RIBEN MERAH


PERIHAL HIV DAN AIDS


Tadi petang kami ulang bicara lagi tentang hal tersebut, setelah teman mengingatkan tentang bulan Disember, bulan advokasi HIVaids agar semua mendapat pencerahan sebenar.


Kerja kerja advokasi meskipun tidak aktif bersama NGO akan diteruskan. Paling tidak menyebarkan informasi penting di kalangan teman teman rapat dan ahli keluarga. Walaupun berulang ulang akan tetap disentuh bagaimana krusial melengkapi diri dengan pengetahuan tentang hal asal serangan HIV, perubatan dan maklumat tentang rakan sokong bantu yang sedia ada.


Ada ketikanya hanya dengan Bahasa Jalanan, agar difahami.


Masih lagi bukan hal yang mudah untuk dibicarakan. Silap haribulan boleh dianggap/disyaki sebagai pengidap dan paling buruk distigmakan oleh manusia yang kurang ilmu. (kami sudah tidak hairan kalau disyaki sebagai pengidap – bukan pentingpun!) Disentuh juga pelbagai kisah tahap penafian awal klien melibatkan ratapan pada nasib, kecewa dengan dugaan Tuhan dan macam macam lagi keresahan remeh.


- Persediaan untuk diterangkan pada ibubapa


- Stigma dalam diri sendiri yang bukan bukan


- Stigma setelah diketahui umum juga yang bukan bukan


- Sifat sifat jahat manusia di zaman medsos tentang HIV aids


- Beban baharu membabitkan kerja, masyarakat dan bersosial


- Orang yang mengambil kesempatan setelah tahu tentang HIV aids


- Klien yang aktif bersama NGO dianggap kuat dan diraikan keberaniannya tetapi sepi akibat stigma dalam diam dari orang sekeliling.


Masing masing tahu bahawa HIVaids masih bertahap tabu di tahun 2018. Perkara ini suka tidak suka harus masuk dalam topik perbincangan agar wujud rasa waspada dan berjaga jaga agar manusia tahu untuk bertingkah. Tingkah manusia secara azali berlapis lapis dan remeh.


Antara tingkah tingkah manusia masuk bab HIV Aids.


1. Apabila masyuk dibuai nafsu seks. Pasangan. Amalan beraktiviti seksual.


2. Kenal sensitiviti apabila berbicara tentangnya. Jangan merapu tanpa fakta


3. Tidak bermitos mitosan tentang perubatan merepek (bomoh, ubat tradisional dan jampi jampian merapu)


4. Tahu di mana garis halus antara sakit dan hal hal agama.


5. Kenal pada unit rawatan Klinik Kesihatan dan rujukan pengamal perawatan.


6. Mengerti kenapa, bila, di mana untuk dilakukan ujian saringan.


Highly active antiretroviral therapy (HAART) perubatan yang digunakan untuk mengubati/kawal infeksi HIV. Dikenali juga sebagai antiretroviral (ART) atau ubat anti HIV berbeza dengan zaman 1980an ketika Malaysia masih terkedu dengan kes kes HIV dan Aids, membawa ke hujung tahun 90an di mana cocktails (ubat gabungan yang besar menakutkan) yang berkomplikasi tinggi bila tersilap gabung dan sukar untuk difahami.


HAART, nasihat dan pantauan ada di negara kita yang bertuah ini. Bayangkan jika kamu dari negara terpencil yang miskin perubatan dan klien tanpa sokongan langsung. Bagaimana suasananya?


Tanpa mahu beremeh temeh, walau kita bukan pengidap, pengetahuan tentang epidemik ini harus ada demi menuju sasaran HIV dan Aids sifar. Ini bukan perlumbaan siapa lebih bijak, siapa lebih tahu, ia hanyalah usaha bersama menuju ke arah kesejahtera manusia.


Bagi yang masih tidak pasti, manusia HIV positif boleh mencapai tahap undetectable setelah terapi ART. Dapatkan penerangan tentang Viral Load yang jadi penyebab sebaran kuman.


Viral load adalah terma PLHIV berbicara tentang berapa banyak kandungannya di dalam badan. Jumlah yang kurang memungkinkan dia sampai ke tahap undetectable. Viral load yang terendah adalah suasana di mana ia berkurangan sehingga 100 kepingan setiap milliliter. Pengurangan menjadi hala tuju rawatan yang diberikan oleh pengamal perubatan.


Tahap undetectable mengupayakan klien untuk tidak lagi menjadi penyebar. Risiko yang dikaji dari waktu ke waktu. Penerangannya mudah: "manusia PLHIV yakni si positif tidak mahu menyebarkannya pada si negatif/tanpa Hiv dan sebaliknya si negatif tidak mahu menjadi positif"


Kiraan sel CD4 dalam badan. Lebih tinggi jumlahnya adalah petanda lebih tinggi sistem imunisasi. Kiraan CD4 manusia tanpa HIV boleh jadi antara 500 dan 1500. Selalunya PLHIV yang memiliki kadar CD4 lebih dari 500 akan berada dalam lingkung kesihatan yang baik.


Kami terus bercerita bagaimana ada klien yang diseludup masuk ke Pusat Agama oleh ahli keluarga yang buntu setelah diketahui diserang HIV. Keresahan dan ratapan mereka yang positif hanya kerana selama ini dia mengamalkan hidup yang sihat tidak merokok, tidak berpesta, bersembahyang dan setelah sekali godaan sahaja. Kisah duka dan keliru resah setelah mendapat tahu diri HIV positif hampir sama sahaja. Begitu juga hal mahu bunuh diri dan kesepian para klien.


Kami kira sebaiknya sebagai individu bekalkan diri dengan maklumat lengkap tentang bantuan yang ada di sekeliling. Ingat, negara ini mempunyai Sistem Kesihatan yang membanggakan. Paling tidak dalam senarai teman teman medsos kamu ada individu individu untuk dirujuk. Kenali mereka yang berkhdimat di Hospital tempatan, MAC – Malaysian Aids Counsil, FDHA – Family Development Association – Pusat rancangan keluarga atau KK – Klinik Kesihatan setempat.


Mungkin kita lewa kerana sibuk menagani tugasan duniawi, sukar memahami segala tentang terma terma seksualti, tidak faham bentuk/jenis jangkitan, tidak berempati kerana tingkah seks terkawal dan itu bukan masalah kita. Harus diingatkan di kepala bahawa HIVaids boleh menyerang sesiapa sahaja yang terdekat akibat sifat manusiawi (yang tidak perlulah diulang hurai lagi). Sama seperti sakit sakit kronik lain seperti barah, darah tinggi dan kencing manis ia harus ditangani dengan baik dengan pengetahuan (paling tidak tahu di mana harus dibawa bakal klien tuju). Menjalani sesi pujukan awal tidak formal bahawa HIVaids boleh dikawal.


Sama sama kita menjana pengetahuan agar SEJAHTERA.


Sila Ambil Hentang: Penulis sudah bergiat aktif memberi bantuan kecil sejak pertengahan 80an. Berterima kasih pada pihak Pink Triangle. Advokasi kecil masih dijalani sehingga kini. Melalui mukabuku sejak berberapa tahu dahulu sudah diarahkan lebih dari 10 klien kepada individu individu NGO untuk rawatan dan kaunseling. Juga sudah menyaksikan banyak kematian dan banyak juga survival hebat para PLHIV. Penulis BUKAN PLHIV dan tidak marah sekiranya disyaki, kerana sudah sedia maklum sifat masyarakat. Pernah dipertikai sewaktu memakai riben merah sewaktu mengacarakan majlis koporat dan makan malam.


Regina Ibrahim




Comment