LELAKI GAY DAN PEREMPUAN YANG TERTIPU

BICARA TENTANG LELAKI GAY


"Hensemnya dia... macam bintang filem..., aku suka gaya dia"


"Awas...dia sesuatu tau..."


"Huh? maksud kau...?"


Terjerumuslah kita pada terma hangat LGBT yang di'stereotype'kan secara konvensional, generalisasi berfomula, pendapat atau imejan berdasarkan orientasi atau identiti gender manusia LGBT. Persepsi yang terhasil daripada interaksi dengan pelbagai kesempatan suasana termasuk jamuan media, kenalan terdekat, melihat dari jauh dan kita fikir itu sahaja acuan yang ada pada manusia LGBT.


LGT kekal sebagai tema hangat sebenarnya. Media mungkin ada vault istimewa, jika tiada berita panas lain (politik atau artis buat hal) sisipkan sahaja kisah kisah mereka. Penuh yakin sang editor melampirkan ciri ciri fizikal indentifikasi sang G dan L. (T - sepuluh batu sudah mampu ditebak).


Menurut sebuah akhbar tempatan sensasi, terpamer kualiti tersendiri para G, antaranya baju T kolar V, sukakan kemasan janggut, menjadi ahli gim - bukan untuk bersenam tapi untuk mengurat serta gemar pada pakaian dan barangan berjenama. Menurut artikel tersebut sang G akan cerlang mata bila mereka melihat jejaka tampan lain. Hebohlah dunia medsos dari waktu ke waktu jika artikel itu di kitar semula dengan tajuk berbeza.


Hakikatnya peribahasa, "sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina,' tidak boleh diaplikasi dalam penentuan identiti gender dan orientasi seseorang.


Mata siapalah yang paling pakar? Kalau pakar tidaklah terjadi kesilapan dinikahkan dengan sang G dan kisah kisah aib rumahtangga saat terbongkar cerita di Mahkamah Syariah.


Gelar GAY boleh mewakili lelaki atau perempuan gay (terpikat pada manusia yang berjantina (genetalia lahir) sama - homoseks). Taksirannya begitu keliru berlapis dan membawa bersama konotasi yang tidak sedap untuk jadi tajuk bual bicara, apatah lagi jika ia melibatkan orang terdekat dalam hidup. Berbicara pula dengan manusia yang hidup di bawah tempurung dan berakal sempit.


-----------------------------------------------


"Tapi dia tak nampak Lesbian pun? Nampak macam pompuan biasa biasa saja?"


"Lesbian tu macamana? kau citerlah sikit..."


Nah, di sinilah akal dan budi pemahaman manusia dituntut. Mana mungkin kita mampu menebak jantina orang secara mendalam selagi tidak mencari peluang berbicara dari hati ke hati dan mendapat jawapan yang tulus ikhlas. Ditokok pula oleh acuan tradisi yang membekas tegar.


Selalunya masuk bab seksualiti, manusia tidak kira di barat, timur selatan atau utara jarang mahu berbicara penuh, ia melibatkan maruah dan aib diri. Ramai juga yang menderita akibat usaha peribadi mengekang kemahuan seksual yang difikirkan SALAH, kotor, berdosa dan bertentangan dengan norma kehidupan.


Kamu fikir manusia terbuka moden seperti filem filem 'coming out' Hollywood yang kamu tonton? Jangan silap sayang...


Setelah menulis dan menghadiri seminar tentang seksualiti, beberapa kenalan medsos yang terdiri dari pelbagai jantina mula berani membuat pengakuan, penulis berjanji untuk berAMANAH atas sebab tertentu. Dua tiga kaum perempuan hampir atau telah dipergunakan oleh Lelaki Gay untuk tujuan peribadi masing masing. Fenomena yang pilu tentunya.


------------------------------------------------------


Secara ringkas ayuh kita semak jenis jenis LELAKI GAY yang ada:


GAY BERUANG


Merupakan lelaki gay berfizikal besar atau obes agam berbulu. Mereka ada peminat tersendiri. Sesama beruang atau menarik gay lain yang memang menyukai pasangan beruang. Terdapat banyak aturcara pertemuan sosial gay beruang. Mereka selalunya mempamirkan imej 'rugged masculinity'.


GAY LEMBIK


Mereka bukan mak nyah. Suka pada hal hal kewanitaan dalam menata penampilan dan bual bicara. Jangan digelar mereka mak nyah boleh marah jadinya. Busana dan penampilan agak feminin dari hujung rambut dan kaki, tetap mengatakan mereka sukakan fesyen. Fabuluous! Gay Lembik ada ketikanya jadi transit sebelum mereka menjalani kehidupan maskulin (setelah usia matang) atau sebagai Mak Nyah. Selalunya meminati pertandingan ratu, tidak kiralah Pertandingan Antarabangsa atau Ratu Yuran.


GAY LURUS (straight acting)


Sesetengah kaum gay terbelenggu dengan hal tradisi maskulin dan tidak selesa dengan gay lembik dan Mak Nyah, ada rasa dalaman yang tidak sedap bila terpaksa bersosial. Takut diketahui orang, merancang bunyi ucapan (tona suara) dan gerak laku maskulin. Perasaan negatif dalam diri berperang hebat dan hanya selesa sesama gay lurus yang juga maskulin. Memang ada gay lurus yang semulajadi tanpa sebarang ciri keperempuan langsung.


GAY KOLAR BIRU


Kolar biru adalah gelaran untuk sektor pekerjaan. Tidak kira samada mereka itu askar, polis, mekanik, pemandu lori, buruh binaan atau sebarang kerjaya yang secara tradisi dianggap jantan. Ya, mereka wujud dan orang sekeliling tidak boleh lagi bersikap tradisi menebak bahawa kalau si polan kerja di pelantar minyak contohnya adalah mustahil dia seorang gay. Begitu juga persepsi para LGT ketika mahu mencari pasangan, mereka harus tahu kolar biru tidak menjanjikan ciri ciri yang dibayangkan.


GAY MUSLIMAH


Ini fenomena yang agak lucu. Gay Muslimah hanyalah gelaran lucu pada kaum gay lelaki yang terlibat dalam giat beragama secara taksub. Hanya kerana mereka berlatar belakangkan sekolah agama atau lulusan tinggi Pendidikan Islam, dan gemar berbicara tentang polemik yang bukan hanya tentang seksualiti dalam agama. Sesekali terlupa tampil bagaikan ulama untuk menetapkan dosa dan pahala, paling parah jika mereka menetang cara hidup LGT lain. Kecenderungannya menjurus pada hal hal yang melibatkan agama, paling jelas di jalurmasa medsos... kegiatan usrah, hadir ceramah ustaz idola, bergaya depan masjid dan membicarakan hal ketuhanan berlatar belakangkan agama anutan. Ada ketikanya dipamirkan keghairahan palsu yang kononnya minat perempuan dan mahu menikah.


GAY FLAMBOYAN


Hampir sama dengan gay lembik. Jangan harap dia akan tampil dengan gaya biasa biasa. Tidak mungkin. Cara berbicara juga sangatlah sesuatu. Maknanya seluruh imej dari penampilan, pilihan busana OTT dan aksinya semulajadi atau dilatih untuk mewakili diri. "Oh! My it's fabulous..." bila memuji atau saat terluka atau marah aksi akan jadi lebih tajam. Pokoknya dia harus menjadi perhatian, walaupun jika ditanya kamu tidak akan mendapat jawapan tepat. Ada yang mempunyai style tersendiri dan peka fesyen, walaupun dilihat pelik.


GAY ALMARI


Bunyinya aneh. Kehidupannya tidak mampu kita jangka. Bolehlah dianggap PERAHSIA. Ada yang mampu menjadi diri sebenar hanyalah dalam lingkung selesa yang dipercayainya sahaja. Risau jika seksualiti, orientasi dan gendr sebenar diketahui orang. Ada yang tidak mampu ditebak walau oleh ahli keluarga atau teman teman rapat. Dia selesa begitu dan tidak nyaman untuk berkongsi hal seksualitinya dengan sesiapapun. Hanya akan diketahui saat 'come out' sewaktu curhat bila perlu atau terdesak. "I was a closeted queen for many years...." di saat pembebasan dari penjara rekaan sendiri.


GAY BIASA BIASA


Dia tidak peduli, menjadi diri seadanya. Penampilannya di tengah tengah, suka untuk ditebak. Banyak mendengar dan tidak beria memberi pendapat apa apa tentang seksualiti... bagi lelaki gay biasa biasa, kalau diketahui tidak apa, tak tahu okay juga, bukan tanggungjawab dia menjawab soalan soalan dalam kain dan ditepis sopan pada ajakan untuk berkasih, bercinta, menikah oleh perempuan cis. Ya, ajakan dari perempuan cis yang rabun seksualiti, orientasi dan gender.


GAY BIARAWATI


Atas dasar kesukaran dan rigidnya menangani hal seksualiti di negara dan tanggapan masyarakat, ada kelompok gay yang hidupnya terlihat mendatar. Jangan sekali kali ditanya tentang lelaki pilihan, kekasih dahulu, cerita seks atau hal hal hubugan emosi atau badaniah, itu tidak beretika! Ada yang mengambil langkah untuk hidup sebagai ASEKSUAL. Orang sekeliling gemar menebak nebak dan berfikir ia suatu kelucuan. Mereka berhak untuk tidak memberi sebarang jawapan atau pendapat walaupun sekeliling ghairah mencuit korek setelah percaya pada ciri ciri tradisi (traits of a Gay). Menjadi selibat (celebate) - abstinence of sex.


------------------------------


Selainnya ada gelaran macam macam yang menusup masuk dalam kategori yang disenaraikan di atas. Ada gay ikut keadaan, cuma berhura hura bila dalam kumpulan yang tepat, gay penafian seringnya marah marah bila dicuit tentang seksualitinya. Pokoknya itu adalah pilihan peribadi mereka. Bukan semua manusia lelaki gay itu penuh yakin menjadi terbuka, sama seperti cisgender juga dalam banyak hal hidup. Ada kajian yang mengatakan bahawa kes kes pembunuhan/pembantaian gay selalunya hadir dari mereka yang homophobia yang mempunyai sejarah psikologi sebagai gay juga (pengamal homoseks atau bersejarah hitam akibat laku homoseksual)


"Nok kalau mak pompuan sekalipun ada mak jentik telur kau?" mungkin itu jawapan jika lancang berani bertanya.


"Dorang macamana? main sesama dorang ek?" sang teruja terus berteori konspirasi.


"Yang kongsi hidup dengan Transnita apakah mereka juga gay?"


"Bukan, dia mungkin sang Lelaki Skolioseksual atau Panseksual... kajilah sikit."


"Apa kebenda yang kau sebut tu?"


"Sayangnya...mereka ramai yang berbakat. Sayang kan?"


"Huh? kenapa pula? itu takdir peribadi, kau ralat kerana ada menaruh hati atau menelan liur sensorang?"


"Taklah...takkan dia gay? Dia ada 3 orang anak tau..., bini dia lawa..."


Perasan tak? Tidak disentuh B yang ditermakan sebagai Bi-Seksual (Tidak mahu memberi mereka lemak, selalunya manusia akan menjurus suka hanya pada satu jantina bertentangan. Akuan 'Biseks' selalu jadi platform untuk bermain selamat manusia bila tertangkap, diketahui orang atau jadi kes umum). - ini adalah pegangan penulis secara peribadi.


Pokoknya mereka boleh tampil sebagai apa sahaja. Keberanian dan ketelusan diri tidak semestinya hadir dengan lentok tangan, gelek patah riuk dan jari meruncing atau suara yang dikepit, berlingo pondan, jeritan soprano atau gaya gaya Jaafar Onn.


PEREMPUAN PEREMPUAN TERTIPU?


Sejak tahun 80an penulis menyaksikan fenomena ini. Mengatakan perempuan DITIPU adalah tidak tepat sebenarnya.


Beberapa kes terjadi pada rakan sebaya membuatkan SOGIE dikaji semula secara peribadi. Ya, mereka menikahi perempuan cisgender. Ada yang berjaya, ada yang gagal separuh jalan. Sayangnya artikel ini tidak membenarkan nama sebenar digunakan.


KENAPA MENIKAHI PEREMPUAN?


- dinikah paksa oleh keluarga. Ugutan tentang harta.


- mereka mahukan zuriat


- secara agama dan spiritual berniat keluar dari lingkung GAY


- mencari perempuan desa polos, supaya modus operandi mudah.


- Perempuan baik yang memberi peluang ke 2


- Penipuan seratus peratus dengan selesa. Cabaran peribadi.


Ada yang beranak pinak dan meinggalkan terus kehidupan gay, ada yang membahagikan waktu famili/hura hura, malah ada yang hanya bertahan selama beberapa bulan sahaja.


Kes kes yang memeranjatkan banyak terjadi. Penulis jadi terfikir akan kesilapan sewaktu remaja memikirkan bahawa teman teman tersebut sama seksualiti dan orientasinya.


SILAP BESAR.


Kes Siti - bukan nama sebenar - yang hidup sebagai perempuan bertahun tahun dengan pasangan lelaki akhirnya hilang, terserempak berpakaian lelaki dan akhir cerita menikah dengan perempuan dan beranak pinak - tiap terserempak Siti akan mengelak sebaik mungkin.


Teman sekolej (gay lembik) beratur di kaunter bayaran bersama isterinya yang bertudung litup, memberikan signal jari dan mata JANGAN TEGUR dan penulis menghormati suasana tersebut.


Si tampan bersuara halus dari Seberang Prai? Siapa tidak akan terpikat? Jawatan bagus, gaya model macho. Bahagian suara dimaafkan. Mendengar berita pertunangannya disekitar 90an membuatkan rakan rakan tertanya. Kenduri kendara yang gah dilaksanakan. Rugi besar, kerana bercerai hanya setelah 3 bulan. Terakhir terserempak di awal tahun 2020, nampak jelas beliau tidak selesa takut bual bicara jatuh pada hal tersebut.


Anita (bukan nama sebenar) adalah perempuan cisgender berpelajaran tinggi. Menghubungi penulis berkisah tentang bekas suaminya. Perkahwinan selama 6 bulan tanpa menyentuh badan langsung (tiada hubungan intim badaniah). Suami ketika itu sibuk dengan aktiviti gim dan ada kawan rapat. Ibu mertua pula hidup dalam penafiah berat. Mencari ustaz untuk merukyah sang suami. Masih tidak berjaya... mereka akhirnya bercerai. Kita tidak mahu bererita tentang $$$ yang habis saat penikahan, bagaimana dengan self esteem si perempuan? kamu fikir adil? Kisah Anita bukanlah kisah pertama sebenarnya.


Kenalan lama Haziq (bukan nama sebenar) sewaktu remaja sama sama berpakaian perempuan secara curi curi. Beliau orang yang baik... terkejut kami mendengar dia menikahi teman sekerja dan mula berpakaian seperti lelaki biasa. Sesekali kami masih bertemu untuk minum kopi di tahun 90an. Dia berterus terang, masih menjalin hubugan dengan lelaki yang kami kenali, sesekali bertemu gay lain untuk hubungan seksual dan menjalani hidup sebagai suami pada si perempuan. Anehnya kisah Haziq bukanlah kisah yang pertama dalam hidup saya, terdapat 5 orang teman teman lama yang melalui kisah yang hampir sama...ada yang bercerai dan ada yang berpisah mati.


Ramai berteori tentang niat 'COMPANIONSHIP'. Perempuan cisgender dalam banyak situasi tahu akan status jantina suami mereka. Mereka bahagia memberikan peluang ke 2. Jelasnya bukanlah semua perempuan ditipu oleh suami gay mereka. Ada topik yang sukar untuk dibawa ke meja bulat rumahtangga.


Begitu juga situasinya bila sang perempuan diperkenalkan dengan dunia Crossdressing yang selama ini diamalkan oleh sang suami. Ia melibatkan keaiban jika diceritakan secara terbuka, masing masing mencari jalan untuk berkompromi. (Kalau nak buat benda benda begini cari lokasi jauh dari rumahtangga atau pergi ke negeri lain). Fenomena 'crossdressing' ada di negara ini.


Kita belum bercerita lagi kisah hidup bersama Pengkid secara Sah/legal demi kompromi hidup... tepuk dahi jadinya nanti jika tidak didalami ilmu SOGIE.


--------------------------------------------------


Ciri ciri? tidak ada ciri ciri yang tepat dalam penentuan orientasi dan seksualiti. Ia mungkin boleh disentuh secara akademik di aras asas sahaja. Pengertiannya di minda fikir individu mungkin berbeza.


"10 batupun orang tau kau siapa..!" Memang ada orang dilahir dengan fizikal dan rupa paras yang memang secara kasar dikatakan pondan. Tidak cukup menilai hanya secara fizikal, TETAPI hanya jauhari yang kenal manikam.


Diskriminasi sesama komuniti bagaimana? Baiki sifat tersebut. ada sejenis kepahitan berselirat.


Jika benar sekali dia lelaki gay, apakah dia memberi kerengsaan pada kamu? Apakah melintas rasa meluat di hati kamu? ada rasa benci yang tidak dapat diuraikan? Nah...ini masanya untuk retrospektif diri... kamu rasa rugi? kenapa? kerana kamu andartu tidak laku? Kekurangan jantan untuk didekati? teringin untuk dibelai? atau kamu ada berhajatan?


"Homosexuality is illegal in Malaysia and punishable under a colonial-era sodomy law that carries a 20-year prison sentence"



NOTA: Segala yang tercatat dalam artikel terbuka ini hanyalah pengalaman peribadi penulis. Ditulis secara ringan demi pemahaman. Tanpa sebarang niat provokasi selain dari pendidikan tentang hal SOGIE (sexual orientation, gender identity and expression). Penulis menghormati segala jenis manusia dalam apa bentuk sekalipun.

Comment