SOROTAN FINALIS AJL 33



SOROTAN FINALIS AJL 33


Masih menyintai dunia muzik dan merasa bersalah meninggalkan perhatian tehadap muzik tempatan terlalu lama, maka lahirlah sorotan kali ini. Kebetulan Januari dan Februari memberi ruang yang lapang untuk diteliti persembahan finalis live sewaktu semi final dan rakaman studio sedia ada.


Peminat AJL pasti berkobar kobar menantikan bintang favurit mereka, inilah masalahnya industri dan pertandingan. Kita terlupa akibat jalan pintas para wartawan hiburan dan pihak penyiaran yang jarang bertumpu pada komposer dan penulis lirik. Kelap kelip pelantun yang digelar artis jadi tumpuan, ditema temakan selaras dengan zaman menjana keuntungan. Lama lama jadi konstruk sosial peminat yang lupa pada kelancaran produksi dan nilai lagu yang dipertandingkan.


12 LAGU YANG MASUK FINAL (K- komposer, L – Pelirik)


Luluh – ciptaan Khai Bahar/pelantun Khai Bahar


Bunga – Hang Nadim/Lag Kaduk/Lirik Hang Nadim pelantun Ara Johari


Semakin – KL Meera Utama. Pelantun Siti Sarah


Kau Pun Sama – Syamel, Kid Santhe/ L Syamel pelantun Syamel


Sampai Bila – Sharon/ Lirik Fedtri/Shah Shamsiri. Pelantun Misha Omar


Haram – KL Hael/Ezra Kong: Duet Hael Hussaini dan Dayang


Bunga – Omar/John/L Altimet Pelantun Altimet


Jatuh Bangun – Ciptaan dan lantunan Haqiem Rusly


Tak Pernah Hilang – K Farouk/L Amylea: Duet oleh Amylea dan Kaer


Hajat – K Hael Hussaini/L Ezra Kong. Pelantun Hael Hussaini


Di matamu – KL Sirkhan, Rinkarnean pelantun Suffian Shuhaimi


Nisan Cinta – Hael/Mike Chan/Ezra Kong: Duet Jaclyn Victor dan Siti Nordiana.


Jelas citarasa muzik Malaysia semakin berubah. Ara Johari dengan lantunan Bunga bermula dengan baik, memasuki lirik bahagian korus ia kembali pada resepi lagu melayu 80an tetapi masih memikat, menjerit, guitar solo tetap ada... liriknya mudah.


Syamel tampil sebagai vokalis serba boleh, membuktikan tidak bergantung hanya pada balada tepi keranda. Secara peribadi saya suka pada komposisi pop moden yang segar ini. Kekuatan vokal digabung komposisi muzik tari anak muda ini tersusun dengan bijak. Lagu Hajat dan Jatuh Bangun, mahu saya masukkan dalam ketegori yang sama. Masing masing ada kekuatan.


Balada tetap balada, ia kekal begitu. Harus didengari pada pembukaan, lirik, lapisan vokal, bridge, coda yang sempurna. Di Matamu karya Sirkhan lirik oleh Rinkarnean menggunakan resepi balada yang sangat asas selamat. Piano dan muzik bertali, lirik cerita yang mudah jelas dijadikan pemikat pendengar yang merasa dekat . Sufian hanya perlu memperbaiki persembahan secara live. Bahagian korus dianggap puisi mudah menarik serta bahagian bridge harus ditangani pelantun dengan baik. Di matamu akan memberi cabaran pada Luluh ciptaan sepenuhnya Khai Bahar bernada sendu kecewa, namun sudah ditangani dengan baik. Lirik sendu komersil ini akan kekal jadi resepi mudah lagu balada di Asia dalam jangka masa yang panjang sejak tahun 80an. Khai bijak menggunakan falsetto di bahagian bahagian lagu... semoga dilantun dengan baik. Misha Omar, tampil memberi cabaran pada dua lagu ini, dengan teknik lantunan yang lebih matang dan mantap. Bagaimana dengan lagu Semakin? Kita pasti akan kagum dengan vokal Sarah yang baik, baladanya boleh dikatakan terlalu biasa dan ada bahagian bahagian yang mencuba berat.


Haram, Nisan Cinta OST Dendam Aurora, Tak Pernah Hilang OST drama NUR balada duet yang boleh dianggap sebagai balada bising di bahagian klimak, terjerit mencari ruang sesama pelantun. Namun Haram mempunyai susunan yang jauh lebih segar, jelas dan moden secara berbanding. Tak Pernah Hilang lebih sedap kalau didengar melalui rakaman (vokal range yang berubah ubah seolah olah banyak bridge dan koda menarik), Nisan Cinta paling bising bila dua suara bergabung dan melodinya meskipun disegarkan dengan komposisi nada naik turun, sesekali kedengaran agak berserabut.


Bunga lantunan Altimet berdiri sendirian dengan genre RAP tanpa tandingan. Lirik yang bernas berisi.


Menyimpulkan seluruh lagu lagu para finalis, mampu ditebak pembaharuan produksi lagu lagu komersil di Malaysia yang berbunyi lebih bijak di pertandingan tahun ini. Luluh, Hajat, Di Matamu dan Jatuh Bangun mewakili anak anak muda berbakat besar, selainnya masih sedap didengar namun 'forgettable". Secara peribadi Sampai Bila ciptaan Sharon lirik oleh Fedtri mempunyai susunan yang baik terutama di bahagian pembukaan serta klimak dan Bunga ciptaan Omar/John lirik oleh Altimet berbunyi penting, tajam, dekat, menyeronokkan berada di hadapan.


Persembahan terbaik? Oh! Saya tidak peduli pada award tersebut, kerana itu hanya nasi tambah untuk peminat tegar yang hadir. Harus ingat masih ada banyak lagu lagu yang tidak komersil dihasilkan oleh team pemuzik tempatan.


----------------


MALAM FINAL AJL 33


Sudah 33 tahun dianjurkan. Feminatz masih keliru, masih berfikir ini pertandingan nyanyian. Berjabu komentar di medsos menilai pada hal yang tidak tidak. Padahal ini lapangan untuk komposisi lagu, kesegaran melodi dan susunan lirik dan muzik. Seronok semalam melihat percubaan berat tiap seorang.


Bermula dengan perserta pertama yang melepaskan peluang kerana lidah tiba tiba terseliuh jadi inggeris, diva sengau yang terlalu mencuba berat dan lantunan hebat yang tidak sangka sangka dan susunan baharu muzik di malam final. Persembahan hanyalah nasi dan lauk tambah sahaja sayang...terkejut mereka bila HARAM dikatakan bertema LGBT, maklumlah dengar lagu tak peduli lirik kan?


Pembukaan bergenre rock yang bagaikan persembahan di tapak expo seberang jaya nasib baik diselamatkan oleh 2 pengacara (Alif Satar dan Sherry Al- Hadad) berbakat sebaiknya dikekalkan untuk pertandingan mendatang.


Apa apapun saya seronok membaca komentar adique adique semua beriring dengan nafsu peribadi.


PERSEMBAHAN MALAM FINAL


Luluh – ciptaan Khai Bahar/pelantun Khai Bahar


Sangatlah disayangkan. Sebagai perserta pertama tiba tiba dia beraksen seperti orang KL bercakap.... Kasih menjadi Kasey... huruf huruf C dan T menjadi sangat ranggup barat. Falsetto dikawal baik cuma tidak semerdu rakaman.


Bunga – Hang Nadim/Lag Kaduk/Lirik Hang Nadim pelantun Ara Johari


Mendapat tempat ke 3 lagu terbaik. Memang layak sebenarnya, lagu tersebut segar di pembukaan dan kembali bernostalgia 90an. Cuma Ara Johari tidak ada tenaga dan tidak sehebat mana sebenarnya,


Semakin – KL Meera Utama. Pelantun Siti Sarah


Paling kasihan dalam semua persembahan. Sarah mencuba berat dan tidak menjadi. Sengau dan lantunan vokal yang berkulum mengada ngada masih diteruskan oleh beliau. 


Kau Pun Sama – Syamel, Kid Santhe/ L Syamel pelantun Syamel


Lancar dan busananya menjadi usikan di medsos. Suara Syamel masih menawan dan bertenaga. Cuma lagu tersebut tidak mampu untuk diingati oleh pendengar Malaysia yang lebih cenderung pada balada.


Sampai Bila – Sharon/ Lirik Fedtri/Shah Shamsiri. Pelantun Misha Omar


Dimulakan dengan tenang dan bertenaga. Misha juga di hujung persembahan kelihatan letih tetapi memberikan persembahan yang baik.


Haram – KL Hael/Ezra Kong: Duet Hael Hussaini dan Dayang


Meneliti liriknya kita faham bahawa ia lirik yang berunsur cina LGBT yang harus kekal rahsia. Hael sememangnya pencipta/komposer yang baik. Suaranya tidaklah semerdu mana. Dayang Nurfaizah memberikan kekuatan pada lantunan dan gabungan ini. Ia segar, muda dan layak dinobatkan sebagai Pemenang.


Bunga – Omar/John/L Altimet Pelantun Altimet


Maaf lagu ini terus jadi tidak bermakna. Di POPkan secara fizikal oleh De Fam yang mengantikan Altimet yang bersara. Forgettable performance.


Jatuh Bangun – Ciptaan dan lantunan Haqiem Rusly


Haqiem Rusly boleh pulang dengan senang hati. Seluruh persembahan lagu yang dirangka sendiri ini lancar dan segar untuk penonton sebaya. Ya, benar dia sangat lancar di malam final.


Tak Pernah Hilang – K Farouk/L Amylea: Duet oleh Amylea dan Kaer


Balada yang mengejutkan. Ia merdu dan Amylea membuktikan bahawa dia juga mampu secara vokal. Kaer yang masih kelihatan takut takut di malam semi final juga menyumbang pada kekuatan balada ini. Lagi didengar lagi sedap. Tahniah Amylea dan Farouk.


Hajat – K Hael Hussaini/L Ezra Kong. Pelantun Hael Hussaini


Suara Hael yang so so tidak sama seperti kualiti rakaman dibantu oleh lantunan soprano terkenal asia Syafinaz Selamat. Lagunya mungkin menangkap tetap tidak sedap. Masih dalam kategori kreatif dan terkini.


Di matamu – KL Sirkhan, Rinkarnean pelantun Suffian Shuhaimi


Muzik diberikan susunan baharu. Namun melodi lagu balada kecewa ini sangat kuat di bahagian korusnya. Boleh nampak lagu ini mewakili ramai pendengar dan peminat yang sedu sendan pada kisah dalam susunan lirik. Suffian juga tampak lebih yakin berlagu...


peminat kampungan masih mahu bercerita tentang kisah gagal menikah dengan Elfira Loy (saya kira itu sangat tidak wajar) Move on!


Nisan Cinta – Hael/Mike Chan/Ezra Kong: Duet Jaclyn Victor dan Siti Nordiana.


Lagu yang serabut ini kalau dilantunkan oleh pendatang baharu, tidak mungkin akan masuk senarai. Ia kekal menjadi lagu yang serabut. Kualiti dua vokalis yang baik belum tentu lagi menjamin hasil terakhir. Kalau sudah ditonton di youtube rasanya tidak mungkin akan diulang dengar. Sedap di beberapa bahagian tetapi ia agak mudah dilupakan.


Tahniah pada Hael dan Ezra Kong semoga terus aktif menulis lagu lagu yang berkualiti, bermelodi menarik dan berlirik penuh makna. Kamu berdua sangat berbakat!


Better music to come in year 2019


Comment