahaja yang terlintas. Rendah hati yang seharusnya jadi hal yang baik bertukar jadi 'hilang rasa yakin'. Terlupa mahu menghitung kesyukuran harian percuma. (udara bersih, aman suasana, perut yang terisi) Nah, di sinilah kita mahu berpulang pada diri dan dalam diri. Apa yang bersarang di situ?


- hasrat yang tidak dipenuhi?


- takut untuk mengambil langkah?


- Risau pada apa kata orang?


- memaksa diri agar tampil serirama?


- apa ada cita cita yang dikejar?


- kuat berkhayalan dan berilusi?


- bakat yang gagal diperlihatkan pada orang?


- diri merasa tidak dihargai?


Oh! Banyak sungguh jika mahu dibarisi hal hidup yang tidak menyenangkan rupanya... Atau kamu berterusan menanti agar nasib baik yang akan dipangkin oleh orang lain? Buat sementara waktu sengsara duluan, bukankah bahagia hadir setelah derita? Pernah diukur tahap kebergantungan kamu pada orang yang dianggap berkuasa (cinta kasih dan kerjaya)? Apakah itu sesuatu yang seronok? Bagaimana kalau dia itu orang yang tiada tanggungjawab? Kalau dominannya gila babi dan menekan, bagaimana pula?


Bahagia itu ada dalam diri, kamu adalah negerimu: kita kembali pada frasa magik tersebut. Memang, ada ketikanya kita bagai tiada pilihan. Usaha kita mendakap suasana yang ditakdirkan itu bagaimana?


- Apakah kita berterusan melihat keburukan


- Jatuh dalam kotak merana (self-pity)


- Belajar menyintai apa sahaja suasana


- Mula mencari sudut sudut positif ruang lingkup


- Belajar bersuara dan berpendapat


Kita takut berkonflik. Benar, berkonflik tanpa sebab itu adalah kerja gila. Namun kalau berdiam diri pastilah dianggap sebagai bersedia jadi bantal untuk dipukul bantai. Apa kata belajar untuk menanganinya..., tidak kiralah dengan apa cara sekalipun. Negerimu, kamu berhak mentadbirnya sebaik mungkin. Negerimu kerjasama dan keputusan total ada dalam dirimu, sempadannya mahu dibuka, ditutup atau dikawal?


Setakat mana mengharapkan bahagia dan seronok dari orang? Sekiranya sama naik, ia sesuatu yang wow! Ya, mungkin ada untuk tempoh tertentu sebelum orang rasa bosan (Nah, di sinilah dipastikan usaha tingkatan kualiti kamu sebagai manusia kekal menarik, terus bernilai dan menggoda; biar orang lain pula mengharapkan kamu, lebih indah begitu bukan?).


Ketakutan pada silap langkah, merasa kecil tidak bermaruah, tertekan jika ditertawakan orang antara hal hal bacul peribadi yang tidak perlu ada dalam pencarian bahagia dan damai. Kamu sendiri tahu bahawa tok guru terbaik dalam hidup adalah kesalahan dan kekhilafan. Falsafah tentang makna bahagia sudah kamu layari, bunyinya mudah, sukar atau hanya tinggal kata kata? Terbeban pada ikatan yang direlakan tanpa menghormati kemahuan? Harapan yang punah? Berharap suasana atau orang akan berubah dan mendapat sedikit tepias bahagia? Gagal serta gugup mahu menyatakan kemahuan jiwa nurani secara peribadi? Ikut apa sahaja kerana kamu memang lebih betah begitu? Bagaimana kalau kamu terpilih sebagai objek aniaya oleh sesiapa? Mengapa bantuan sangat sukar didapatkan?


Apa dirungutkan lagi?


Dakap jika sudah ada di depan mata, kelepiaq jika tidak suka. Bina semangat belajar mencari intipati hidup yang tidak pernah sama tafsirannya pada semua manusia.


Rugi jika fizikal dan usia dimamah lama oleh jiwa yang tidak damai. Jadinya bagaimana kamu menaksir rasa Bahagia, Seronok dan Damai?


Setakat ini kamu insan yang di tahap mana? Lega, bila mendengarkan bahawa kamu di dalam lindunganNYA di samping merasa seronok, damai dan bahagia.


Comment