BICARA CINTA LAGI?

BICARA CINTA


Cinta adalah kisah kuno tentang perasaan yang berulang ulang dalam hidup manusia, generasi ke generasi.


Ditafsirkan sebagai gelodak perasaan tegang akibat kasih mendalam.


"Seperti anak anak yang menyempurnakan rasa sayang ibubapa"


"Dunia sepertinya bahagia dengan burung berkicau, ombak menghempas pantas disaksikan langit cerah membiru dan kita yang berpegangan tangan..."


Cinta disinonimkan dengan: Kasih mendalam, suka, kelembutan, hangat, kedekatan, kebergantungan, tertarik, pengabdian, memuja, setia, sembah, ghairah, kemahuan, nafsu, teringin, tertarik dan sanjungan berlebih lebih.


Begitulah lebih kurang gambaran rasa CINTA.


Sudah disaksikan bagaimana rasa cinta menawan hati subjek bernama manusia. Ada ketikanya berlebihan, romantis dan ada yang diepik epikkan akibat gejolak manusiawi. Tambahan pula dengan adanya dunia medsos, semakin menjadi jadi luahan rasa cinta para manusia.


Secara klinikal dikatakan Oksitonin, dopamine dan serotonin sebagai rembesan 'hormon gembira'. Sebaik tertarik pada seseorang, otak akan merembes dopamine, tingkatan tahap serotonin dan oksitonin akan tercipta. Segala ini akan membangkitkan rasa emosi yang positif. Rasa indah itu digambarkan dengan pelbagai cara tentunya, termasuk tampilan wajah yang ceria bahagia.


Sayangnya cinta dan kasih sayang syaratnya wajib didukungi oleh 2 pihak untuk kepastian jaya. Inilah titik di mana manusia mula merintih pilu atau marah marah akibat sambutan yang tidak seperti yang diharapkan. Penolakan, alasan, dolak dalik, putus memutuskan, curang dan segala terma lain akan mula menjelma dan jadi drama.


Perjalanan dan harapan terbantut menjadikan kita marah, degup jantung, salur nadi tegang dan hormone testosteron meningkat, kortisol (hormone kawalan stres) berkurangan, dan bahagian kiri otak bagaikan dihasut.


Perhatian mula tertumpu dan terkunci pada sasaran marah kamu. Tumpuan kali ini tidak berbahagi lagi. Tanpa lengah, otak yang bergabung dengan pengalih saraf dan hormon (adrenalin dan bukan adrenalin) dirembeskan sebagai sekutu. Kamu sudah bersedia untuk melawan. (perang kata, tingkah fizikal atau murung tanda protes!)


Melawannya bagaimana? Tidak kira, asalkan hatimu puas. Lain padang lain belalang... merintih pilu juga adalah akibat kemarahan, menjadi anti cinta juga didasari oleh kemarahan dalaman. Pernah mendengar kisah penderaan kekasih, bekas tunangan, isteri atau bekas kekasih? Nah... inilah akibat harapan dan hasrat tentang CINTA tidak terlaksana. Ramai yang mampu beralih diam diam, ramai juga tidak mampu berdiam diri atau melangkah ke arah baharu. Begitu sekali penangan cinta ya?


KATA KATA PENYEDAP TENTANG CINTA


"Baiklah pernah mempunyai cinta dan kehilangan daripada tidak pernah merasai cinta langsung!"


Aku lebih senang menyintai orang yang tidak mampuku miliki daripada menyintai seseorang yang tidak mampu aku cintai.


Baiklah menyintai dari dicintai. Ia mungkin menjadikan kamu lemah terdedah, tetapi ia menjadikan kamu manusia.


Adalah sangat penting kerana cinta adalah desakan pertama di dunia. CINTAlah yang menjadikan segala giat hidup berlangsung dan diusahakan agar sempurna. Penting untuk menyintai kerana ia memperuntukkan aktiviti pada manusia, harapan, percaya dan sesuatu untuk dilabur demi memaknai kehidupan.


------------


Lampirkanlah beribu ribu kata penyedap sekalipun, CINTA kamu adalah jalinan peribadi, ditangani sebaik mungkin. Tahu bila untuk berundur diri, masuk akal bila mahu diperkukuhkan cinta sedia ada...atau memilih untuk terus menyintai dari jauh atau tidak mahu bercinta langsung...


Cinta yang tidak bersyarat (unconditional love) sering dipilih bila manusia mahukan kemurnian. Penjaganya tetaplah dua manusia tersebut. Mereka mampu? Mereka menikmatinya? Memaksa diri? Atau di hujung hari masing masing jadi lelah layu mahu terus melayari laut CINTA.


Pernah kau dengari kata: "Entahlah, sekarang macam takda feeling lagi... kosong, kami masing masing bawa diri"


Entah kemana agaknya falsafah cinta ghairah itu pergi?


Tidak ada sebarang saranan itu dan ini dalam artikel ini, kerana penulis bukanlah doktor cinta dan merasa tidak pantas! Penulis lebih kepada ruang sebagai pemerhati, melihat gilanya manusia, jatuh cinta, galau berlebihan, tidak sedar diri, gagal melihat cermin, meratap pada apa yang tidak dikenali... Penulis akur mengakui diri agak 'selfish' ketika menilai, kerana sudah melalui pelbagai jenis cinta dan mencapai kata bulat pada rasa manusiawi tersebut. Namun rasa simpati sudah tentu akan jatuh pada mereka yang tidak pernah merasakan nikmatnya fasa bercinta dan terawang di awan sembilan.


Penulis percaya: ada sebabnya yang ESA tidak mengurniakan cinta pada orang tertentu... DIA lebih tahu kapasitas manusia yang dianggap malang tersebut menangani perasaan (mana tahu ada tindakan bodoh yang akan diambil dan mengaibkan manusia tersebut). Penulis pernah marah bila melihat/mendengar rintihan beberapa orang kenalan tanpa cinta: "Ya Allah ya Tuhanku! Kenapa tidak kau kurniakan seseorang untuk temanku yang jiwanya sepi ini?" Selalunya bila berhadapan dengan suasana begini penulis sudah bersedia dengan pelbagai kata kata penyedap yang tidak akan dikongsi di sini. Tidak perlu... cinta adalah ruang untuk dinikmati, kalau ada... diulangi, kalau benar benar cinta itu ada.


Bukankah rasa cinta kasih itu seharusnya jatuh pada dirimu terdahulu? 


Comment