TERAPI RUNCIT


TERAPI RUNCIT (Retail Theraphy).


Ada sejenis kenikmatan berlegar legar di toko jualan melihat susunan barangan yang ko-ordinasi warnanya tepat, memikat dan menawan hati. Pihak sang penawar amat pakar dalam hal menawan sang peminta. Dari kamar sepi juga boleh, ketik butang tertentu, maka senarai objek jualan berpaculan menggamit gamit minta dibelai dan bergemalah bisik romantis "bawalah aku pulang, aku janji kau akan lebih gembira".


Ini bukan 'window shopping'. Berbeza sekali kegiatan yang hanyalah untuk melihat dan menilai barangan. Dibeli jika mampu dan jika pulang tanpa baranganpun kamu tidak terkesan sama sekali.


Hakikatnya Terapi Runcit adalah sejenis urusniaga yang melibatkan desakan bisik hati, janji serta nikmat yang berlegar di kepala. Diangkat, dibelek, dipujuk hati akhirnya dibawa pulang. Jika secara talian, disemak pantas segala butiran dan model penuh nikmat, disertai bayangan indah indah jika memiliki. Meskipun tidak ada satupun objek yang diangkut pulang memberi bahagia dalam jangkamasa lama, aktiviti diteruskan dengan penuh penafian. Nasihat tentang poket dan akaunmu yang makin menipis dan curahan wang ke longkang dari teman teman yang peduli bagaikan pisau dengki menghiris kalbu... boleh putus saudara, jadi cerita tidak sedap baharu. Subjek, yakni kamu akhirnya dibiarkan terus mencari bahagia dengan TERAPI RUNCIT.


Bukanlah tugas orang lain untuk menasihati kamu untuk hidup sebagai minimalis dengan 7 pasang busana, 3 pasang kasut atau menjadi pemayur sederhana. BUKAN! Ditambah pula dengan ketebalan ilusimu sebagai selebriti setanding KimK atau Fazura yang sering ditaja. Terpana selama ini pada jeritan gadis gadis di siaran realiti berlengang lenggok dengan busana menawan, mereka digambarkan meriah bahagia bershopping di toko tersohor menikmati produk terkini (sayangnya mereka juga ditaja)... awal awal lagi kamu sudah terbeli pada keseronokan mereka, terlalu lama diserap hinggakan kamu merasakan kamu sama seperti mereka, sedangkan?


Pesona sementara (mabuk) sewaktu membeli sesuatu menjadikan cerita membeli belah itu berulang. Bila kecewa, kamu membeli sesuatu, kemudian rasa seronok sekejap, kemudiannya seronok tersebut lenyap perlahan lahan, rasa kecewa celaka menusup kembali dan kitaran itu berulang. Benarlah ia sejenis terapi jangka pendek. Bagi ramai manusia ada sejenis desakan untuk memiliki, sebaik objek dimiliki ada ledakan nikmat dan ketegangan jiwa dibebaskan saat aktiviti itu dilakukan. Pokoknya hanya kamu yang tahulah...


Tidak dapat dinafikan, aktiviti membeli sesuatu adalah proses yang seronok. Kenikmatan mencari sesuatu yang diperlukan serta kemampuan memiliki, menyumbang pada perasaan jadi TUAN berkuasa. Masalahnya di sini adalah ketika kegiatan tersebut menjadi berlebih lebih... (mahu lebih dari satu, mahukan jenama terbaharu, beralasan tentang stok biar lebih, terpengaruh pada iklan diendos oleh seleb pilihan dan lain lain alasan tidak masuk akal).


Sifat kompulsif nafsu untuk membeli sebenarnya menyerang ramai manusia tanpa sedar. Ia petanda isu psikologi CBD (compulsive buying disorder), ketagihan membeli belah yang boleh melibatkan hal kewangan tidak teratur malah lebih parah juga dirahsiakan dari teman teman dan keluarga. Menurut beberapa kajian, emosi negatif seperti depresi, panik dan rasa kosong/bosan mampu mejurus pada giat beli belah terhadap pembelian tidak praktikal. Sebaik memiliki barangan terbitlah sejenis euphoria dan kelegaan sementara.


Jika segala di atas adalah kamu, sangatlah penting kesedaran bahawa busana terkini dan perkakas elektronik baharu bukanlah keperluan. Mana mungkin dua objek itu jadi keperluan dan kemahuan? Jika benar benar sedang tertekan, kecewa, tidak gembira dan galau, seharusnya kamu memerlukan hal terapi yang lain (kesedaran atau nasihat) berbanding janji impromtu dari barangan tanpa nyawa yang dibina sendiri dalam kepala. Kamu sebenarnya memerlukan kasih sayang atau perasaan yang terbelai. Sayangnya jaminan emosi adalah hal yang tidak ada di Toko Beli Belah Pavillion atau pada barangan yang disenaraikan oleh Lazada.


NOTA: Artikel yang isinya dipetik dari beberapa sumber. Penulis sudah melihat bagaimana ia terjadi pada beberapa kenalan terdekat sehingga terpaksa mendapatkan khidmat AKPK dan merubah cara hidup dan aktiviti berbelanja. Pernah juga menyaksikan secara langsung aktiviti tersebut depan mata di toko sewaktu tawaran istimewa. Ghairah mereka memang sesuatu!


Regina Ibrahim
071019


Comment