SEPI DAN INTENET


SEPI DAN INTERNET


Perasaan sunyi akan tetap menyerang manusia tanpa mengira siapa. Sesama teman dahulu sering kami tekankan bahawa Diva X sekalipun akan tetap diserang rasa sepi. Manusia mana sekalipun harus tahu bagaimana menangani rasa SEPI.


Sepi jangan disalah anggap pula hanya sebagai kerinduan pada hal asyik masyuk cinta nafsu sahaja. Ia melibatkan pelbagai segmen hidup.


1. Merasa diri terpinggir dalam kelompok semasa


2. Suara hati tidak mampu diperdengarkan


3. Hasrat jiwa yang sukar mahu digambarkan


4. Sunyi dalam keramaian


5. Tidak bebas bersuara akibat kekangan yang macam macam


Internet dan dunia medsos membenarkan pesona baharu muncul, mengizinkan lowongan yang ditafsirkan sebagai nikmat untuk bersuara, berpendapat, menarik perhatian serta membibitkan rasa puas hati.


Pepatah lama, 'berlebihan gula semut binasa' perlu diambil kira dan masih ada relavannya. Berada di dunia medsos bagaikan satu pertandingan mencuri perhatian secara hakikatnya. Mungkin ada yang membantah kenyataan ini, namun ia harus diteliti semula. Kebaikan medsos sudah tentu ada, pertama tamanya membenteras rasa sepi.


"Boringlah! Bosannya! Ada sesiapa nak teman tak? You all lainlah....orang cantik! I am so bored! Hai selamat berkenalan! I sukalah tengok mata you! Celaka punya kerajaan!" ini antara luahan luahan yang hadir akibat sepi.


Manusia akan sentiasa mahu berhubung. Paling tidak bertukar informasi dan mendengar berita semasa. Di jalur masa medsos, akan sentiasa ada paparan dan godaan memikat. Hal ini sudah kamu lihat sendiri (sekiranya peka). Sedar atau tidak terpulang pada kamu para pelayar.


Bagi mereka yang aktif memuatnaikkan status dan paparan, segala ciri ciri penting tentang nafsu manusia sudah diambil kira. Mereka antara pakar yang tahu membezakan ilusi dan nyata. SEPI antara elemen yang boleh dimanipulasikan sebaiknya. Sepi juga jadi pendorong pada segala sambutan yang akan diberikan. Adalah asli untuk manusia beralternatif dalam menangani rasa sepi. Sekali lagi diulangi bukan semua hal sepi itu melibatkan hal lucah, seksual, urat mengurat atau percubaan untuk berkenalan. Isu isu semasa juga mampi menjadi perhatian para pelayar.


Sedar tidak sedar kita semua antara manusia yang sepi. Kadarnya sahaja tidak sama.


Telefon pintar sudah ditangan. Sebaik bangun dicapai, mahu tidur juga sempat dicalit atas bawah melihat apa paparan terbaharu. Beremosi adakalanya akibat sepi, sesekali marah pada sistem dunia, tidur tidak tetap masa.


Ubat sepi yang kita telan kini sudah jadi sebahagian dari nafas hidup. Tanpa sedar kita nikmati. Ternanti nanti pada suapan bagaikan kisah anjing dalam teori Pendidikan Pavlov. Masing masing punya misi dalam melayari medsos dari si bujang hinggalah sang suri rumahtangga. Sesekali akibat sepi segalanya jadi terbabas, termasuklah beremosi pada gerak tingkah dunia politik.


Sepi kalau sudah dalam pelbagai ragam, digabung selirat pula di dinding medsos mampu membuahkan gawat. Kutukan, jenaka, sinis, marah, perlian dan macam macam lagi sifat manusiawi. Beruntunglah mereka yang mampu menidakkan dan bersahaja apabila melihat fenomena ini. Luahan luahan sensasi sengaja diuar uarkan oleh pemilik situs lapar, kerana dia tahu akan galur emosi pelayar. Bayangkan bagaimana tertariknya kita pada kisah kisah artis pop, debat politik, kisah sosial negatif dan apa sahaja yang dikatakan sebagai 'Human Interest'.


BUKAN tugas saya untuk menggariskan apa yang patut dilakukan jika sepi. Segala ulasan di atas tentang SEPI sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir. Tahu membahagikan antara ilusi dan realiti hidup sebenar serta mengambil jalan tengah untuk bersifat bagaimana terhadap dunia medsos. (mahu papar atau membaca paparan)


Di luar sana masih ada lagi bau kopi hidup yang harus dihidu. Peruntukan waktu untuk bermedsos bagaimana? Hubungan dan kenalan di medsos ditangani sebaik mungkin (kerana ada yang betul dan ada yang beralter ego). Kenal pada butang butang penting demi keselamatan diri. Pesanan buat diri sebelum kata kata dihamburkan dalam sebarang ruang status atau komentar.


"Sepi adalah penyakit manusia yang harus dirawat," kata watak dalam novel Budiman.


Banyak tingkah yang disesali hadirnya dari jasad yang sepi.


Comment