MAK NYAH: FUNNY BUT IT'S COMPLICATED

FUNNY BUT IT'S COMPLICATED


Sewaktu membesar tercari cari arah diri (Baca: jantina, seksualiti dan orientasi) saya bertemu dengan pelbagai jenis manusia. Bermula dari lingkung keluarga, teman teman sekolah, rakan rakan yang difikirkan sealiran jantina. Ghairah mahu cepat cepat keluar dari ketidakpastian tentulah ada... Saya binggung dan selalu diaruhi oleh banyak penafian tentang realiti hidup.


Dari si lembut lembai yang takut dan pemalu, si cantik dan elegan yang mengambil angin di Padang Kota (setelah penat bekerja di lorong), pelajar kolej serta sang veteran, kami duduk bersama, bersiratulrahmi, berbual mesra, berjenaka, bertukar cerita... pokoknya bersosial menjadi kawan yang difikirkan berada dalam satu kapal.


Dari usia belasan tahun serta masuk usia awal 20an saya fikir semua kami senasib dan berfikiran sehala. Kami perempuan yang terperangkap dalam tubuh lelaki dan perlahan lahan belajar untuk menyempurnakan fizikal dan emosi masing masing dengan bantuan hormon, teknik solek dan pilihan busana. Sesetengah dari kami beruntung kerana terlahir halus mulus, berdarah Cina, Jawa atau Nusantara bekulit licin liau. Lama juga saya kekal dengan pemikiran sedemikian.


Ketawa bila direnungi kembali saat saat tidak berbusana perempuan dan diurati lelaki. Berani mati saya mengatakan,"awak gaykah? Kalau gay saya tidak berminat, saya hanya mahukan lelaki straight!"


Begitu naif sekali bukan?


Sesekali saya duduk termenung mendengar kisah kisah aneh dan pelik tentang teman teman yang saya anggap sealiran tadi. Ada yang menikah, menjadi tabligh, hilang dari kumpulan dan pura pura tidak nampak bila terserempak saat berpakaian lelaki di siang hari. Saya lupa, kerana bahawa pertemuan kami selalunya terjadi di malam hari.


Semakin dewasa semakin banyak kisah kisah aib didengari melalui bacaan (majalah fizikal - kerana itu bukan zaman internet). Majalah dari eropah tentang sekumpulan bikers gagah yang masa lapang mereka berpakaian perempuan dengan solekan dan berbusana wanita mampan, buku semi porno dengan model model transgender, kisah pembedahan jantina setelah memiliki keluarga normal beranak pinak dan cerita cerita keinsofan kembali pada fitrah (Ya, di zaman 80an sudah ada kisah kisah tersebut). Suasananya sama sahaja saat berada di Swizterland di zaman itu... kami berbicara tentang pecah lobang atau tidak. (Passing as a Cisgender Woman rupanya).


Dunia Mak Nyah diharungi lebih luas lagi setelah bekerjaya sebagai Showgirl. Dunia persembahan yang diterjah dengan hati terbuka memperlihatkan pelbagai jenis showgirl Mak Nyah atau dalam bahasa kasarnya 'Show Pondan'. Saat itu pakaian lelaki hanya ada 30% (untuk pulang kampung) kerana 70% (kasual dan glamer pentas) selainnya busana perempuan belaka. Pelbagai kisah Mak Nyah atau yang disangkakan Mak Nyah ditelusuri sambil dari hujung anak mata menilai teman teman... ada yang hanya drag malam dan ramai juga yang 'perempuan' 24/7. Penilaian masih tidak tamat.


Apa yang dinilai? Hak apa untuk kamu nilai?


Di saat otak sempit kita hanya nampak apa yang ada di depan mata. Sesekali terkejut mendengar kisah APOM, terkejut bila ada lelaki terang terang mahukan posisi menerima, kisah sang jelita yang bergenetalia besar, kisah teman pekerja seks yang laku merungut kerana terpaksa mengambil tugas sebagai pemberi, kisah insof memilih agama dan menikah (masih lagi ada).


Masih lagi dalam kadar naif sebenarnya di zaman tidak ada penerangan SOGIE secara terbuka. Secara tidak langsung, terus terang selama ini saya menjadi peribadi yang menghakim. Penghujung tahun 90an barulah hal hal SOGIE (walaupun tidak digelar lagi akronim tersebut mula dibincangkan secara terbuka) dan hanya diperkenalkan sekitar tahun 2012 dengan penerangan yang sangat berbentuk akademik.


Kemudahan internet dan kerja kerja advokasi NGO memecahkan semua kekeliruan tersebut. Menjawab segala keraguan terhadap oreintasi seksual, identiti gender pilihan dan jenis jenis ekspresi (cara berpakaian, gerak tubuh, tona vokal, jantina mana dan lain lain). Itulah saatnya saya memberanikan menulis buku tentang Mak Nyah yang dizahirkan pada tahun 2014 dengan harapan tidak berbau prejudis tentang apa jenis Mak Nyah yang ada di Malaysia selain dari hajat besar untuk memberi kejelasan pada ibubapa yang gelabah kecewa melahirkan anak Mak Nyah malang yang sering diugut dengan hal hal agama, bangsa dan adab tuntutan hidup.


Penerangan dalam buku tersebut dibuat dengan bahasa yang mudah dan santai agar mudah difahami.


Di saat saat hijau dahulu saya fikir semua lelaki yang berciri ciri feminin adalah Mak Nyah tegar. Dimaafkan awal awal kerana faham bahawa ada yang tidak mampu berpakaian perempuan akibat kekangan keluarga, agama, masyarakat, kerjaya dan tuntutan sosial yang menyusahkan.


Kini setelah masuk tahun 2020 saya mula melihat pelbagai fenomena yang harus diambil kira:


1. Beza antara Mak Nyah dan Crossdresser


2. Tarikh lupus hidup sebagai Mak Nyah


3. Drag Queen yang hanya suka suka atas lesen Mak Nyah


4. Bahasa kasar dari mereka yang berpakaian perempuan dalam kehidupan seharian, video suka suka di medsos, representasi yang silap dan hal hal memalukan kaum Mak Nyah.


5. Kisah 6 bulan 6 bulan yang sering dinobatkan


6. Mitos mitos hidup sebagai Mak Nyah


7. Konsep silap dalam dunia Mak Nyah


8. Hencapan bertalu talu tentang kisah 'Play Woman'


9. Para pengambil kesempatan terhadap isu isu(jenayah, politik, agama dll)  berbangkit kaum Mak Nyah


10. Kesan dadah (HRT, Dadah Sintetik, Dadah Hiburan, Ketagihan)


11. Kesihatan MENTAL dan KESEJAHTERAAN manusia yang harus diberikan penumpuan.


Alaf baharu - 2020 berterusan memperlihatkan pelbagai komplikasi kehidupan Mak Nyah (politik, agama, sosial). Dengan adanya SOGIE kita sudah berani menjawab pertanyaan adik adik yang keliru, samada dia benar benar Mak Nyah? Perlukah SCS dilakukan? Apakah semua Mak Nyah harus cantik dan tidak pecah lobang? Fungsi Mak Nyah dalam masyarakat? Advokasi terhadap hak untuk mendapatkan perkhidmatan di Undang undang, KKM, Polis dan pelbagai urusan lain di sektor awam juga swasta. Begitu juga kerjasama dengan para NGO demi untuk tidak diperkotak katik atau salah representasi


SILA AMBIL HENTANG bahawa hidup tidak kira pada jantina apa sekalipun adalah berkomplikasi jika kita tidak mampu memahami dan berdamai secara terbuka.


------------------------------------------------------


NOTA: Artikel ini tidak berniat untuk membezakan para LGT di sebarang peringkat langsung. Ia hanyalah pencerahan, agar setiap individu Mak Nyah faham dan bermula awal untuk tidak menjadi prejudis saat menjalani kehidupan sebagai Mak Nyah. Teman teman mengedik sejak di bangku sekolah semuanya menikah dan berkeluarga, kami masih bertemu saat reuni dan menghormati sesama.


Keanehan hanya akan wujud tanpa Ilmu dan pemahaman. Kita harus menjalinkan hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja tanpa mengira jantina selagi masing masing tahu menghormati diri masing masing. 


Comment