TERIMA KASIH YANG SUKAR

TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN YANG SUKAR.


Terasa segar semangat bila kuping mendengar ungkap kata 'Terima Kasih'. Ada sejenis pertukaran aura yang baik di situ, bunyinya sedap!


Bagi kebanyakan manusia, ungkapan penghargaan tiba di bibir secara semulajadi ketika menerima hadiah, menerima bantuan, diberikan layanan baik atau ketika dipuji.


Sama sahaja perasaannya di bidang kerja yang pastinya dilakukan secara berkumpulan. Berterima kasih dari waktu ke waktu pada rakan sekerja pada usahanya, bukan sahaja diharapkan tetapi sudah menjadi bahagian penting untuk membentuk ikhsan hubungan. Sayangnya, terdapat juga mereka yang sukar untuk mempamirkan penghargaan atas sebab sebab tertentu. Manusia jenis ini akan jadi bisu menjadikan teman sekerja merasa aneh dan tidak dihargai.


Bila kita berterima kasih?


- Pada usaha orang


- Waktu yang diperuntukkan


- Kesudiannya membantu


- Informasi yang dihulurkan


- Pada kata katanya yang baik dan janaan semangat.


Memang benar sifat manusia adalah pelbagai. Sesekali kita terpanggil untuk beranalisa kenapa dan mengapa, sukar sekelompok manusia mahu berterima kasih.


- Berat Mulut - Sememangnya tidak pernah dilatih sejak usia awal. Latar belakangnya mungkin berbeza dan jiwanya jadi berat. Tidak tahu bagaimana mempamirkan rasa penghargaan. Atau, dirasakan tidak perlu berterima kasih kerana dia lebih baik dalam banyak hal. Mulut dan hati akhirnya jadi berat!


- Gagal menilai usaha orang lain. Kerana memandang diri terlalu tinggi dalam dunia yang disaingi selama ini. Jadi ungkapan terima kasih dan memberi kerdit pujian dianggap sebagai hal yang boleh menjatuhkan martabat, mungkin? Bijaksana yang tergugat


- Konflik yang belum diselesaikan. Mungkin ada dendam lama dalam diam? Kebencian yang ditanam dalam jiwa... ada sahajalah kesumat manusia, mungkin atas dasar kepercayaan, dirian politik, seksualiti atau apa sahaja yang manusiawi.


- Bersangka baik, mungkin dia sedang terganggu dengan konflik peribadi yang mendalam sehingga terlupa untuk berterima kasih dan memberi penghargaan. Ini meredakan persoalan kita terhadap mereka yang berat mulut.


- Ada manusia yang tidak selesa bila dipuji. Jadi tidak ada terima kasih dihulurkan. Atau sekiranya diberikan hadiah mereka mungkin takut ia melibatkan hal hal rasuah, prank atau mereka bersangka buruk (takut diharapkan balasan atau terjerat di kemudian hari).


Saya fikir sebagai manusia, tidak ada alasan yang kukuh bagi kita mengelak dari mengungkap kata TERIMA KASIH. Sekiranya disengajakan bolehlah dianggap sebagai tidak wajar atau kurang ajar. Dingin, berdiam diri sebenarnya akan dibaca sebagai petanda yang salah, ia boleh menjadikan perhubungan tegang secara sosial atau kerjasama di tempat kerja kemudian hari jadi tidak progresif. Guna pakailah dua kata yang magikal itu, bukanlah sukarpun: Senyum dan ucapkan Terima Kasih dari lubuk hati yang dalam.


Berterima kasih itu dilatih. Sebutlah, walau secara umum sekalipun. Tidak luak apa apa, kerana TERIMA KASIH yang lahir dari hati itu tetap PERCUMA.


GIVE SOME CREDITS WHEN IT'S DUE


NOTA: Di dunia yang semakin kedekut bagaikan bersaing sesama ini... Penghargaan dan ungkap Terima Kasih bagaikan mahal. Sudah dilalui beberapa kejadian sebenarnya dengan beberapa individu. Dibantu habis habisan, terima kasihnya bagaikan berat. Apatah lagi kalau ia melibatkan hal kerjaya dan ego mereka, dia bagai tidak teringin mahu memberi sebarang kredit pada bantuan yang sudah dihulurkan.


Amboi! Banyak cantik orang perlu berterima kasih pada kamu... Bukan, bukan begitu. Kita kembali pada aturcara menjadi manusia yang berbudi dan beradap. Pada mereka yang tidak dikenali secara langsungpun kita berterima kasih kerana membuahkan idea dan inspirasi, apatah lagi yang di depan mata yang terang terang mendukung usaha kamu.


Dia takut, mungkin juga dalam diam dibencinya kita? Nanti orang tercari cari pula kita sebagai sumber? Dia nanti tidak lagi menjadi tumpuan? Atau ada kesumat lain dan perasaan tidak suka pada kita? Ini semua harus difikirkan dalam dalam sebelum kita berurusan dengan dia lagi. Kasihan. Sudah tentu bantuan materi dan emosi akan kita hentikan secara automatik.


- Terhegeh hegeh meminta bantuan. Setelah berjaya kita dilihat sipi sipi sahaja


- Duduk berbincang, minta informasi. Bila siap nama kita tidak teringin mahu disebutpun. Kalau disebutpun diawamkan sahaja. (generally mentioned).


- Cadangan yang diberikan dia pura pura lupa, dikatakan pula bahawa kekasihnya yang mencadangkan hal tersebut atau teman temannya yang dianggap lebih berkelas.


Dikaunter pembayaran supermarket, penulis tidak akan ralat mengungkapkan TERIMA KASIH dahulu pada sang kasir, mana tahu dari situ dia akan pelajari sesuatu yang indah untuk dibawa kehadapan.


Belajarlah agar tidak lupa BERTERIMA KASIH dalam sebarang kesempatan yang ada... lakukan secepat mungkin, agar ia ringan tidak terbeban!




Regina Ibrahim


050719


Comment