MANUSIA BERKUALITI

MANUSIA BERKUALITI


KUALITI – piawaian terhadap sesuatu yang diukur dengan hal yang berkategori sama demi ukuran tahap kehebatan atau lain lain nilaian.


Kelmarin sewaktu berbicara tentang ternakan ayam, harga pasaran, kawasan dan nilai kepenggunaan entah bagaimana, tersebut akan gelaran Manusia Berkualiti.


Teman bersoal, " tidak bolehkah pengusaha ayam hanya bertumpu pada ayam ayam berkualiti untuk pasaran di kawasannya sahaja dan penduduk setempat akan memberi sokongan?"


"Itu masuk bab ekonomi sebenarnya, yakni kajian pada gerak/giat hidup manusia... manusia berkualiti akan tahu bagaimana untuk menyelesaikan apa sahaja masalah..."


Manusia Berkualiti (frasa yang paling segan/malu untuk dihuraikan sebenarnya) – as if you're the chosen one? Orang lain haprak gitu? Rumah kau tidak ada cerminkah?


Mungkin sang teman tertarik pada gelar tersebut dan mula bersedia untuk mendengar kupasannya. Allahuakbar, terpaksalah diceritakan secara ringkas ringkas sahaja kerana perspektif tentang apa sahaja akan kekal subjektif , ikut latar belakang, tumpuan mata hati dan aspirasi masing masing. Bukankah kualiti itu maksud mudahnya, baik dan bernilai?


Rakyat yang tidak berkualiti dirumuskan sebagai lebih senang untuk diperintah, kerana kalau ramai yang bijak bagus nanti pemerintah akan banyak disoal pertikai. Selalunya disogoklah hal hal seronok duniawi manusiawi pada mereka, kemudian masalah akan dipura pura selesaikan.


Manusia berkualiti dihasilkan bagaimana?


Sistem pembelajaran, kesihatan, ketuhanan, sekitaran, usaha ibubapa serta komuniti dan apa sahajalah yang mahu dilihat sebagai titik belajar dan melatih kognitif berfikir. Ketua ketua kampung atau penghulu yang bijaksana dan pembelajaran berterusan pada hal hal yang baik tidak kira dari sesiapa sahaja yang ditemui.


"Kualiti bukanlah maksudnya mereka yang pandai pandai tak guna seduit, bersemat niat mahu perdaya orang dan kawasan..."


Kalau bercerita tentang manusia berkualiti kita akan menjelajah pada segmen hidup dan persoalan yang sama. Cukuplah dikatakan bahawa manusia berkualiti akan..


1. Menjaga kebersihan sekitaran kampungnya hingga ke peringkat nasional


2. Mementingkan komunikasi yang baik (tutur, saluran, kelancaran mencari kesefahaman atau jalan tengah)


3. Bertanggungjawab pada hal makanan (sumber, harga, keselamatan)


4. Bijak berkerjasama dan tidak berhenti memberi saranan baik pulih dalam komuniti (kampung, tempat kerja)


5. Tidak membenarkan hal hal remeh jadi hadangan. *tahu membeza mana satu penting dan mana yang berunsur emosi ego. (ego bangsa, agama, ras dibaca awal awal lagi)


6. Berdiri di titik tengah melihat resah masyarakat setempat kalau ada, akan masuk untuk memulihara bila perlu dan pandai mencari saluran saluran terbaik.


Manusia berkualiti tidak takut untuk belajar dari sesiapa sahaja asalkan menyumbang. Dia berada di hadapan bukan untuk sebarang pembuktian kecuali menjurus pada hal hal baik sahaja.


Ukuran Kualiti akan terus kekal subjektif. Dibaca ukur berbeza oleh manusia yang tidak pernah setara cara fikir. Namun ada kualiti kualiti asas manusia terang terangan dituntut dalam masyarakat, ia mungkin tidak secaa bertulis dan hanya boleh dinikmati ketika dilalui sahaja.


Buang sampah di laman orang, meludah sesuka hati


Gemar mencari gaduh. Malas berkerja. Suka menilai orang ketertaluan. Banyak merungut banyak berharap. Mata liar mencari kesempatan rezeki mudah. Rumah sewa buat apa nak kena jaga? Hutang hutang yang tidak dilunaskan...


Bayangkan pulau yang kecil dengan 30 keluarga, menjadi tumpuan pelancung. Masing masing tidak bersistem... tidak ada sistem kitar semula, pembuangan sampah dan perkumuhan. Hubungan dengan kerajaan pusat tidak elok. Perniagaan yang cekik darah. Pergaduhan sesama komuniti... jenayah tanpa pantauan dan apa apa lagi sekiranya masing masing memilih untuk jadi MANUSIA TANPA KUALITI.

Comment