MANUSIA BERPAKAIAN

MANUSIA YANG BERPAKAIAN.


Bagaikan sedang mabuk, tanpa sedar kitapun menghakimi pakaian orang.


Manusia muncul, mata kita melihat kaji subjek: Apa yang dia pakai? Kemudian barulah jatuh pada rupa paras, rambut, fizikal, cara berbicara dan keletah manusianya yang seterusnya.


Mulut nakal kita mulalah berbicara, terlupa menilik cermin.


Ya, benar. Setelah lama penulis sendiri jadi sangat menghakimi, atas alasan meminati dunia fesyen. Sesekali bagaikan sang bijaksana menyenaraikan DO's dan DON'Ts. Terlupa bahawa badan subjek adalah milik mutlak dirinya dan selainnya hanyalah hubungan dia dengan PENCIPTA.


Hari ini setelah matang, kita mahu jadi lebih menghormati bagaimana setiap individu berhak tampil secara pilihan peribadi (beliau membawa bersama budaya, tahap mampu ekonomi, pengetahuan, adat dan sebarang latar belakang yang sedang dimiliki). Tidak kisah samada dia buta fesyen atau mangsa fesyen, itu adalah laluan peribadi sehingga dia sedar diri.


Sebenarnya kita dan manusia lain bagaikan disusunNYA dalam bab keterampilan. Ada yang terlalu peduli, tidak peduli langsung atau menurut sahaja. Subjektiviti ini menuntut mata matang manusia berfikir dalam. Syariat berfesyen itu wujud dalam semua anutan manusia, berbeza dari satu lokasi ke lokasi lain.


Dalam banyak waktu busana manusia dijadikan isu.


Ada sahaja yang mahu tampil menyatakan: itu sesuai, ini tidak boleh, warna itu tidak memikat, nampak kampungan, yang ini trendy dan pelbagai lagi hal remeh yang seperti biasa akan dimanipulasi oleh PERDAGANGAN (Peniaga, Rumah Fesyen, Penerbitan atau Pempengaruh Medsos)


Bicara bagaimana tertekannya wanita yang mahu ditentukan pemakaiannya sudah lama terjadi. Diasak oleh politik, kesedaran agama, editor fesyen dan masyarakat secara umum. Ada yang dilibatkan tentang moral, agama, budaya terbentuk tanpa sedar (juga akibat setelah lama diasak keterbiasaan). Paling menyedihkan apabila wanita sesama wanita bagaikan hakim yang tidak diiktiraf mahu menentukan apa yang patut disarungkan atas badan wanita lain.


Mencari jalan tengah, kita mula berkompromi akan busana di badan. Ini pakaian kerja, ini untuk majlis, ini untuk ke rumah ibadat dan ini untuk santai di rumah. Ya, masih lagi dalam kondisi tanpa sedar dan memikirkan bahawa kita sudah bijak dan matang tentang pakaian di badan manusia. Wujudlah satu segmen yang digelar JENAYAH FESYEN.


Hari ini juga kita mahu melihat kembali fungsi pakaian terhadap badan manusia. Apa agaknya fungsi asas tersebut?


1. Menutup kemaluan


2. Demi suhu lokasi


3. Keselesaan


4. Tampilan kemas dan seragam


5. Penerimaan sesama



Sebarang cadangan akan kekal sebagai cadangan sahaja. Penentu tetaplah jatuh pada si tuan punya tubuh. Kesanggupan kamu untuk ikut serta atau kesanggupan untuk dilihat berbeza terpulang pada kekuatan (mental dan fizikal) masing masing.


Harus ingat, sebarang tampilan secara umum akan mengundang reaksi sang pelihat (yakni hakiman orang ramai). Ada dilihat sekali imbas, dipuji puja, dijadikan bual bicara (tidak kiralah bicara kagum atau cerca). Semua ini akan menjadikan kamu yang berbusana perlahan lahan mencari jalan tengah:


1. Menurut kemahuan masyarakat setempat


2. Kekal sebagai manusia bergaya ranggi


3. Tidak peduli (dipekakkan telinga) setia pada mahu diri


4. Tidak peduli, pakai apa sahaja


5. Membuat penetapan bijak pada busana pilihan.


Busana, fesyen, stail, gaya sebutlah dengan terma apa sekalipun ia adalah industri yang berlapis lapis. Dari pemilihan kain, potongan, trend atau apa sahaja akan tetap melibatkan manusia. Manusia sendiri dalam minda membuat penetapan selaras usia, kemampuan, pemahaman dan pelbagai ciri ciri rasukan/pengaruh terhadap pemilihan busana. Alasan manusia sebenarnya pelbagai, kamu mungkin akan muak mendengarnya kerana ia melibatkan nafsu semasa mereka yang mungkin bercanggah dan tidak masuk akal dengan binaan tentang pilihan pakaian yang terbina dalam kepala masing masing.


Tidak mahu meremehkan, kita terima seadanya tampilan manusia di sekeliling. Betullah mereka membawa bersama sikap dan citarasa peribadi bersama pakaian, bagus juga sekiranya kamu bijak dan prihatin bahawa ada mesej tersemat di situ.


Mesej apa?


1. Kompromi dirinya terhadap sekitar


2. Minimalism menyeluruh hidupnya


3. Mahukan perhatian penuh


4. Menjadi hamba permintaan semasa


5. Remeh atau tidak remehnya dirinya


6. Capai apa yang ada (don't care)


7. Mahu disenangi dan seragam


8. Falsafah diri dibawa bersama


9. Fasa hidup (usia, anutan atau keseronokkan).


10. Taraf hidup yang mahu ditonjolkan.


Kita akan terus berpakaian, sikap kita terhadap busana pilihan sendiri dan yang disarungkan atas badan orang harus dinilaikan bagaimana. Apakah berbaloi jika kita terus berdebat tentang pilihan orang? Tugas pakar stail bagaimana? Apakah kita akan merombak pandangan kita terhadap fesyen setelah diambil kira semua di atas? Perlukah kita melatih diri untuk berdamai dengan pilihan orang?


Ya, Tuhan, selama ini entah apa agaknya yang sedang aku lakukan?



NOTA: Penulis hanyalah pemerhati, sesekali memarahi diri kerana tidak menyukai itu dan ini (Ingat! Rungutan tentang kasut ikan plotan dan perbezaan antara seksi bersih dan seksi kotor?). Fesyen secara menyeluruh adalah dunia yang sangat indah untuk ditelusuri apatah lagi dengan mata yang akhirnya menterjemahkan secara halus di kotak fikir.

Comment