DUIT PEK TIKAM PEK


DUIT PEK TIKAM PEKMerupakan peribahasa jalanan lama utara. Setiap disebut membawa pertanyaan, "apa maksudnya mama?"


Begini: Sekitar hujung tahun 60an dan awal 70an, akan ada apek cina berbasikal masuk ke desa berjualan secara judi kecil. Aiskrim kapit, Aiskrim kon atau permainan. Ini sebelum zaman rancangan Roda Impian.


Judi butang tikam tekan untuk Aiskrim: Dengan duit syiling 10 sen, anak anak boleh tekan suis/butang di petak bercermin. Jika jarum menuju nombor 1 dapatlah satu sahaja, jika bernasib baik dapatlah 2 atau 5 - 10 aiskerim kapit.


Judi papan koyak pula selalunya tergantung gula gula dan permainan di papan kertas kad board sebagai penarik di kedai kedai runcit. Dikoyak satu dengan bayaran 10 sen, untung nasib dapatlah permainan seperti belon, anak patung, kereta plastik dan lain lain. Sesekali pekedai runcit perlu menerangkan konsep tersebut dengan mengoyak dan pura pura menang agar anak anak kecil teruja.


Selalunya si Apek perlu melakukan gerak contoh agar tikam-tikam difahami. Duit siling sendiri masuk ke bekas, tekan/koyak dan pura pura teruja agar anak anak desa faham konsep sebenar. Atas dasar itulah terbitnya peribahasa: Duit Pek Tikam Pek


Makna: Menggunakan duit/modal sendiri secara rahsia dan pura pura teruja agar dikagumi orang sekeliling.-------------------------1. Pernikahan dan hantaran Mashitah dilansungkan secara Duit Pek Tikam Pek kerana Azhar tidak mempunyai sebarang pendapatan.


2. Tidak ada siapa yang tahu bahawa Anugerah Tahunan yang diterima oleh Aziz rupanya Duit Pek Tikam Pek, barisan panel pemilihan terdiri daripada saudara mara beliau.


3. "Ingat orang tak tau? Muatnaik Zilla di medsos berterima kasih tentang minyak wangi dan tas tangan itu Duik Pek Tikam Pek. Aku yang teman dia shopping! Duit sendiri you..."

Comment