LAGI TENTANG KEMAAFAN

Jadinya di dunia yang kecil ini kita akan bertembung, pura pura tidak kenal atau bermata ikan kering, nampak tapi tidak melihat atau mungkin ada mata tetapi buta. Masing masing membawa bersama rasa pedih serta luka, akibat tingkah mahupun kata. Pokoknya pergeseran tanpa kemaafan.


Mengalah, memaafkan, berlebih kurang, melupakan, nampaknya bukanlah sifat mudah manusia yang semakin sensitif sejalur berjalannya masa. Kata anak anak muda sekarang: Mereka ini masing masing bagaikan artis, diva dan berilusi bahawa kehormatan terawang awang.


Pasai apa aku nak kena tegoq dia?


Selagi dia tak mai kata sorry, aku akan buat tak tau saja.


Tak jadi kat hang... kalau hang kena aku rasa hang lagi teruk kot?


Tambah pilu sekirannya hal begini terjadi dalam ruang keluarga. Siratulrahmi yang terhenti dan terpaksa mengulang cerita kisah sebenarnya apa, kenapa, mengapa, bagaimana setiapkali nama nama yang dibenci melintas. Kita marah lagi kalau ada yang mahu merapatkan kembali hubungan.


Siapa mahu jadi pengadil? Mendengar 2 belah pihak, nanti dituduh pula sebagai kepochi.


Ya, begitulah manusia. Membelai nafsu dan ego diri. Mungkin ada kenikmatannya yang kita tidak tahu, berkesumat hingga ke liang lahat. Ingat, bukan tugas orang lain untuk menasihatimu, lainlah kalau kamu bertemu dengan kaunselor kerana bahu dan emosimu mula terasa berat. Menasihati jika silap haribulan mampu jadi putus sahabat.


Masalahnya di sini, perasaan kita harus diketahui orang lain. Kisah kejadian harus diulang, ulang, ulang dan ulang lagi... entah untuk apa? Kita pulang ke rumah puas hati? tidur malam jadi lebih nyenyak? Atau apa?


Hubungan sesama manusia tercipta di alam persekolahan, keluarga, tempat kerja, kelompok sosial dan pelbagai sektor urusan lain. Perbalahannya sudah tentu pelbagai, termasuk hal hal penghinaan, kecil hati dan seremeh remeh mungkin.


Bukan tugas sesiapa memberi panduan itu dan ini untuk memurnikan suasana. Katamu, memang ada orang yang harus ditinggalkan begitu sahaja, mungkin ada orang yang berfikiran yang sama terhadap kita bukan? Namun ada pilihan pilihan peribadi seperti di bawah:


1. Bertemu dan berbicang secara bertamadun


2. Memaafkan dan tidak akan berurusan lagi


3. Menulis surat/nota/pesanan ringkas – pokoknya bertulis


4. Berpura pura lupa dan hemoi seperti biasa.


5. Tindakan mahkamah jika terlalu mencengkam


6. Mematikan sahaja si polan dalam sebarang carta hidup.


Kita manusia yang waras dan bertamadun. Pilihlah mana mana cara sekalipun. Asalkan bahu menjadi ringan, empati berganda, kefahaman tentang sifat semakin menebal. Dalam menuju sejahtera, kata kata tergelincir haruslah dijaga, fitnah harus dirungkai, gerak badan dan mulut harus beretika. Tangan harus ringan bersalam memohon kemaafan secara ikhlas.


Memaafkan/dimaafkan tidak bermaksud paten hubungan harus kembali pada sediakala. Jangan silap. Ia hanyalah proses meringankan bahu dan emosi semata mata.


Ada orang ditemui hanya di luar pagar, bukan semua boleh dijemput masuk ke dalam rumahtangga. Hati hati juga dengan si batu api, patahkan penyiasatan si kepohci demi episod yang tidak mahu disambung.


Kemaafan itu katanya dendam yang terindah, lagipun siapalah kita bukan? Menurut ukuran hanyalah setitis air di lautan luas atau secebis hama berterbaran di cakerawala.


Comment