TUJUAN HIDUP



Sekiranya ditanya apa agaknya jawapan? Memberitahu destinasi? Mengkhabarkan kisah mahukan bahagia? Apa agaknya ya? Entah tidak pernah saya fikir pula! Alasan muda diberikan kerana kita malas atau tidak tahu mahu merungkaikannya.


Hidup ini adakalanya dikatakan sebagai proses mencari diri, betulkah? Ada yang kata salah, ia sebenarnya mereka/mencipta apa saja termampu demi diri yang bulat lengkap.


Ada yang mengatakan kalau tidak jelas hala tuju hidup, fikirkan apa yang mampu menerbitkan rasa ghairah, rasa ghairah itulah yang akan memimpin kita ke destinasi hidup. (ingat ini bukan ghairah ghairah nafsu seks ya...ianya lebih pada cita cita dan kesukaan).


Segalanya terjadi tentulah ada sebabnya. Kamu fikir pencipta kejam? DIA ada susunannya yang khusus untuk kamu. Kalaulah laluan kamu itu keras tajam berkelikir pasti ada sesuatu yang membahagiakan nanti. Itu fikiran manusia positif.


Hidup ini kita lihat sebagai tidak adil, kita tercari cari pada siapa harus kita lepaskan rasa gundah marah, tapi itu tidak akan sekali kali jadi penyebab kita mengalah untuk terus hidup aman bahagia. Sebab sebab itu mungkin tidak akan kita faham buat masa sekarang, nanum ia akan jadi garis pandu yang hebat suatu hari nanti.


Ada temanku yang berkata, "aku tidak percaya bahawa destinasi hidup adalah untuk gembira sahaja, aku rasa tujuan hidup adalah untuk jadi berguna, bertanggung jawab, dihormati dan meningkatkan rasa belas kasihan di dalam jiwa. Menghargai, menilai dan mempertahankan pada sebarang rasa percaya. Keupayaan membawa perubahan juga petanda bahawa kita benar benar ada hala tuju hidup."


"Kalau kamu tidak hidup untuk sesuatu, kamu akan mati tanpa apa apa," ujar yang kuat pendiriannya.


Memang dalam situasi buntu kita tercari cari. Arah tuju? Apa yang sedang aku lakukan? Apa ertinya hidup? Kita jadi semakin buntuk keliru.


"Tujuan hidup adalah adalah untuk bertemu kurniaan, tugas hidup pula adalah untuk terus membina. Maksud hidup adalah untuk tidak lokek berkongsi kurniaan tersebut," kata si bijak pandai. Kita termanggu lagi.


Sekiranya kamu bertanya aku ini adalah jawapannya:


Masing masing dikurniakan waktu dan ruang untuk membaik pulih diri, pemikiran dan tahap sejahtera. Ada pilihan yang berubah 360 darjah, ada yang perlukan anjakan sedikit cuma dan ada yang selesa dibimbing selamanya. Laluan, hari dan kejadian tidaklah dikurniakan secara sengaja, ada rahsia disebaliknya. Tukang cari adalah kita, semakin redha dan bijak dalam menilai segala.  


Siapa dia? Apa pilihan kita? Adakah dia itu kekasih yang kita reka dan leka? Di mana sumbangan dia sepanjang kita berkongsi hidup? Tanya juga apa sumbangan kita? Adakah kita redha atau memaksa diri? Pura pura bahagia bersama hanya merugikan tenaga dan menjadikan wajah berkerut tua, hilang seri seadanya.  


Selama ini kita terus membandingkan diri dengan orang lain yang kita lakarkan di kepala sebagai berjaya, bergaya, hebat dan wow... Kita lupa mahu melihat kelebihan diri, percaya diri dan menjadi tidak asli dalam mengejar kemahuan diri. Merasakan diri lemah, kita ikut laluan orang lain, kita tidak suka, kita paksa diri, dengan harapan penuh, mana tahu ada bunga segar atau buah buahan menarik sepanjang jalan? Yang kita temui sebaliknya hanyalah lah sisa sisa atau tidak ada apa langsung. NAH, di sinilah kita perlu TELUS pada diri. Apa yang kita suka? Bagaimana kemampuan kita? Bakat kita harus diyakini dari waktu ke waktu... barulah ada bahagia, itupun harus dibega bega dari masa ke masa.  


Setiap manusia yang hadir dalam hidupmu ada sebab sebab tersendiri, hadir semusim? seumur hidup? Mana satu harus kekal? mana satu harus kamu padamkan sahaja? Setelah ada kepastian di situ, kamu akan tahu apa langkah kamu seterusnya.


SELAMAT MENJALANI KEHIDUPAN ANAK ANAKKU SEMUA. HIDUP INI JANGAN DISEMPITKAN!!!

Comment