PETI TELEVISYEN

PETI TELEVISYEN


Dalam bual bicara sewaktu berhimpun sesama anak anak muda progresif ada yang merujuk pada peti tv sebagai 'idiot box'. Mereka anak anak muda yang bijaksana pastilah ada sebabnya mereka berhujah sedemikian.


Sebagai ibu yang tua aku punya pengalaman peribadi yang sangat nostalgia tentang peti tv, pastinya tidak dapat lari dari menilai kembali akan perlambangan kemajuan negara. Ketawa anak anak bila aku penuh animasi berkisah tentang televisyen 2 siaran, hitam putih, menanti pukul 3 petang untuk bersiaran, rancangan toto sebagai permulaan siaran dan siaran akan ditutup setelah masuk jam 12 malam. Sungguh polos kehidupan di zaman itu. Mana mungkin mereka mengenali siapa Ho Kwee Leng (pengacara cantik bangsa cina yang petah berbahasa Malaysia di tahun 70an).


"Apa program kegemaran mama di zaman itu?" serentak mereka bertanya


Tayangan gambar Melayu/Inggeris/Hindustan/Urdu dan Hiburan Minggu Ini, Kesuma, rancangan memasak dan bila masuk zaman awal tv berwarna pastilah Tv3 dengan Majalah 3 dan Charlie's Angles yang dinanti nantikan (sekarang tengok balik kurus kering para aktresnya)


Anak anak muda terlopong bagaikan mahu mendengar lagi, kisah wanita tu dan evolusi tv.


Saudara mara atau jiran yang berezeki lebih (mungkin kena nombor ekor, mendapat laba dari jualan padi atau rezeki terpijak lain pasti peti tv akan dibeli). Ketika itu bersiap sedialah menerima kunjungan orang orang desa terdekat, dijadikan sebagai kegiatan sosial berhimpun selalunya malam Jumaat untuk menonton ulang tayang filem filem Melayu atau Indonesia. Ada waktunya membawa masam muka jadinya. Kami akan menyusun rumah mana yang mahu kami lawati, kerana malam nanti akan ada tayangan gambar Melayu lakonan P.Ramlee dan Jins Shamsuddin. Ada ketika terdehak jadinya kerana tuan rumah tidak ada, rumah gelap. (Bersangka buruk jangan sekali...).


Famili kami antara yang miskin. Ghairah membayangkan peti tv ada di ruang tamu meluap luap. Sistem bayaran tertunggak ada di pekan Bukit Mertajam yang agak kosmoplitan di tahun 70an. Sesekali kami anak anak desa akan terconggok di tingkap rumah jiran cina, setelah penat bermain toi atau apa sahaja di tepi sawah. Kami hafal waktu tayangan Giant Robot, siri alih suara dari Jepun. Ada ketikanya melepak di rumah Mak Cik Midah (dia peniaga bergerak yang bersuamikan Polis, aku rapat dengan anak anaknya) kepuasan jadinya boleh menonton apa sahaja, bertukar tukar siaran (dua siaran, difikirkan kembali itu itu jugalah racangannya atau siaran ulangan). Akhirnya sekitar 1975 barulah famili memiliki peti tv jenis bertingkap yang dibeli secara ansuran oleh kakak yang mula bekerja sebagai jurutaip kerajaan.


Godaan pada rancangan rancangan hiburan semakin rancak. Menyaksikan muzikal tempatan dan sekali sekala menonton gabungan artis artis asean (selalunya dijalankan di Singapura) skrin agak cerah. Kenapa? Kerana mereka di sana sudah menonton rancangan tv berwarna. Nah! Satu lagi evolusi tempatan yang dinanti nanti.


Penyiaran televisyen di Malaysia telah diperkenalkan pada 28 Disember 1963 (awal setahun dari tahun kelahiranku). Masih jelas di minda bagaimana Tun Hussien Onn menekan punat melancarkan siaran televisyen berwarna telah diperkenalkan pada 28 Disember 1978 diikuti oleh persembahan dari artis artis popular di zaman tersebut. Sayangnya kami sekeluarga menonton pelancaran tersebut dengan tv hitam putih.


Setelah itu apabila membaca susunan rancangan di akhbar ada sisipan (W) di hujungnya petanda bahawa ia adalah rancangan rancangan yang berwarna.


Siaran warna penuh secara rasmi, dirasmikan pada Hari Tahun Baru 1982. Ketika itu sudah terdapat 8 stesen televisyen terestrial nasional percuma ke udara di Malaysia dan 2 stesen televisyen langganan gaji nasional di Malaysia.


Pada 1 Jun 1998, harga minyak di Malaysia mencecah RM1.50 / liter, bersama-sama dengan Krisis Kewangan Asia 1997. Akibatnya, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan pelan penjimatan tenaga, yang mengurangkan waktu penyiaran setiap stesen.


Siaran di Malaysia adalah hitam putih sehingga 28 Disember 1978. Penyiaran audio stereo pertama telah diperkenalkan pada tahun 1985 oleh TV3 dan kita terus berevolusi. Dengan ratusan siaran dari parabola dan siaran berbayar astro yang mempunyai rangkaian macam macam.


Pada zaman awal penyiaran, timbulnya masalah pembiayaan bagi perkhidmatan para penyiar. Sesetengah negara mengamalkan pengiklanan, tetapi yang lain pula menguat kuasa langganan awam wajib yang berbentuk lesen penyiaran yang dibayar oleh isirumah yang memiliki peti radio (dan lama-kelamaan, peti TV juga). Satu lagi isu ekonomi. Kami sesekali merasa takut sebenarnya mendengar amaran amaran dari radio dan tv. Radio pernah dibungkus dengan guni dan disorok dalam belukar kerana tidak mampu membayar lesen tahunan radio.


Malaysia pada tahun 1999 memansuhkan bayaran lesen tahunan. RTM kini dibiayai oleh cukai kerajaan dan pengiklanan.


Kehidupan sudah jauh berubah. Mata hati kita sahaja samada peka atau tidak melihat bagaimana evolusi Peti Tv yang memberi gambaran tentangnya. Tidak ada lagi kedai kedai membaiki tv (pakar pakar tukang baik pulih anod dan katod mungkin sudah pupus), Tv ditawarkan begitu sahaja bila berpindah, Tv gemok digantikan dengan yang tipis kurus atau dibuang begitu sahaja tempat pelupusan sampah dan kedai kitar semula. Bukan main lagi anak anak di tahun 90an ada tv peribadi di kamar tidur, Mak Siah menonton tv di dapur...


Kamu tahukan bagaimana terusiknya hatiku automatis membawa nostalgia zaman kanak kanak tiap melihat akuarium yang diperbuat dari rangka Tv lama yang bertingkap?


Sesekali pada teman teman di tahun 2019 aku berkata, "I hardly watch television, infact at home I have no tv at all....,"


Comment