SUMBER AJARAN

SUMBER AJARAN


Nah... kamu kini sudah merasa dewasa dan matang. Setelah mendapatkan segala yang asas dan skema dari sekolah, kelas agama dan bepersatuan. Kamu seharusnya lebih cerdas.


Sumber ajaran seterusnya boleh sahaja hadir dari pelbagai kejadian dan pemerhatian pada sekeliling. Peka meneliti apa yang terjadi pada diri sendiri atau orang lain, begitu juga dengan membaca lapuran lapuran berita atau mendengar pesanan yang dibawa. Tidak semua ditelan bulat bulat pastinya, apatah lagi di dunia medsos.


Keajaiban otak kiri dan kanan pantas bekerja. Itulah yang menjadikan manusia istimewa berbanding binatang.


Baik, murni, buruk, jengkel, hiba, palsu, manipulasi dan pelbagai deria manusia akan disapa dalam menjalani kehidupan harian. Bertolak dari situ kita punya tanggungjawab untuk mengawal reaksi masing masing. Sesekali kita akan mempertahankan diri, gerak yang juga dilatih dari waktu ke waktu. (kool, baran, gelabah, kepochi, nakal tahap mana?)


Prosesnya tidak sama sudahlah tentu. Kemampuan kita untuk tertawa sinis pada suasana bagaimana? Faham penuh pada kejadian? Keraguan sumber berita? Tahap empati dalam diri? Terpanggil untuk menyanggah? Begitu juga menangani rentetan akibat musabab yang hadir dari tindakan kita atau orang lain (selalunya yang berurusan dengan kita).


Bukanlah menjadi tugas sesiapa untuk memberi ajaran. Namun hal ini harus kita bicarakan di kelompok terdekat (kerana mereka lambat laun akan keluar untuk berinteraksi dengan dunia lambat launnya). Pecahan pecahan pada sifat manusia tidak akan habis dibicarakan 3 hari 3 malam. Dikhabar pesan berdikit dikit demi KESEJAHTARAAN.


Secara peribadi, tanya diri: Sudahkah wujud rasa peka pada reaksi kita bila melihat/berhadapan dengan situasi apapun?


1. Apakah kita terhegeh hegeh mahu nilai 2 sen kita didengari?


2. Bagaimana pendekatan kita terhadapnya?


3. Tahap susila sopan sesama kita bagaimana?


4. Sinis kita apakah ia berbentuk penting diri melulu?


5. Pendapat kita, apakah ia berbentuk lahap?


6. Kuasa dan kedudukan dalam hiraki manusia, apakah sering gunakan?


7. Penerangan kita kejelasannnya bagaimana?


8. Sudah faham erti 'Setuju untuk tidak bersetuju"?


9. Segalanya ditukarkan jadi hal lelucon kehidupan?


10. Diam dan hanya bersuara bila dibangkitkan.


Selagi namanya manusia, kejadian akan terus bermunculan. Tiap detik, lepas satu satu. Hal baik dan hal yang ditanggap buruk masing masing membawa bersama ajaran dalam pembentukan diri dan masyarakat, yang baik jadi teladan, yang buruk jadi sempadan. Subjektif. Bukan semua kejadian terjerit meminta pendapat dan perasaan kita. Tidak menjadi beban sekiranya ada penetapan:


a. Saya kurang arif akan hal tersebut


b. Tidak tahu pula, tak pernah dengar


c. Saya tidak mahu memberi sebarang komentar. No comment!


d. Dia mungkin ada sebab sebab peribadi bersikap demikian


e. Saya setuju/tidak setuju tetapi itu hak dia untuk bersuara/berkelaku.


Seterusnya kita menukar topik walaupun berterusan dipancing.


Kita juga belajar mengenali SALURAN saluran yang direka oleh manusia demi capaian sejahtera. Saluran melalui mahkamah sivil atau syariah, lapuran pada pihak Polis, ketua ketua setempat, peti lapuran dan lain lain lagi.


Penulis kekal beranggapan, segala kejadian baik atau buruk harus disaring menjadi penyubur pada jiwa dan hati manusia. Segala kejadian sengaja direka oleh yang ESA demi melatih kita untuk bergerak jadi manusia yang berwibawa (kamu fikir wibawa itu hanya milik pemimpin dan menteri sahaja?). Sesekali terpacul di mulut kita pujian, kesal, rungut, ketawa, kata kagum dan seterusnya kita bergerak di landasan peribadi yang difikirkan selesa dan selamat, sambil melambai lambai mesra pada gerak dunia.


Setelah memberi pendapat terhadap sebarang kejadian, tidakkah kita pulang memikirkannya semula? Mampu tidur lena?


Comment