DIA TIDAK MAHU PERCAYA




DIA TIDAK MAHU PERCAYA


Kamu pernah kenal di zaman hingus sekolahan, mungkin ketika kolej, saat usia belum matang. Masing masing hilang ditelan waktu dan menyerap aroma kehidupan. Tidak jelas tempohnya, tiba tiba bertemu kembali di layar maya. Bertanya khabar seolah ada rindu di situ. Mungkin kenangan manis, suka, duka atau kekonyolan semata.


Dia tanpa sedar mula menalaah dirimu yang baharu. Sesekali berkomentar lucu dan serius bila masuk hal hal sosial, budaya dan juga kepercayaan. Kamu gembira bertemu kembali, paling tidak masih ada teman lama setelah yang lain sudah pergi ke dunia abadi. Garis waktu alam maya juga berlalu... masih berutus khabar.


Kiranya ada di pekan yang sama dan waktu nyaman menyebelahi kamu mengatur pertemuan. Berbicaralah tentang apa sahaja di bawah langit. Bertahniah pada segala capaian manusiawi masing masing. Sesekali dia nakal mempertikaikanmu. Aksen dan bahasamu yang teradaptasi tanpa sedar diungkap lancar bila melewati hal hal penting. Dia jadi tidak percaya bahawa itu adalah kamu...


Di mindanya kamu harus seperti dulu. Lemah, sedap dibuli, dijadikan badut dan tidak pernah menang apa apa. Dimahukan kamu kekal seperti itu, ya itu juga baginya adalah nostalgia kerinduan. Kamu memaafkan dia dalam diam, menurutmu hal hal remeh jangan dilayan sangat. Dia berterusan begitu. Lewat dinding medsosmu yang semakin beropini, perkongsian menarik (selaras dengan berkembangnya otakmu demi pengalaman hidup) dia juga seakan mahu menyanggah. Hatinya tidak mampu melihat kamu sebijak itu, dia mahu mengolah juga opini yang sama yang jelas jelas sudah kamu utarakan...


Awalnya kamu bertanya kenapa? Bukankah maksudnya sama bukan? Dia mungkin tersedar, lantas mengalih secara berlucu jenaka. Setelah paten budinya terlihat sama sahaja, kamu mula terfikir berpada sahaja ignorance is a bliss serta mula menidakkan sebarang komentar/opini/dindingnya secara damai, damai diam. Resah dirinya kamu tafsir lewat hantaran di dinding peribadinya yang semakin berkurangan. Sesekali dia menyalin lekat pepatah Inggeris yang berbisa. Kamu tidak perduli kerana hal random sebegitu tidak semestinya kamu...


Usah menjadi hairan, orang begini wujud. Dia mahukan kamu yang dahulu, yang bodoh bodoh alam, menjadikan dia hero, memujanya, terhutang budi dan dihormati. Di kotak fikirnya kamu itu tetap orang yang sama, manusia lemah yang tidak akan mampu menandinginya. Dia gagal mahu mengiktiraf dirimu yang jauh lebih positif sekarang. Acapkali dalam hantaran yang mampu dilihat oleh ramai teman teman lama dan baharu kamu dia akan mencari jalan untuk mengingatkan kamu tentang khilaf lalu, lekeh dulu dan kebodohan lalu... dengan kata kata sopan tersusun, dengan harapan kamu mengiktirafnya dalam hantaran balas kurang lebih mengatakan, "Ya...kamulah yang terbaik, terima kasih, tanpa kamu apa yang akan jadi pada diriku, kamulah sang pengispirasi"


Dia masih tidak percaya. Jiwanya kuat menafikan bagaimana si kurap itu mampu terlibat hebat. Kiranya dia celupar mahu dimakinya kamu secara terbuka mengatakan kamu tidak berhak. Dia juga pernah menidakkan kamu, tetapi tidak berdaya. Kamu semakin bijak, waras, bertanggungjawab, berhemah dan digemari ramai di dunia maya. Jadinya apa? Dia kembali dengan kenyataan kenyataan berbentuk sindiran, sindiran tentang leka dunia maya, kesepian tidak terungkap dan macam macam. Kamu tidak peduli, terus berada di landasanmu dan dia masih lagi dalam lingkung geram tidak kebah.


Kita bercerita tentang teman teman lama, kenalan, saudara mara yang selama ini tidak berkemampuan melihat potensi orang lain. Tidak melatih diri berbangga dengan pencapaian orang lain, pura pura bertanya soalan berulang kali atau apa sahaja gerak geri. Memuji dan mengkagumi jarang sama sekali... mahal dan kamu jenis yang tidak mahu berkisah tentang keburukan orang kerana hanya peduli pada balapan/lorong/jalan/ruang kamu yang mahu dimudahkan lancarkan saban hari.


Mereka wujud dan dalam diam menjadi sangat takut pada dirianmu yang semakin wow! Tegas! Pragmatik! Maju jaya! Dikagumi... meskipun kamu bukan pesaing, mereka jadi lelah melihat semua itu sedangkan selama ini mereka gagal menilik diri dan terikat pada acuan lama yang dirasakan paling betul dan terhebat tanpa ditelan masa.


Ini belum masuk babak kesihatan dan fizikal diri yang berubah. Dakapan masing masing bagaimana?


Ya, dia masih tidak percaya. Diingatkan bahawa kamu sudah tua...


Lama lama dia hilang. Alasannya bosan, faktor kesihatan, merugikan masa, keburukan sistem internet dan sesekali dihamburkan rasa kesal bagai menjemput dosa berada dari ruang alam maya. Sedangkan kamu terus berpositif dengan dunia maya, punya teman teman baharu dan lama pelbagai, peluang niaga yang digarap, berita berita yang pantas diterima. Kasihan padanya, sedangkan medsos yang dipositifkan mampu mendekatkan jiwa, malah perkongsian tepat sesekali boleh jadi penawar jiwa yang duka.


Selamat melayari medsos dengan jiwa yang aman sentosa!


Comment