SEWA RUMAH BUJANG

PERSEDIAAN SEWA RUMAH BUJANG.


Mahu tinggal sendiri atau berkumpulan? Jangan diva sangat kalau kewangan hap hap nyawa ikan. Mama sarankan kamu tinggalkan bersama dua atau tiga teman teman sekolej atau tempat kerja. Boleh juga ditawarkan pada mereka yang tidak ada ikatan belajar atau kerja. Kenapa menyewa? Kerana kamu berada tercorot di bawah paras anak orang ada ada, atau paling tidak ada juga rakan sokong bantu saat cemas atau ketika hati galau.


1. Lokasi dan radius tempat belajar atau bekerja.


Haruslah kondusif. Tidak guna melarikan diri jauh dari titik penting. Jika dalam kawasan lebih baik. Niat mahu menjadikan rumah sewa sebagai pusat maksiat sebaiknya dielakkan. Kemudahan pengangkutan awam sekiranya tidak memiliki kenderaan diambil kira - masuk budget.


2. Dana yang harus dikeluarkan? Pastikan ia berbaloi bila melibatkan wang muka sewa rumah (api air dan telekomunikasi). Semak dana tawaran. Sebulan berapa? Dibahagi berapa? Begitu juga dengan dana untuk belanja dapur jika berura ura mahu makan di rumah.


3. Peralatan rumah asas? Bermula dari dapur, ruang tamu, bilik tidur bagaimana? Kamu bukan anak menteri yang hanya ke Kedai Perabut dan menunding itu dan ini. Buat carian tentang kedai terpakai di sekitar kawasan (tilam, katil, almari) atau boleh dicari di sesawang jualan murah terpakai internet atau tawaran dari individu. Biasakan dengan perasaan tidak malu kerana memakai barang bekas, jangan perasan sangat ya...


4. Sekitar Dapur: Peti ais, ketuhar gelombang mikro, mesin basuh, dapur asas satu tong gas. (dibeli secara berkongsi atau ketua rumah membeli peralatan terpakai). Ini antara peralatan yang akan memudahkan hidup. Memasak juadah mudah adalah pendidikan yang hebat tidak kira siapa kamu.


5. Jadual atau tugasan membersihkan rumah sebelum bertukar menjadi habit masing masing haruslah di bahagi bahagikan. Bilik air yang berlumut bagaimana? Kebersihan menyeluruh? Jika dikongsi pastikan masing masing tahu langkah sepatutnya dan jadi lebih ringan. Ini antara fasa untuk melihat tanggungjawab dan sifat baloq liat yang tidak boleh dibawa ke dalam hidup dewasa bila menempuh hidup baharu. (tidak salah jika dilekatkan tugasan yang dipersetujui di pintu rumah untuk panduan masing masing)


6. Menghormati privasi rakan rakan sewa. Membaca sifat setiap penghuni termasuk diri sendiri dan berterus terang jika ada pencabulan terhadap privasi. Begitu juga menghormati kejiranan setempat. Begitu juga dengan privasi pantri makanan. Belajar untuk menjadi bertanggungjawab. Minta izin. (termasuk menghormati pantang larang rakan rakan sewa jika berbeza agama, bangsa dan fahaman)


7. Ruang hadapan? (laman rumah jika rumah teres) Adakah akan dibiarkan berserabut lalang kerana malas, berkira atau penting diri (kerana itu bukan rumah milik aku). Buat penetapan berakal dewasa.


8. Siapa tetamu kamu? Pastikan kehadiran tetamu tidak menyusahkan teman teman sewaan. Boleh tidur atau menumpang seketika? Dapatkan kebenaran dari rakan rakan sewaan walaupun kamu ketua.


9. Bayaran bulanan yang tepat agar tidak menyusahkan semua pihak. Ini antara hal tanggungjawab yang tidak seharusnya jadi masalah kerana masing masing sudah dewasa, jika tersangkut jangan takut atau malu untuk membuka mulut


10. Buruk sangka dihindari sama sekali. Masing masing akan mempunyai kenangan manis di hujung hari nanti. Sesama mungkin boleh dipelajari tentang hal hal sikap dan menjalinkan siratulrahmi murni, kerana mereka sudah jadi saudara mara kamu.


Tinggal beramai membolehkan kamu mendapat pengalaman yang berharga. Sisi peribadi akan mampu lebih terserlah dikekalkan atau dibaik pulih akan sisi tersebut. Kamu mahu bekerja dan pulang ke rumah yang selesa tanpa rungutan atau penat belajar dan mahu pulang untuk istirehat mendamaikan fikiran.


Rumah sewa akan tempat melatih sifat toleran, mengutip suara ramai bila perlu, menjalinkan persaudaraan yang awalnya tidak pernah dibayangkan.


Sewa berkongsi tujuan asasnya adalah untuk mengurangkan beban hidup di alaf yang sesak ini... selamat mencuba wahai anak anak bujang trang tang tang. Sifat sifat yang elok di bawa ke hadapan dalam ruang hidup mendatang.


"laissez-faire" Sejenis polisi hidup tidak boleh diamalkan. Bukan tidak pernah kita saksikan suasana rumah sewa anak gadis setelah ditinggalkan, rumah sewa Mak Nyah/gayboy yang wow, penyewa cisgender yang lari tengah malam dan kisah kisah penyewa dari neraka...aduhai...zub zub zub!



Nota: Penulis menyewa sejak zaman kolej hinggalah kini dan mengerti benar tentang kos peralataan rumah dan kos emosi jika tersilap memilih teman serumah. (kedekut, gila jantan, berkira, pemalas, pengotor,diganggu along dan macam macam) - kini masih menyewa tetapi dengan kawan yang sangat mengerti dan membantu.

Comment