CAKAP BELAKANG


CAKAP BELAKANG


"Sebelum kita bersurai, ada apa apa yang mahu diutarakan?" soal pengerusi majlis


Masing masing saling berpandangan. Jeda sekitar 5 minit. Majlis disuraikan dengan menjemput hadirin makan karipap pusing dan minuman yang tersedia di foyer.


Ketika ini kamu akan diperkenalkan dengan pelantun rasa tidak puas hati, merungut dan mempertikai. Kamu bertanya dia, kenapa tidak disuarakan tadi? Soalan tersebut jatuh pada telinga yang bagaikan tuli.


Dengan pesanan 'orang kita memang begitu' kamu kembali berdamai di hati.


Cakap belakang didakap jadi sifat jangan sekali! Mungkin tanpa sedar, atau hanya kerana seronok bercakap, Wallahualam.


Terjadi juga dalam aktiviti kehidupan biasa dalam pertemanan, hubungan ahli keluarga dan di tempat kerja. Hari ini cuba tanya diri, apakah kamu sudah berada dalam kelompok suka cakap belakang dan jadi tikus mondok sewaktu sesi perbincangan.


Pelbagai alasan diberikan untuk mempertahankan diri kalau dituduh/ditegur cakap belakang.


1. Aku hanya ahli biasa sahaja


2. Bukan syarikat bapak aku...


3. Aku taknak bergaduh (untuk umpatan tentang si polan)


4. Memang dia macam tu, engkau geng diakah?


5. Aku tak nak ada orang kecil hati


6. Aku cakap jer.... (teknik terkini melepas diri).


Manusia sebegini terlupa bahawa mereka bacul dan sangat penting diri mengawal kedudukan. Mahu tampil neutral dan disukai, bagaikan membaling batu sembunyi tangan. Kalau dikaji ada sifat sifat keji sebenarnya.


Bercakap terus terang, telus dan jelas jadi bagaikan tidak terlatih. Begitu takut sekali kalau dilihat sebagai protagnis dalam situasi perbincangan. Sedangkan tujuan asal berhimpun adalah untuk mencari solusi terbaik, didukung usulnya secara majoriti. Mungkin juga takut kalau ditegur demi baik pulih pendapat atau misi sesuatu pertubuhan.


Sebagai individu yang waras dan percaya pada kuasa mesyuarah yang bersepakat adalah menjadi tugas kamu untuk mematikan hal hal sedemikian. Ini termasuklah dalam hal hubungan manusia dan manusia. Cakap belakang membawa bersama gambaran tidak damai, umpatan, bacul, tidak profesional dan jahat.


Cakap belakang boleh dielak sekiranya kamu dari waktu ke waktu mahu memperkukuhkan pola komunikasi dan bersuara tanpa rasa ragu serta sanggup berlapang dada dengan penjelasan yang mahu diberikan. Diulang tikai secara relavan sekiranya masih tidak jelas (hal hal butiran, sumber informasi, tidak emosional dan lain lain).


Bertekak, berdebat dan mengambil/mencari jalan tengah adalah solusi pada manusia manusia yang waras dan prihatin dalam pertubuhan dan perhubungan.


Mulai hari ini sekiranya kamu sedar, bolehlah kamu anggap bahawa butiran cakap belakang adalah TIDAK SAHIH, TIDAK RASMI, UMPATAN BERSIFAT JAHAT, DENGKI DALAMAN dan hanya hadir dari sang penakut. Mereka yang berkualiti sedemikian, apakah mereka layak untuk dekat dengan kamu? Atau kamu juga jenis yang suka cakap belakang?


Sila bersoal jawab pada diri.


Comment