PENTAS PENTAS PENTAS - 2

Sila ambil hentang: segala artikel tentang dunia pentas ini tidak beriring niat untuk masuk bakul angkat sendiri. Ia semata mata catatan untuk anak cucu di masa akan datang dan menjadi rekod pada jalur kerja sebagai Transnita selama ini.


---------------------------------------------


PERSEMBAHAN DI HADAPAN PEMBESAR NEGARA.


"Regina tonight if you go down and sing, be careful ya, we got YAM and some big people," masih ingat pesan Encik Benny Teh di Bayview Beach Resort.


Saat muda menyanyi solo ghairahnya semacam, saya akan turun menemui penonton dan ada ketikanya bernyanyi dengan mereka (mau jadi internationalkah kan... atau mahu membuktikan sesuatu). Hingga sekarang dalam repotoire kerja menyanyi saya masih turun menemui penonton (bermain selamat tentunya). Berhati hati penuh hormat menghampiri meja VViP.


Gementarnya 2 kali ganda, entah orang suka entah tidak? Jadi untuk kali pertama di hotel BayView Beach saya menghampiri meja panjang tinggi di bahagian belakang dewan sambil bernyanyi, isteri pada YAM nampak teruja (saya tidak pasti samada gabenor atau kerabat di Raja Kedah) meminta izin dari suaminya untuk menghulurkan setangkai bunga ros merah pada saya... Punyalah seronok merasa dihargai.


Setelah kejadian tersebut banyak lagi def def kehormatan yang dihiburkan bersama the Mannequeen dan The Funky Divas. Majlis majlis anjuran kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menggunakan khidmat kami para penghibur Mak Nyah di tahun 90an. Dato Kee Phaik Cheen tanpa ragu sering menyelitkan persembahan kami di mana mana majlis tourism/visata negeri. Kami menjadi mahir menyusun repotoire untuk persembahan sedemikian.


Pada suatu bulan puasa di Dewan Glenmarie Subang, penganjur sewaktu memberi penerangan mengingatkan team tentang kehadiran Dato Paduka Aishah Ghani. Saya gementar kali ini bukanlah kerana Dato Paduka, tetapi terfikir bagaimana penerimaannya nanti. Jelas dia dan hadirin agak terlopong awalnya bila saya naik pentas untuk mengalu alukan kehadiran para VVIP dan hadirin. Dengan baju kurung hijau dan kain batik basahan susun dan kata kata yang terjaga saya menjemput Dato Paduka untuk ucapan pembukaan. Saya kira malam tersebut saya lebih sopan berbanding 3 penari tiang perempuan cis yang membuat pesembahan sebelum majlis sebenar. Ini kenangan yang kekal bersama sehingga kini... (4 busana tajaan CD dan Dato Paduka yang selamba - bulan puasa)


Berdansa bersama Menteri Industri Asas Dato Lim Keng Yaik? Ya saya pernah! Malam yang bertema Formula One saya diperkenalkan oleh Dato Jalaludin Hassan dan Deana Yusof ke pentas. Sebenarnya saya menjadi opening act untuk Dato Khadijah Ibrahim. 5 lagu dan satu encore diberikan. Meja VVIP di hampiri; "Dato I am a big fan of yours, I memorized this song just for you... it's my grand mother favourite" Penonton tertawa.


"Can I dance with my fav miniter?" soalan manja manja miang sengaja dilontar pada penonton.


Tidak bergerak kemana mana lagu Yue Liang Tai Piau Wo Ter Shin saya alunkan sebaik mungkin, dipertengahan korus ke2 Dato Lim bangun dengan satu tangan di bahu dan satu lagi di pinggang saya, kami berdansa romantis sambil saya menamatkan lagu vintaj tersebut. Alhamdulilah segalanya dilakukan penuh hormat, penonton diminta untuk bertepuk tangan. Saya kembali ke pentas untuk encore lagu Against All Odd... rasa gementar kerana di bahagian tepi kiri pentas Dato Khadijah sudah bersedia untuk tampil, dia tersenyum bila tahu saya mencuri lihat bintang pujaan sejak remaja.


Selainnya hanyalah persembahan dalam suasana intimasi, tertutup di suite suite hotel untuk harijadi dan keraian menteri dan bekas menteri dengan bayaran yang sangat memuaskan. (maaf tidak mampu bercerita lebih lebih and no names and locations shall be mentioned). Penganjur selalunya mahukan persembahan yang hangat tetapi tidak cheapo... di tahun tahun tersebut barisan penari mak nyah Milla Sexy Divas antara yang paling cantik di Kuala Lumpur, kami memilih lagu lagu bertema Las Vegas.


Top Vision membawa saya ke sebuah Resort Golf Sungai Udang. Saya fikir ia show biasa sahaja... terkedu jadinya bila dikhabarkan oleh Dato Jalaludin bahawa ini majlis di Raja untuk YAM kerabat Negeri Sembilan...


"Jangan risau Gina, mereka semua sporting cuma protokol harus ada..," ujar Dato Jalaludin yang bersuara seksi 1 jam sebelum show bermula.


Malam tersebut penuh prihatin saya merafak sembah untuk turun dan tidak boleh merapu seperti biasa, namun perlahan lahan rasa gementar itu terhapus kerana kerabat YAM Raja Negeri Sembilan dan hadirin nampaknya terhibur.


"Ampun Tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun. Izinkanlah patik turun untuk menghibur," Tuanku dan kerabat anguk barulah saya berani untuk turun menghiburkan tetamu yang rata rata pegawai kerajaan dan orang kenamaan.


Sistem bunyi yang baik serta penonton yang matang menjadikan persembahan di Raja malam tersebut lancar tanpa sebarang masalah, sambil mengajar saya untuk tidak bersifat loqlaq di atas panggung.


"Ampun Tuanku beribu ampun, izinkan patik mengundur diri... you guys were such a wonderful audience, come on give yourself a big warm round applause, thank you Assalamualaikum, good night!"


Bersama arwah pengurus Dicky dia akan menyusun pakaian saya, jika bajunya tertutup dan sopan saya akan mengerti: "Malam ni kiter buat show di rumah orang kaya kaya tau...! Stay classy"


Saya mahu menganggap peluang menghiburkan def def kehormat sebagai satu penghormatan buat orang seperti saya (seimbas fikir, mana mungkin ada orang mahu dihiburkan oleh manusia trans?). Tidak kira samada bersama kumpulan (saya yang akan jadi jurucakap/teraju persembahan) atau solo, ia tanggungjawab yang berat sebenarnya, tampilan murah dan loqlaq dielak sama sekali.


Merasalah juga berdendang di Carcosa Sri Negara bersama Camelia dan Anuar Zain untuk majlis gemilang berprestij. Alhamdulillah.


NOTA: Di Pulau Pinang ada ketikanya saya dihubungi untuk mengacara majlis secara bidan terjun tanpa booking. Soalan pertama yang akan saya utarakan adalah: "Do you know that I am a transwoman?" ada yang tahu, dan diterangkan penuh sabar jika tidak. Ini saya anggap sebagai rezeki terpijak. Siapa mahu beri 1,200 di hari biasa bukan hujung minggu? Ada panggilan yang lucu untuk majlis graduasi kanak kanak tadika bahagian Seberang Jaya: "Gina boleh tolong tak? Esok emee kami tak boleh hadir..." "Boleh, tapi encik tahu tak saya ini transnita?" diam agak lama di hujung talian... "ermmm... tapi takkan Gina tak boleh pakai macam Aznil atau Azwan?"



BAGAIMANA TERINSPIRASI MAHU BEKERJA SOLO?


Sejak kecil saya akan mengikat kain pelikat menjadi dress toga, tali pinggang untuk kesan ramping. Berkhayalanlah di depan cermin sebagai pelantun suara perempuan yang seksi dan manja. Sisir rambut menjadi pembesar suara. Saya yakin benar cita cita ini akan jadi nyata. TETAPI tidak dikhabarkan pada sesiapa... mana mungkin? - Apakah ia sama seperti khayalanmu sayang?


Demi merendah diri sesekali akan diselit kisah bagaimana saya terumbang ambing saat pulang dari Eropah akibat episod hidup tidak jadi. Ada rasa kecewa di situ. NAMUN, semangat tidak pernah mati. Ahhh!!! Kecewa lagi kerana tidak mendapatkan pekerjaan normal, sedangkan teman teman sebaya dan kolej lain sibuk mendaki kerjaya hebat - Tuhan tidak tidur, Dia ada susunanNYA.


Menyertai kumpulan Mak Nyah untuk membuat persembahan memerlukan bakat, sudahlah tidak cantik, tidak pandai pula menari berkumpulan. Bakat apa lagi kalau bukan menjadi selitan untuk menyanyi dan berjenaka ringan, sementara para penari menukar pakaian. Begitu persisten kalau dikenangkan kembali, begitu tidak malu sekali.


Begini kisahnya sekitar tahun 1996.


Kilang Seagate dengan majlis makan tahunan 3 malam berturut membuahkan idea. Saya menjadi penyanyi selit pada kumpulan tarian The Mannequeen. Dari tepi pentas kuping teruja pantas menangkap apa sahaja program oleh Emcee bi-lingual dan aksen Inggeris buatan (sengau sengau biar berbunyi mat salleh gituh... - ini adalah hal biasa.) - mengkagumkan. Kami bila sudah siap berpakaian (selalunya saya hanya ada 2 busana untuk 2 sesi nyanyian dan penutup) akan berdiri di tangga pentas Equtorial yang gah.


Tamat persembahan, setelah mengemas barang, HANA YAAKOB mengambil tempat di panggung. Nah! inilah permulaan idea untuk show solo... Hana yang lincah membuka panggung dengan irama rancak Black or White diiringi 4 penari...diikuti dengan susunan lagu lagu yang familiar (dia ketika itu tidak ada album, tiada lagu hits). 2 malam seterusnya saya tunggu lagi untuk melihat teknik pentas beliau... dan mula menanam azam yang sama. Begitu juga ketika Erra Fazira sedang hangat di pentas majlis makan malam, saya perhati pilihan lagunya (lagu lagu mudah yang menghiburkan). Saya sudah kenal aura pentas ketika itu. Namun harapan terpaksa diperam dahulu - kau siapa?


Jalan harus dicari. Saya bukanlah si cantik manis yang seksi untuk terus bersama para penari jelita. Alang alang seluk pekasam biar sampai ke pengkal lengan. Tak gitu?


Kerja pentas saya rumuskan sebagai gabungan: Suara mantap, Aura memikat, Komunikasi ringan tapi jelas dan paling penting menghiburkan. Cantik hanyalah bonus!


Kerja emcee sekitar 1996 tidak berapa banyak. Tidak mudah untuk agen menjual transnita sebagai emcee (ia jadi lebih mudah setelah nama diukir, itupun ada yang masih skeptikal - sehingga akhirnya mereka terpaksa dan mula kenal teknik emcee transnita - di pulau yang kecil ini jika mahu tahu siapa dan apa yang sedang hot tanya sahaja pada pengurus F&B hotel - they have seen it all).


Masih menjadi penyanyi selitan sehinggalah menang pertandingan Queen of Entertainment di Boom Boom Room Penang. Ketika itu memang saya sudah bertekad untuk tidak lagi menjadi penyanyi selitan, maka berbincanglah dengan Encik Benny Teh (kerana dia yang perlu menjual khidmat). Melatih diri dengan 5 - 6 lagu dengan selitan jenaka dan memikirkan teknik partisipasi penonton. Kalau cantik jelita bolehlah juga berdiri seperti patung dan berbasa basi (lagu Ina seterusnya adalah...) saya perlu melakukan lebih dari itu. Berusahalah pula mencari muzik minus one untuk dipindahkan ke cakera padat (saat permulaan kerjaya ada lagu lagu yang masih menggunakan pita kaset). Mr Teoh di Music Valley Penang Road banyak membantu pindah lagu lagu penting ke cakera padat.


Pelbagai cara sudah digunakan untuk memikat penonton dan memantapkan persembahan. Memudahkan kerja, wajah ditebalkan.


Siapa alter ego saya?


Lama sebelum zaman Beyonce, saya sudah mempunyai watak alter ego - LINDA. Sewaktu di pentas Lindalah yang akan mengambil-alih tugasan yang tidak mungkin mampu dilakukan oleh REGINA yang serius dan pemalu, saya dapati lebih berkesan jika demikian. Lindalah yang membawa watak penghibur perempuan hitam seksi tanpa rasa malu... sesekali bermulut jelabas saat berjenaka. Kamu faham maksudnya bukan?


KETIKA BEKERJA SAYA BELAJAR BAHAWA:


- penonton perlu diterujakan (lagu, bahasa, sopan santun)


- mereka mahu dihormati oleh penghibur


- ambil hati meja utama, AJK majlis dan penonton di seluruh dewan.


- Jenaka yang memalukan biarlah jatuh pada si penghibur sahaja


- Body Shamming terhadap hadirin jangan sekali kali...


- Lucah dwi-makna tidak dapat dielak


- merangka jenaka jenaka agar mengena dengan majlis


- Lagu lagu sing along penting.


- Jangan berkira waktu... berikan lebih.


- berhati hati dengan hadirin yang mabuk (saya cukup meluat)


- masuk pintu belakang, keluar pintu belakang (seri pentas).


Menggunakan minus one tidak sama dengan pesembahan bersama live band. Ramai bertanya kenapa tidak menyertai kumpulan muzik? Paling utama adalah kerana BAYARAN ciput dan tempoh kerja panjang (2 - 3 set - boleh jadi 10 -15 lagu).


Jadi saya fikir sebaiknya diusahakan pada janaan aura BINTANG. Menjadikan diri sebagai entiti isitimewa berimpak. 30 -45 minit yang padat, penuh kreatif, bertenaga dan Good Night, Asslamualaikum.


Menyanyi solo bersama 'minus one' merbahaya jika sistem bunyi meragam. Susunan lagu tidak betul (pembukaan, tengah dan penutup). Sebaiknya ada tukang urus (juruteknik sistem bunyi harus dihormati)


Kemantapan vokal menggunakan minus one?


latihan berulang ulang, kenal kunci suara, falsetto hanya bila perlu (nada transnita agak aneh), latihan tanpa microphone - pasang muzik dan terus peka dengan kiraan beat/rentak masuk suara - hafal lirik - tukar lirik jika perlu - pokoknya latihan, latihan dan latihan. Paling penting bukan sistem karaoeke yang gemanya jelek. Saat berlatih tanpa pembesar suara inilah pelantun akan peka dengan nada suara sendiri dan berusaha memperbaikinya. Latihan memandang bahagian kiri, tengah, kanan dan meja hadapan - untuk komunikasi natural.


NOTA: Semoga anak anak tidak kira jantina tahu bagaimana mempersiapkan diri untuk kerja solo. Stamina paling penting dan tubuh badan sihat tidak kurang penting untuk tugasan ini. Bagaimana sebaik sahaja nama diuar uarkan, semangat ditumpukan untuk menghiburkan penonton. Saya nampak ada dua tiga yang bercita cita ke arah tersebut melalui medos, saya cuma bimbang jika mereka tidak terbimbing (Yang berlagak bila ditegurpun ada...)



KENANGAN MASAM MASAM KERJA PENTAS? - Part 1


"Manusia, diberi betis... mahunya paha," menurut pepatah lama


Dunia pentas berwarna warni. Meriah selalunya, namun sesekali hadirlah kisah kisah tak sedap. Di usia matang bolehlah kita berdamai dan tersenyum simpul, namun ketika muda ia memberi impak yang tak kurang pilunya.


Berikut dikongsi beberapa situasi yang sudah dialami...


-----------------------------------------------------------------------


Saya pemalu dan tidak pandai untuk up up diri. Kali pertama tiba di The Ship Bukit Bintang, sewaktu mengemaskan pakaian dalam samar samar lampu tepi bilik persalinan saya menegur seorang transnita:


"Hai adik..."


"akak wardrobe mistress ker?" sambil dia mengibas rambut


Saya hanya diam. Sebaik tamat set pertama, dia datang menemui saya...," ermmm tak sangka, akak pandai cakap omputih,"


Juga saya diam. Itu ajaran untuk mengingatkan diri bahawa tampilan kasual selekeh saya tidak seperti showgal bergaya lain... Kejadian yang sama terjadi bila seorang transnita yang cantik bertanya apa hajat saya ke Kuala Lumpur.


"Akak datang ganti Dara, dia ke Hong Kong seminggu... Sham suruh datang,"


"Ye ker? Akak boleh ker cakap omputih?" diungkap dengan wajah yang jengkel... sama seperti kes awal, dia juga terkejut. Saya peduli apa, manusia memang gemar menghakim buku hanya dengan melihat kulit ramai di dunia ini...


-----------------------------------------------


Kerja tanpa bayaran terjadi beberapa kali di peringkat awal. Sama seperti memberi hutang, mahu minta kita yang malu. Saya sejak kes kes awal tersebut mula memantapkan diri jadi berani. Sayangnya akibat lengai terjadi dua tiga kali lagi.


Awalnya mungkin demi pendedahan (exposure), lama lama kita tolak, dituduh pulak kita sombong dengan kata kata camdek makcik makcik kampung: "Yelah... orang dah famous, manalah dia nampak kita,". Mahu saja dijerit, bayaran show dulu mana?


Setelah masuk zaman moden ada juga kisah: "We will give you token of aprieciation"


Maka dijajalah kisah bagaimana sombongnya saya.


--------------------------------------------------------------------


Dari Kuala Lumpur naik bus ke Johor Baharu. Ada pertandingan ratu katanya... saya terbayang upah emcee 1500 ringgit sebelum pulang ke Pulau Pinang. Pertandingan ratu Mak Nyah antara tugasan yang memenatkan meskipun urutan pelaksanaannya agak rutin. Sewaktu latihan saya sudah merasa tidak sedap... namun demi kerja dan nama baik ia diteruskan juga. Tamat sahaja pertandingan, penganjur menghilangkan diri... dan pulanglah saya tangan kosong menaiki bas ke Pulau Pinang. Sekali lagi saya bersumpah untuk tidak dikhianati lagi.


--------------------------------------------


Pertubuhan Komuniti yang terkenal di Kuala Lumpur sering menggunakan khidmat saya untuk majlis majlis kecil mereka. Besar hati saya kerana mampu menyumbang pada kebajikan komuniti. Banyak kali juga... sehinggalah tibanya majlis yang gilang gemilang penuh menteri di Mandarin Oriental, nama saya diketepikan. Dua tiga kali mereka bersifat sedemikian. Saya fikir kalau tidak mengacara majlis bukalah peluang untuk tampilan bakat Mak Nyah menyanyi 20 minit? Sorry ya... glamer, sinar tak boleh diberi pada mak nyah mereka lebih sudi beri pada retis tersohor jelita cisgender.


Suatu hari saya menerima panggilan: "Gina kami ada majlis di Taiping, boleh tak you bantu jadi emcee?"


"Maaf saya tidak senang pada tarikh tersebut, apa kata kamu panggil Asha Gill dan Camelia, mereka akan gembira untuk ke Taiping"


Dua tiga kali alasan yang sama saya berikan pada pertubuhan tersebut, hingga pegawai baharu hairan dan sudah tentu kami akan bergosip manjah.... boleh kalau nak khidmat, bayar!


Setelah itu kerap saya menolak untuk sumbangan percuma pada mereka. Bukan mereka tidak tahu di saat itu nama dan profile saya sudah berada di tangan ramai agen agen pentas hiburan di Kuala Lumpur.


Mungkin saya emosional bila merasa tidak dihargai. Namun saya akan tetap melakukan khidmat percuma pada pertubuhan pertubuhan yang saya pasti, lagipun mereka tahu bagaimana menghargai saya.


Show charity tidak boleh ala kadar bila masuk sistem bunyi dan kendalian pentas... tidak boleh, saya tidak suka!


_________________________________________________


LATIHAN MAKAN BABI?


Bunyinya pelik... melihat dua tiga showgal yang kononnya berada di tahap baharu, berkasih dengan bangsa asing... dan bercakappun nadanya jadi lain... saya perati saja. Anak muda CIWI lah katakan... selalunya showgal kampung yang akan jadi begitu... Setelah beberapa tahun setelah diserahkan bala mereka INSOF dan begitu kam kam sekali jadinya. Jangan ingat mama lupa yea....cheapo!


Do not get me wrong. I don't give a hood of what you are, religion or race but these rebellious shitty malay showgals with the intention of showing off (we wonder whom are they trying to impress or provoke) is nothing to me... Yes, long before SOCMED these showgals has displayed this symptom. Seduit tak dapat, taraf pun tak naik nok.... (Orang macam tu selalunya dibiarkan sepi, baru dia tahu kita tak peduli - kata orang utara PI MAMPUIH).


Dua tiga orang juga... perhatian tidak dihulurkan. Saya ni kampungan tapi kampungan yang tahu nilai dan pilihan saya. Kau makanlah babi seekorpun kalau kau mahu...tak payah display kat aku...


-------------------------------------------------------------------------------------


Kerja pentas siap untuk majlis makan malam syarikat yang berprestasi tinggi di Pulau Pinang, kami masing masing berjabat tangan kerana puas menyeluruh akan kendaliannya. Agen yang mengguruskannya adalah kenalan lama (sudah arwah). Bayaran? tunggu, tunggu dan tunggu...hingga saya naik malu. Tidaklah sebanyak mana, hanya 1200.


Tahun seterusnya syarikat yang sama mahukan saya lagi... bila dihubungi oleh agen yang sama sudah tentu saya tolak. Teman bertanya kenapa? Saya khabarkan dengan nada sinis: "Bayaran tahun lepas pun tak settle macamana nak kerja lagi kan..." akhirnya beliau bersetuju menjelaskan 2400 sehari sebelum majlis bermula, dan saya merasa sangatlah gembira - manusia muram bila ada penipuan, apatah lagi dari agen yang merupakan teman sendiri, tak gitu nok?



KENANGAN MASAM MASAM PENTAS - PART 2


Di awal pembabitan bidang pengacaraan, hanya sekali terjadi kisah PRONOUNCE. He or She... dari siapa? Tentulah dari orang bangsa kita... sedangkan bangsa lain senang saja merujuk pada pronounce SHE/HER.


Saya menjemput beliau naik panggung untuk sepatah dua ucapan.


"Thank you errr...nak pangei encik, puan, miss ke apa ya...?" beliau memulakan ucapan kasual.


Pembesar suara ada di tangan. "I am a woman, dressing up like one...," selamba diungkapkan beriring dengan tepukan dari hadirin untuk majlis yang sepenuhnya diacarakan dalam Bahasa Inggeris.


Bangsa kita kalau boleh memalukan orang merekalah nombor satu. Selalunya ditutup dengan "sori la saya melawak saja"


Itu antara cabaran menerajui majlis untuk manusia seperti saya. Muka kena tebal, jiwa kena sporting! Saya tidak boleh berkecil hati melulu kerana itu mungkin pengalaman pertama mereka?


--------------------------------------------------------------------------------------


14hb Disemebar 2012


Malang tidak berbau. Sewaktu mengacarakan majlis makan malam untuk - ANJOO STEEL Berhad - retro night di Sunway Carnival Seberang Jaya sebaik sahaja memperkenalkan perserta pertandingan nyanyian saya jatuh tangga tetapi tidak disedari oleh sesiapa kerana di bahagian kiri pentas gelap. Saya mungkin pitam untuk berberapa saat, pergelangan tangan kiri saya terasa sakit yang amat amat.


Ini bukan masanya untuk menyalahkan kasut 4 inci Charles & Keith. Kerja harus ditamatkan dengan baik. Inilah sesi pengacaraan yang paling perit. Pergelangan tangan dilekap dengan plaster angin dan saya tahu ia amat serius. Esoknya ke hospital dan di Xray, benar ada kesan retak...dan mereka ingin menempatkan di wad. Mana mungkin? Ada tugasan yang perlu dilaksanakan untuk MORRISEY TECHNOLOGY di Gurney Hotel. Jadi tangan retak tersebut diberikan bandage kejap. (bulan Disember di zaman tersebut adalah bulan untuk karau sebanyak mungkin show kerana ia akan kering sebaik sahaja masuk raya cina).


Saya leka sebenarnya, berat badan yang naik mendadak serta usia yang meningkat serta pemakanan yang tidak dijaga. Lebih tepat faktor kesihatan, vertigo yang diabaikan... saya memilih untuk berurut di Air Itam dan Balik Pulau. Sehingga kini tangan kiri akan memberi signal sengal bila badan dipenuhi angin, saiznya sesekali akan kelihatan janggal. Berbulan juga saya memasak hanya dengan tangan kanan... memakai anduh dan bandage.


Saya fikir ia juga merupakan antara tanda penting untuk diperlahankan dan beretrospektif tentang kerja kerja pentas.


------------------------------------------------------------------------------------------


18 Januari 2013 (Ideal group of companies)


Tahun yang kurang memberansangkan. Apa sahaja kesempatan pentas yang ada terpaksa disapu. Kebetulan ada tawaran untuk mengacarakan majlis di Petaling Jaya. Saya memberanikan diri pergi tanpa deposit 50%. Tiba di lokasi dan melakukan semakan bunyi dan bersiap siap untuk persembahan. Majlis agak mandom kerana hadirin rata rata berYam Seng dan punya masalah bahasa... hadirin bagai tidak peduli apa isi majlis... ia tamat juga ( diikuti oleh sesi mandarin diambil alih pengacara lain). Tidak ada hotel penginapan. Pembayaran akan dibuat tiga hari lagi... Allahuakbar, apakah saya sedang ditipu hidup hidup?


Keluar dari dewan, saya sekali lagi terkejut kerana kawasan itu bagaikan pekan kecil di Nigeria... hati mula berdag dig dug kerana dua tiga mula mengurat... saya benar benar kecut perut saat itu, menahan teksi yang ada terus ke Pudu Raya, dan sampai tepat 12 malam... dan menggunakan wang sendiri untuk menginap di CITIN Hotel...esok paginya cepat cepat berambus.


Wang bayaran? Dapat tetapi terlalu Lewat, itupun setelah mengugut untuk menaikkan lapuran tentang syarikat mereka di mukabuku. Tidak serik atau despo, saya kerap memarahi diri sendiri. Kejadian yang sama berlaku lagi... kali ini di Sunway Pyramid untuk majlis besar di bawah agen yang gah namanya... 2 minggu baru dapat bayaran.


Setelah 2 kejadian tersebut saya tidak mahu lagi berurusan dengan JANJI AIR LIUR.


Saya fikir begini: Ada show yang dibatalkan tetapi ada wang deposit yang saya dapat... jadi kalaulah tertipu sekalipun ia timbang tara Tuhan, dan Insyaallah Dia akan selalu mendengarkan doa saya.


----------------------------------------------------------------------------------------


Sekejap itu sekejap ini, mana satu?


Bayaran dikurangkan 200 ringgit kerana saya tidak melayan kehendak pengajur yang kelam kabut dan menganggu iteneri majlis? Oh! Pernah jadi sekali... ini dari syarikat syarikat yang penuh dengan AJK majlis yang mahu menjilat jubur boss mereka. No company's name will be mentioned here. Ia merupakan kejadian yang kekal dalam ingatan, not again! Sebelum ini saya hanya mendengar sahaja, rupa rupanya kejadian sebegini memang ada.


AJK seperti itu akan merosakkan majlis...



KENANGAN MASAM MASAM PENTAS - Part 3


Mesyuarat akhir sudah dihadiri. Duduk bersama para AJK majlis. Mereka menggoogle dan berwawancara saya untuk majlis minggu depan. Dibincangkan terperinci iteneri majlis. Tiba hari sebenarnya saya menelefon agen," pukul berapa semakan bunyi?"


"Aiyo... you don't know ahhh? They don't want Pondan!"


Saya sangat kecewa. BUKAN kerana ditolak sebab pondan, kecewa kerana untuk hari yang sama saya menolak show lain yang sangat berbaloi. Saya memang marah.


3 tahun kemudiannya.... agen kecil menelefon, ada show di Sunshine Bayan Baru. Itenerinya sangat lurus dan biasa. Ya, saya tiba dan terkejut kerana itulah kilang yang pernah menolak dahulu kerana jantina saya... pembesar suara ada di tangan. Menggunakan kemahiran komunikasi: "3 years ago.....bla bla bla...tonite you have to bare with me..."


Tamat kerja muncullah seorang lelaki yang meminta maaf pada saya..., rupanya AJK yang pernah menolak saya kerana PONDAN dan saya merasa PUAS!!!


Ingat, memang ada orang dilahirkan tidak suka pada pondan walau apapun alasan kamu.


--------------------------------------------------------------------------


Kerana sudah pernah bekerjasama, atas dasar percaya saya lupa tentang deposit 50% dari sebuah kilang di Seberang Prai. Tiba harinya untuk persembahan di Hotel Summit, saya dikhabarkan kilang tersebut terbakar dan malam Bollywood mereka dibatalkan. Telefon dan SMS tidak dijawab bila ditanya tentang deposit. Saya damaikan diri dengan berfikir, halalkan sahaja kerana kasihan, kilang mereka terbakar. 2 tahun kemudiannya kilang yang sama menggunakan khidmat saya, mereka bagaikan lupa pada kisah lama... saya bertanya tentang lelaki yang pegang wang deposit. "Oh! that Syed... he is not a good person," ungkap AJK baharu bila saya berpura pura tanya.


Ini semua rumusan yang jatuh pada sifat tidak bertanggungjawab manusia. Sedangkan nombor telefon ada di tangan untuk sebarang perkhabaran. Sewaktu terhimpit mereka pandai pula mencari jalan...


Kejadian yang sama berulang. Tiket kapalterbang sudah dibeli, bila dihubungi..."sorry organizer taknak guna akak..." Aduhai kita pula kena telefon mereka setelah dikhabarkan CONFIRMED. Dengan adanya facebook saya tidak ralat lagi... (ada caranya) wang kapal terbang pergi balik akhirnya dibayar kembali. Lega...


-----------------------------------------------------------------------------


TELANJANG DEPAN PEMUZIK


Bukan semua belakang pentas itu selesa. Tidak banyak dewan yang lengkap bilik persalinan. Penari dan kumpulan muzik ada ketikanya harus berkongsi kawasan. Tambah ribut jika pihak AJK tidak memikirkan keselesaan (bila ada persembahan dari para pekerja) - Pernah terjadi bila pentas Soul Fun dipinjam oleh kumpulan luar... habis berselerak kostum dan barang barang props jadi tunggang terbalik...


Hilang telefon bimbit juga pernah terjadi pada teman pengacara majlis. Jika majlis hanya saya dan Michelle kami selesa berkongsi hanya bahagian tepi pentas yang diletakkan pemindang plywood hotel. Tidak ada istilah diva mahukan bilik seorang satu di sini. Kerja harus tamat dengan baik...lagipun boleh saling bantu membantu.


Sekumpulan pemuzik lelaki terkenal pada suatu majlis tiba tiba berhimpun di bilik saya tukar pakaian. Saya perlu tukar baju untuk set pertama, mereka pula rancak bersembang.


"Eh! Regina nak tukar baju...," kata seorang dari mereka


"Alah... takpalah, Reginapun sama jer macam kita...," maksudnya jantan seperti merekalah


Saya dengan penuh relak membuka satu satu persatu pakaian kasual untuk ganti kostum pentas. Pemuzik serba salah dan mula beredar...


Di zaman ini saya fikir tidak perlulah dibetulkan mentaliti manusia yang tidak tahu membezakan antara transpuan dan lelaki yang berzakar.


Transwoman is a woman!


-----------------------------------------------------------------------------------------


Dituduh DIVA kerana membaling microphone.


Kejadian lama di Hotel Rasa Sayang. 3 lagu sepatutnya, tamat sahaja lagu kedua saya terpaksa mengundur diri... Dewan besar, pembesar suara bagaikan mikrofon main main sesi karaoke dalam kamar tidur. Saya begitu marah sekali... di belakang pentas microphone ringan itu saya baling kerana kesal... saya paling benci insiden sebegini.


Heboh esoknya di kalangan komuniti show-biz Pulau Pinang.


-----------------------------------------------------------------------------


Penonton geram dan masuk ke bilik persalinan?


Menakutkan kejadian di sebuah resort di Jawi Seberang Prai. Saya ketika itu menjadi penyanyi selit selit dengan kumpulan penari perempuan. Sedang saya selesa menukar busana untuk lagu ke 3, tiba tiba ada 5 lelaki mabuk merempuh masuk dengan niat mahu bernakal nakal... bolehlah...bole la...boleh la.... saya terkedu ketakutan. Sehinggalah penari penari perempuan kembali bila tamat tarian mereka dan mula menjerit jerit. Kami semua bergegas pulang bila tamat persembahan, khabarnya majlis itu kacau bilau (ini di zaman minuman keras menjadi santapan majlis majlis jamuan tahunan).


----------------------------------------------------------------------------------


AJK majlis kilang elektronik tak sedar diri?


Diarahkan saya bercakap Bahasa Inggeris sepenuhnya oleh AJK adik adik. Bukan saya tidak mampu berbahasa Inggeris total, masalahnya hadirin terdiri dari orang orang kampung jadi saya berselang seli berbahasa Melayu dan menterjemah sekaligus. AJK majlis ada ketikanya terlupa melihat kakitangan industri secara komprehensif. Ada orang kampung, pekerja Indonesia dan warga lain... sedangkan suasana majlis meriah sepanjang malam. Lokasinya di dewan E&O hotel, Pulau Pinang.


Oh! Ya... sesekali jika saya tersasul berbicara bahasa Indonesia (di belakang panggung), saya dapati layanan para AJK jadi lain. Kurang mesra... hey! saya berKTP Malaysia lho... jadi lebih isitimewa kerana dalam banyak situasi para pekerja TKI jadi mayoritas majlis, begitu juga jika ada orghe Kelate... the benefit is on my side.


-----------------------------------------------------------------------------------


Untuk sebuah majlis di Sunway Pyramid, saya hanya ditugaskan menyanyi 45 minit. Saya lakukan tugasan dengan penuh. Tiba tiba penganjur datang dan mahukan saya ambil alih tugas pengacara (katanya pengacara perempuann itu membosankan dan terlalu mat salleh) Ya Tuhan, sudah tentu saya menolak walaupun mereka sanggup bayar lebih. Suasana ini membuahkan rasa serba salah... Pengacara tersebut masih baharu (dia pernah popular di akhir tahun 90an - awal tahun 2000). Saya berulang kali menolak hingga timbul rasa tidak sedap. Kemas pakaian dan pulang tidak mahu memikirkannya lagi...(bayangkan kalau saya selamba ambil alih tugasan tersebut? apa perasaan pengacara tersebut? Something that I'll NOT do!).


Courage is not the absence of FEAR


but the ability to overcome it. It's normal to be afraid.



ENTAH APA KEMARAHAN MEREKA? KERJA PENTAS DAN PERTEMANAN SOSIAL.


Terumbang ambing memulakan hidup baharu setelah merantau ke Kelantan, Brunei dan Eropah hingga ke penghujung tahun 80an dan awal 90an saya menentapkan mahu terus bermaustatin di Pulau Pinang. Saya mahu lebih kenal pulau kecil ini... jika boleh mencari makan. Ipoh antara bandar opsyen jika perjuangan gagal.


Setahun lebih lamanya saya membina jambatan sosial berkenalan dengan teman teman di sini. Meriki peluang untuk bekerja (ingat kisah hajat mahu kerja biasa biasa sahaja?). Penelitian ringan sebenar sudah dilakukan sewaktu pulang bercuti, melihat bagaimana Penang meriah dengan hiburan (Hippodrome, Hollywood East, Celebrity, Xanadu, Rock World dan lain lain). Atas dasar itu saya tidak ralat untuk kembali setelah percubaan di Eropah tidak menjadi (cuaca, bahasa, makanan, cara hidup dan lain lain). - saya pulang tidak tangan kosong, ada ilmu hidup dibawa pulang.


Setelah menyertai kumpulan tarian sebagai penyanyi selit selit baru saya nampak peluang luas dan saya tidak boleh berlengah lagi...


Tidak mudah memulakan penghidupan baharu, paling tidak itulah yang dirasakan. Hemoi dan ghairah mahu tahu itu dan ini, meneliti dan mencari peluang yang ada. Wang simpanan masih ada menjadi modal bernafas. Dari show kecil bayaran ciput, show percuma dan janji air liur. Saya terus berkenalan dengan 'show players' setelah permohonan dan temuduga untuk kerja di bidang hotel dan makanan gagal sama sekali. (saya sebenarnya sangat teringin mahu terjun ke dunia PR). Tidak sangka pula kerjaya baju kelip kelap membawa saya ke hotel hotel seluruh pantai barat Malaysia dan berurusan pula dengan mereka yang menjawat jawatan yang saya suka. Aneh kan hidup ini?


Jadi, bermula dari awal hingga ke pertengahan tahun 90an berurusanlah saya dengan ramai manusia. Para showgirls, LGBT dan kenalan sosial setelah menetapkan Penang sebagai tempat tinggal tetap. Banyak drama hidup yang perlu dilalui dan ditangani tanpa sedar. Ini agaknya yang dikatakan asam garam kehidupan. Beberapa kejadian membekas sudah terjadi.


Jika melibatkan hal kecil atau jenaka mulut jelabas tidaklah mahu dikisahkan sangat. Di usia lewat 30an saya berhajat mahu berkawan, berasimilasi membina jambatan sosial yang baik. Apa yang tidak kena dengan aku? - sering menjadi persoalan sehinggakan jadi marah pada diri sendiri... (Apakah bahasa, latar belakang atau sifat aku silap?)


Kenapa mereka marah? Apa sebenarnya? kenapa ada kemarahan dalam diam? Salah apa aku pada mereka? - saya tidak suka bila diri diserang dengan pertanyaan pertanyaan sedemikian kerana hanya mahu menjalani kerjaya pentas dengan lancar.


Mungkin keliru, mungkin dengki atau sememangnya meluat? Saya tidak mendapat jawapannya hingga kini, mungkin juga hanya seronok seronok untuk disubjekkan saya jadi acara mengutuk secara berkumpulan.


Awalnya tidaklah dipedulikan sangat (Saya sangat tidak suka untuk memikirkan bahawa ada orang dengki pada saya, apalah yang istimewanya sangat tentang diri saya ini?). Kutukan mereka bila saya membuat semakan bunyi, cakap cakap belakang dan dengki pada upah yang berbeza (saya anggap mereka tidak biasa). Saya terus bertahan. Buat kerja dan balik... NO NAME SHALL BE MENTIONED here, saya mahu anggap mereka berhati jahat serta dibelengu rasa ralat, kenapa dia yang tak meletop pula ke depan? Cabaran di tahun hujung 90an masuk tahun 2000 pada kebencian mereka memang ada. Hinggakan bila setiap mendapat projek saya berdoa agar tidak bertembung dengan mereka langsung... saya kecewa.


Jika mereka bertemu jiran saya (Miss Nina) akan sengaja dikutuk perli saya, dengan harapan kebencian mereka sampai (Majlis hari jadi teman di Bukit Dumbar dan beberapa majlis lain), setelah itu saya tawar hati untuk berkawan, tidak mahu hadir lagi majlis santai adik adik. Hanya menemui mereka yang terpilih dan selesa dipercayai sahaja akibat serik. Untuk apa kalau kita hemoi juga hadir hanya untuk mencuit rasa marah dan benci orang? Tenaga baik ditumpukan pada mereka yang membayar upah dan gaji sahaja.


Di pihak diri masih tertanya tanya: apakah aku semakin sensitif? Mungkin kesan hormon? Apakah itu peralihan usia? Mungkinkah ada benda tidak elok dari segi kelakuan dan kata kata aku selama ini?


Mereka harus sedar bahawa kami melakukan kerja yang berbeza. Cerita banyak tidak guna kerana dengan latar belakang sifat dan akademik si showgirl dan teman teman Mak Nyah apa sahaja boleh jadi medan buruk sangka, bunyinya tidak elok, tidak sedap di kuping.


Kemana mereka saat ini? Apakah progres mereka? Hmmm...


Itu fasa sosial yang pilu sebenarnya, kerana melibatkan kutukan terhadap fizikal, rupa paras dan cara hidup yang diharungi, tetapi saya demi kedamaian tetap menebalkan muka setiap kali terserempak di belakang pentas dan di luar. Makanya demi kedamaian, dalam hati sudah diputuskan untuk lebih berwaspada dengan adik adik trans yang ditemui... Saya masih hadir seminar seminar NGO tentang sistem dukungan seksualiti dan gender yang diadakan jika perlu, cuma saya tidak HEMOI lagi pada dua tiga jelitawan yang tidak kemana itu... (Infact my first 2 books were dedicated to them)


Dirumuskan bahawa, bukan semua manusia perlu suka pada kita, ini adalah hakikat dan konklusi peribadi. Saya perlu lebih dewasa. Sama sahaja seperti waktu beralih menjadi penulis. Dukungan besar didapati melalui teman teman di medsos dan kenalan baharu, Alhamdulillah. Seperti kita sedia maklum, membaca bukanlah wadah istimewa untuk semua orang. Ada orang tidak peduli langsung pada kegiatan yang kita fikir seronok dan berbaloi tersebut.


Ya, dalam perjalanan hidup bukan semua teman teman akan kekal dengan kita, mereka perlahan lahan hilang akibat kekangan masa dan kehidupan masing masing. Sayapun apa kurangnya? Mana tahu ada sifat sifat peribadi yang menjengkelkan tanpa disedari? Saya fikir manusia manusia jengkel harus ditinggalkan sepi, mereka tidak ada waktu dan kita tidak lagi mampu menjamu emosi mereka yang narsis sepanjang hidup. Jadi kita juga membawa diri bukan? Jika bertemu kita akan ringan bersalaman, bertukar khabar atau angkat tangan dari jauh, terus bertemu jika selesa dan dipinggirkan sahaja jika berterusan jengkel.


Hubungan yang baik boleh sahaja diteruskan melalui medsos dan teknologi perhubungan moden sedia ada... di mana ada kemahuan di situ ada jalannya. Nombor telefon dan laman mukabuku tetap sama, tidak berubah.


My wishful thinking is: Adik adik akan sokong/dukung adik adik yang lain. Berusaha membangun semangat bersama. Sayangnya ia tidak terjadi begitu, mereka bersaing di dunia ciptaan yang kecil. Bergaduh untuk hal hal remeh termasuk kisah siapa lebih cantik, ratu yuran, siapa sudah makan jantan itu dan ini, aduhai leceh remeh beraduk rasa tidak sedap! Saya seriau untuk terlibat dalam rentetan kisah kisah begini lagi.


Dalam hati segalanya dimaafkan, tetapi sukar untuk dilupakan. Diulang pesan bahawa saya sendiri mungkin ada membawa sifat yang tidak digemari orang, jadi wajarlah masing masing melangkah mencari bahagia masing masing. Pokoknya hal hal buruk terdahulu jika boleh, janganlah berulang lagi.


Di usia matang emas ini, mana mungkin saya mahu menghabiskan waktu beranalisa itu dan ini?


Orang lain sudah ke bulan sayang...


NOTA: Usaha melakar nama di negeri ini berjaya dengan sifat berkulit biawak beserta dukungan  beberapa manusia yang percaya pada bakat yang ada. Dunia penulisan, kerja seni lukisan dan pertemuan dengan anak anak kolej menerangkan persoalan SOGIE serta kerja sukarela diteruskan. SAYA MASIH GHAIRAH UNTUK TERUS BERSAHABAT dan BERKENALAN dengan sesiapa sahaja dari pelbagai bidang asal sahaja mereka manusia yang mudah bertoleransi.



DADAH YANG MENGHANCURKAN


"Jom la mak bawa kau ke BackRoom Jalan P.Ramlee..., seronok tau entrance 60 inggit...dapat sebutir dengan mineral water...urghhhh, menari menari, keluar jer mak cik nasi lemak dah di tepi jalan you...macam macam orang ada...!"


"Ahh... Ipoh lagi best, kiter ader Shuttle 8 house music nok!"


"Goyang goyang kepala... dekatkan telinga pada sound box" cerita kenangan tahun 90an.


"You ada kenal sapa sapa tak? Stok i habis...," tanya teman yang mungkin syak saya pengamal


-------------------------------------------------------------------


Saya BENCI mahu bercerita tentang kisah ini.


Ada rasa pilu semacam pada kehilangan ramai kawan kawan show dan lingkung sosial akibat dadah. Dadah... Zroot Zroot Zroot... sedap hingga terkacing gigi you... NO NAMES SHALL BE MENTIONED.


Mungkin sepi? tidak merasa cukup? atau mencari bahagia?


Merasa lebih IN bersama teman zroot, zroot? Menjaga berat badan? Saiz model selalu menjadi alasan jika ditanya. Mungkin jawapan skema hanya suka suka sahaja, "benda ni tak ketagih nok, boleh kontrol!".


Kisah kisah pemuzik taik ganja dan dadah tidaklah sepelik mana di tahun 90an. Namun bila melibatkan kenalan, perasaannya pilu semacam!


Sejak awal kerjaya pentas dikenalkan pada penari yang berbakat di Penang tidak berfungsi dengan baik malah marah marah bila tidak ada bekalan ganja. Bosan sebenarnya menghadapi situasi ini hampir setiap minggu... ia menganggu kerja pentas berkumpulan.


Si cantik yang kemaruk dadah. Dari ganja beralih ke syabu, jadual kerja terkontang kanting... tidak serik walaupun ada kisah teman yang terbunuh akibat urusan dengan tokan dadah. (selalunya jika ditanya oleh teman teman dari luar kawasan tentang mangsa, saya tidak menjawab, saya akan urut rambut pura pura berkata - entahlah lama betul tak jumpa dia...).


Si jelita yang terhapus begitu sahaja dari radar dunia pentas, saya saksikan dia datang ke Pulau Pinang kemudiannya berlatih dan tumbuh cantik (Bertuah beliau kenara dua tiga lagi mentor showgal menginspirasi memberi tunjuk ajar) pulang ke KL bertambah meletop ...dan setelah gagal bercinta dia menjadi hamba dadah dan hilang begitu sahaja, tak ditemui... kasihan, dia manusia yang saya anggap baik dan berbakat.


Kisah teman sebaya ditangkap sedang mencuri di farmasi Watson? katanya semua dilakukan oleh kuasa luar sedar... Merokok tidak minuman keraspun tidak alih alih?


Bekas teman show yang berjaya sebagai stailis... dalam tempoh yang tidak lama mencumbui dadah secara serius... padahal saat itu wang ringgit mengalir hebat lebah dan hingga kini diselaputi dengan kisah kisah tidak sedap. Ketagihan dan relapse berulang menjadikan segalanya tidak bermakna... membawa rasa serba salah di kalangan teman teman, kerana suatu ketika dahulu beliau berkarisma tinggi.


Semua di atas adalah kisah kisah teman showgal, teman biasa yang terjebak dadah juga ada...bertambah pilu jadinya jika si mangsa hadir dari sejarah yang baik baik. Merokok dan minum minuman keraspun tidak pernah bersentuh, tiba tiba menagih dadah tidak keruan... dan ada yang membawa mati. Anak kesayangan yang pandai berniaga akhirnya lingkup tanpa kemewahan akibat dadah sintetik. Yang pernah jelita suatu ketika dahulu ditemui terhoyong hayang, kusut masai, (serba salah jadinya kerana kita pernah kenal) yang terpaksa berdiri di lorong dan bergelumang dengan dunia dadah... dan keluar masuk universiti. Sedikit sebanyak nasib untung mereka menganggu emosi saya.


Kempen anti-dadah sudah dilakukan tahun demi tahun. Sintetik? Asli? Pure? Imported? Buatan Kulim? Kekasih tampan pengedar? Sedihnya mengenangkan teman teman Mak Nyah yang dikenali sihat, pintar, cantik dan hidupnya biasa biasa bila bertemu lain pula jadinya... Demi menyedapkan perasaan sendiri, saya berkata: "Itu semua dugaan Tuhan susun untuk mereka....berdoalah, semoga esok esok dia pulih dan sedar."


Dadah rekreasi setiap diperkenalkan sang tokan, dikatakan tidak berbahaya, dikaitkan nama nama artis tempatan dan antarabangsa sebagai pengamal... Awalnya tentulah diberikan percuma, nagoi nagoi yang terasa mereka artis mulalah menggunakannya untuk riadah hujung minggu, berpesta dan akhirnya tersangkut jadi penagih harian.


10 tahun lalu saya mula kerap berpesan pada diri agar JANGAN HAIRAN, jangan emosional jika ada yang tiba tiba lesap dari radar, pulang negeri dan membina hidup baharu - Ini semua kes dadah, tak kiralah dadah jenis apa...


Teman showgirl yang penuh yakin bercerita tentang olahraga, senaman dan jogging. Padahal pengamal dadah ais... syabube!!!


Ini semua saya kira TIDAK PULANG MODAL... dan saya juga tidak mahu menjual sebarang nilai di sini... terimalah dugaan masing masing, kan? Kita juga ada dugaan masing masing.


Kesan dadah terus menular sehingga zaman medsos. Sesekali terbacalah muatnaik dan video yang tidak begitu manusiawi dari pengamal. Ada ketikanya ditulis penuh kreatif tentang 'Persoalan dadah yang tidak perlu ditanya, jangan buat pandai pandai, jika kita bukan pengamal'. Hilang dari radar adalah hal biasa bila ada keterlibatan dadah dan penagihan. Godaan dadah sintetik di awal tahun 2000 bagaikan memilih mangsa... ada yang mampu keluar secara Cold Turkey dan ada yang tersangkut, sangkut tidak keruan.


Kerana sejak remaja berurusan dengan ADK sewaktu di maktab, amatlah dimaklumi sebarang jenis dadah tidak kira apa alasannya jadi merbahaya pada diri, masyarakat dan kesihatan mental pengamal.


Rumah sewa dijadikan port, privasi... (rumah adik adik seringnya berlengkapan... ) diumpanlah kisah cinta palsu untuk sama sama tarik menarik... lapar nanti kita masak mee segera... Jam yang berputar tidak tahu siang atau malam. Aduhai...


"Nok! bende ni nak kena top up vitamin and drinks lot of water tau...," ujar is showgal yang kurus kering, berurat dan merasa diri vogue. Saya fikir ada unsur unsur sepi dan jati diri yang tidak terubati dan perlahan lahan didamaikan hati agar tidak terlalu memikirkan tentang hal ini.


Sayangnya 60 ringgit yang tidak terbang dari langit itu, hanya kerana mahu melayang sebentar dari dunia realiti.


Akhirnya demi keselamatan, kita masing masing memilih untuk jadi lebih SELFISH. SELF CARE.


NOTA: Menulis memoir tentang hal ini tidak seronok. Jadi janganlah ditanya siapa, apa, di mana dan bila... Dunia muzik dan pentas selalunya lebih mudah diduga penangan dadah. Ia sejenis kerterujaan, diamalkan dengan alasan peribadi yang pelbagai. Kisah DADAH terdekat masyarakat seperti cerita lama Jamal Abdillah, M.Rizal, Saleem dan Zamani tidak kira apa fasa mereka menjadikan kita rasa TAKUT bila terjadi di lingkung teman teman showgal dan sosial. Maafkan saya.



SAYA ARTIS YANG TAMAK...


"A Picture is a POEM without words," - HORACE


"Seni membasuh, debu debu di jiwa kehidupan harian," - Pablo Picasso


---------------------------------------------------------------------


"Bukan main kau ek, cerita dan cita cita macam orang tak nak kalah, walaupun....," ujar seseorang yang membaca tampilan diri kita yang tidak seberapa itu.


Rasa malu dan segan (bukan tidak yakin) tetap berlegar dalam jiwa. Tanpa dukungan, seksualiti diri dan tidak pandai propar adalah kelemahan peribadi. Bukan pula jenis hemoi muahhh! muuuah! muuuuah... di majlis majlis sosial, jadi susahlah! Sekarang kamu faham kenapa bersosial itu penting demi kerjaya. Kalau di zaman tanpa medsos pemula perlu hadir majlis majlis ramai orang penting.


Dalam majlis itu pula perlu cari jalan untuk up up diri setelah diperkenalkan pada kenalan baharu, mana tahu ada peluang luas terbuka? TIDAK SALAH. Itu antara teknik yang perlu dibiasakan kalau mahu survive. SENI HUBUNGAN MANUSIA ini antara yang masih saya ralat hingga kini.


"Yer...saya penyanyi, pengacara, pelukis, penulis dan pereka hiasan kostum...," Allahuakbar tidakkah NARSIS bunyinya? (saya sendiri rasa seriau - belum lagi orang yang mendengarnya)


Perlukah saya melempar semua album album gambar, sebagai bukti? Seperti kisah si ibu ayam yang bosan mendengar kisah anak anak ayam yang asyik masyuk berbicara tentang kecantikan, gah hidup, kekasih kaya, kelas hidup dan lain lain...?


"Betul ker Mak Gina buat show? Ada ker orang nak tengok tu?" bukan tidak ada mereka yang berfikiran begini. Ada yang anggap semua cerita hanyalah halusinasi.


Ya, saya akhirnya berani mampus menggelar diri sebagai ARTIS HOLISTIK.


Ada ketikanya untuk kenalan kenalan baharu yang membosankan saya menipu bahawa saya tukang masak di restoran atau saya isteri ahli bomba, demi memendekkan perbualan (Bukan apa, kalau diceritakan kisah pentas dia akan ghairah bertanya tentang artis artis pop dan paling tidak mahu bercerita tentang kisah dia menang ratu, diapun buat show pakai pompuan atau pertandingan karaoke, saya cepat meluat). Pernyataan tentang diri adakalanya mengalir seperti sungai yang lancar jika kena gaya... setelah itu entah mereka percaya entah tidak, Wallahualam!


Kamu ini biar betul?


Atau paling tidak saya nampak ada kerutan dahi dan iris mata aneh terbentuk dari kenalan baharu yang merasa kurang senang apabila berbual santai tentang kerjaya. Sukar juga untuk telus bercerita apa aktiviti kita. Ada yang tahu kerja pentas saya, ada yang tahu saya ini bekas guru kerajaan dan ada yang pernah membaca buku tulisan saya. Sebagai pelukis? OMG... tidak mungkin! Semua dia mahu buat? Itu belum lagi diceritakan tentang kraf mengikat batu mineral jadi perhiasan untuk dijual, dihadiahkan.... entah entah dia propar? (Baru saya tahu bahawa kita kena cepat cepat beli kamera atau memiliki hp yang baik untuk merakam)


Apabila dikhabarkan tentang aktiviti melukis, tentulah bunyinya sangat ambisius. Penipu yang kuat propar memang gemar bercakap besar atau berkhayalan bagai orang sasau. Jadi saya selalunya memilih untuk tidak diceritakan. Sekali sekala dipaparkan di medsos, beriring soalan: Mama lukis ker tu? Not bad!


Ya! Saya melukis dan banyak lukisan harga mampu milik dikumpul beli oleh mereka di Pulau Pinang sebagai menyokong aktiviti seorang Transwoman yang melukis. Antara pengumpul pengumpulnya adalah:


Joe Sidek, Latif Kamaluddin, Keith Hockton, Dato Anwar Fazal, Fuan Wong, Jerry Richwork, Didi Elle dan ramai lagi yang tidak mampu saya senaraikan. Penglibatan bersama GTF untuk pameran Indigo pada tahun 2014 dan Café Display 2018. Pameran solo pertama di Ching Lotus Humanist Space pada tahun 2003 dan diikuti oleh pelbagai pameran gabungan termasuk pamiran 8 bersama 7 pelukis wanita di Pulau Pinang di ChinaHouse (sila google)


11/12/2018 sudah diserahkan 3 lukisan besar 4 kaki X 4 kaki dan kerja kerja awal impressionist untuk pemilik café muda, akibat tidak cukup ruang penyimpanan. Saya kira lebih baiklah lukisan lukisan tersebut diperagakan daripada dibiarkan menyimpan habuk.


Lukisan lukisan yang didermakan untuk kutipan dana rumah SEED saya percaya sudaha dimiliki oleh individu yang tidak saya kenali.


2019 akan dimanafaatkan melukis dalam saiz sederhana bersama dengan gurisan dan media gabungan, sementara menanti novel terbaharu diedarkan. Kelahiran demi kelahiran karya sebenarnya adalah resah penantian yang menyumbang pada rembesan hormon dopamin bahagia.


Tahukah kamu yang saya masih kekok untuk memperkenalkan diri sebagai PELUKIS? Ada sejenis rasa pelik di situ. Sesekali bersama anak saya Fahmi Mustaffa kami akan menyelinap masuk ke pameran pameran di sekitar Penang menikmati minuman dan makanan percuma. Kadang kadang kami tidak berceritapun bahawa kami juga menggunakan warna, kanvas dan gurisan. Bukan apa, takut orang meluat!


Hamboi... semua depa nak karau kat depa!


Jangan silap. Jangan risau. Kehidupan pelukis yang menulis bukanlah seperti yang kamu lihat dalam filem filem fiksyen.


Melukis dan menulis adalah kerjaya seni yang sepi, tetapi disyukuri dengan penuh misteri (Ia membahagiakan walaupun miskin secara kewangan), yang membayar segala bil dan sewa sehingga tahun 2020 adalah duit kerja kerja pentas yang dipekin sebenarnya.


Tak kaya kayapun aku tengok?


Bukankah pernyataan di atas sudah membikin kamu membayangkan bahawa saya ini seharusnya kaya raya?


Kayalah juga... kaya budi dan idea... dan sehingga kini secara psikologi saya tetap menterjemah kata 'Narcicistic' itu sebagai hal PERASAN atau Syok Sendiri... saya ralat jika berperasaan begitu....


NOTA: Saya kini tahu, ramai para artisan Transpuan di seluruh Asia mengalami hal yang sama. Sukar untuk ditetapkan mana satu kategori di dunia yang gemar membahagikan jantina. Ia akan menimbulkan persoalan dan menjadi bahan hencapan masyarakat setempat dan sesama rakan di bidang yang sama bila bersaing. Secara kesal bias saya akan berkata: Dunia ini milik cisgender, biarlah mereka menikmatinya, kita duduk di tepi, kalau ada yang percaya kita selinap masuk dan tadah tangan bersyukur.




I CREATED MY OWN LANE... I HAVE TO!


Rasa malu kelu tak sanggup


bukan kepalang debar hatinya


Jika satu pintu tertutup


terpelahang 10 pintu lainnya


Penat berkeluh mencari peluang


terpaksa mengalah membawa hati


Jalan disekat penuh penghadang


reka begalah laluan sendiri


------------------------------------------------------------------


"Regina I leave it to youlah... as long as the crowd is happy, you know what to do lah..., the client got no complaint, we should be alright," Ini tahapnya di mana timbulnya rasa bahagia dan perjuangan selama ini dirasakan berbaloi.


Manusia sentiasa cuba untuk berhubung, berkumpulan dan bepersatuan, ada ketikanya mencuba berat. Tuhan yang tidak tidur pula mengizinkan kita menilai penerimaan orang. Ingat, bukan tugas sesiapa untuk mendepa tangan, mengalu alukan kita.


Ada ketikanya dalam berhubungan, ada tercuit rasa Penting Diri... berpalit sedikit cuitan narsis. Percayalah ia bukanlah perasaan yang enak bila saya memilih untuk bercerita akan hal hal capaian dan kerjaya secara terbuka.


Semulajadi kita tumbuh menjadi manusia yang jika boleh, menjawat jawatan hebat, berperanan penting di depan mata. Selama ini sudah tentu kagum jadinya melihat kehidupan gah, teratur, bahagia, berkilau dan menariknya manusia lain. Kita diam diam menyimpan hajat nan sama.


Namun hakikatnya semua ini adalah laluan yang direka sendiri demi kelansungan hidup dan permintaan jiwa raga. Perasaan peribadi menjadi sedikit lega, bila mengetahui bahawa kita tidak bersendirian.


Hidup bukanlah filem fiksyen indah di mana 'nasib baik' jatuh berkeping keping dari langit. Dugaan/hadangan meminta penyelesaian dan cara menyelesaikannya itulah menjadikan kita berilmu dan matang.


Laluan tanpa sedar diambil dalam keterpaksaan, perjuangan mahu hidup selesa. Menitikberatkan kelegaan jiwa dan kebahagiaan peribadi berslogan klise: "jika orang lain boleh kenapa tidak aku, padahal aku jauh lebih baik?"


Rasa rendah diri, jati diri melantai bila terlalu kerap ditolak tepi. Semangat akhirnya bangun jadi lebih berani.


Merasa bertuah, bila disokong oleh individu individu yang mula percaya, buka mata pada bakat amatlah disyukuri. Ada hal menang-menang di situ, tidaklah dipedulikan apa agenda mereka, yang penting kita boleh tampil membawa pembuktian. Saya fikir, jika tidak dikurniakan bakat seni sekalipun, sebagai orang biasa kita akan berhemoi untuk membentuk peluang lain.


Ada ketikanya dalam hidup, peluang perlu direka. Teliti membaca pasaran dan memasarkan apa sahaja kemampuan demi janaan pendapatan. (Bekas pelajar Pengajian Perniagaan tahu benar hakikat ini - reka cipta godaan pasaran - didalami penuh tekun hal Penawaran Permintaan)


"Alah...sayangnya kak Ina berhenti mengajar...," kenyataan yang sudah mampu dibiarkan berlalu bagai angin. (kalau dahulu membuak buak mahu memberi penjelasan - berbunyi seperti ceramah marah!). Tidakkah mereka tahu bahawa pendidikan boleh terjadi bila bila masa sahaja? Pendidikan tidak berhenti sehingga liang lahat? Pendidikan juga mampu dijual? Saat membaca artikel ini juga kamu belajar bukan?


Dunia Penulisan antara pembuktian bahawa peluang direka, bukan jatuh ke riba dengan mudah. Ia hadir dari dunia Medsos yang sedang rancak. Muatnaik yang mendapat perhatian, coretan coretan tentang negara dan seksualiti yang mendapat tidakbalas menggalakkan lantas membuahkan idea untuk terus menulis. Kita semua menulis dalam hidup, tidak kiralah nota kecil, senarai barangan runcit dan apa sahaja... jadi saya fikir kenapa tidak ditulis tentang Gender dan Seksualiti? 2014 menyaksikan permulaannya dunia penulisan bekas guru, showgirl dan pelukis.


Awal tahun 2015 buku fiksyen pertama terbitan Fixi dilancarkan di Georgetown Festival dan Buku Mak Nyah berada di pasaran, serentak dengan Redefining Realness karya Janet Mock. Ini bukan pansos, Janet merupakan sosok transnita kulit hitam muda yang sangat progresif dari Amerika Syarikat. Dua buku tersebut menjadi bestseller!


Peluang sebenarnya datang tanpa sedar. Menulis untuk ekspresi diri dan mendapat upah adalah nikmat Tuhan yang sanggup digalas dengan penuh tanggungjawab. Sebarang penolakan dalam dunia penulisan sudah tidak jadi rintangan lagi, kerana sebelum ini terlalu banyak kisah penolakan sudah terjadi dalam perjuangan awal. Pendakian seterusnya terus didoakan menjadi mudah.


"Aiyah... ee lang mana ai lu? ee lang ai kua sexy sexy nia..." perlukan saya terjemah untuk kamu? Kenyataan pedih yang dilemparkan oleh towkay show.


"O chabor mana u lang ai kua lu? ee lang ai sui sui nia..." kamu pernah diutarakan kenyataan sedemikian? Kisah yang melibatkan warna kulit mampu mencalarkan semangat.


Dengan berkulit biawak, semua itu dihadapi sehinggalah mereka mampu melihat bahawa ada kemampuan membawa sumbangan di situ dan saya pusing ia menjadi kerjaya, tidak kiralah pulangannya banyak atau sedikit, paling penting ia jadi kerjaya yang berbaloi dan menyeronokan. (Kamu suka fesyen? Menjahit? Memasak? Menyolek? Baiki barang elektronik? apa sahaja ...tiada batasan $$$$)


Pada teman teman sering dipesan: Kamu fikir Tuhan sengaja mengurniakan bakat untuk disia sia? Bentuklah rasa percaya diri. Takut GAGAL bukanlah perasaan yang baik, ubah dan tukar ketakutan tersebut jadi semangat membara. - (peka, tersusun, tepat, peduli dan tidak syok sendiri)


Ketakutan hadir akibat 'sosial conditioning' - nyaman sosial selama ini. Takut tidak ada gaji bulanan, takut hidup tidak seperti orang lain... - akhirnya kamu sukar tidur, jatuh depresi, murung, bosan dan lelah dengan kehidupan seharian. Cari dakaplah kegiatan yang membuatkan kamu teruja mahu bangun dari tempat tidur tanpa berat jiwa dan emosi - ini juga langkah bahagia. Jika teruk sangat mulalah melihat hidup dari perspektif yang lebih positif.


Kita terus mahu menjalinkan hubungan yang baik dengan sesiapa sahaja yang melintas dalam hidup, demi peluang peluang yang bukan hanya menjana kewangan tetapi menambahkan rasa nyaman dan hidup bahagia. Berbaik sangka sesama, mana tahu pemegang tombol pintu peluang seterusnya berada di tangan manusia yang tidak disangka sangka.


Saya fikir, sebaiknya ditanam sifat mahu tumbuh jadi berguna pada diri dan manusia sekeliling dilaluan apa sahaja yang dipilih.


Kamu faham sekarang kenapa saya kerap tayang tayang rantai rantai manik koran dan itu ini kegiatan harian di mukabuku? Medsos sudah mengurniakan banyak peluang peluang baharu sejak awal digunakan.


NOTA: Jadi secara berjenaka sering saya katakan bahawa saya adalah karyawan yang TAMAK, kalau boleh semua saya mahu lakukan. Kenapa? kerana setiap projek yang terlaksana membawa bersama ajaib nikmat bahagia, nyaman seronok bagaikan kenderaan mendapat bahan api untuk terus bergerak cemerlang.



MENGUKUR JAYA.


Samada dijelaskan atau didiamkan sahaja, kiraan tetap dijalankan oleh setiap kita. Akhirnya masing masing tampil dengan definasi dan tafsiran JAYA secara peribadi atau mula mengikut fikiran jemaah manusia yang difikirkan berjaya.


"Tengok anak Pak Karim, dua tiga biji kereta dia..."


"Rumah dia tiga tingkat tau... laman luas,"


"Sebulan 15 ribu income dia....seronokkan?"


.... dan pelbagai kiraan termasuklah jodoh dan kemampuan mempamir kebahagiaan yang sinonim akan kata JAYA. Jaya diregu pula dengan GAGAL... diungkit kisah orang dan diri dengan wajah yang sebek.


Ukuran kamu boleh jadi apa sahaja. Bukan tugas saya untuk memesongkan tafsiran dan taksiran jaya terhadap kamu. Masih dalam kondisi subjektif, jaya diukur dari pelbagai sudut dengan penilaian masing masing atau mungkin ia mampu berubah mengikut nafsu semasa manusia.


Menurut kamus, JAYA dimaknakan sebagai: Pencapaian, Dapatan, Kemenangan dan Kemegahan. Jaya ditakrifkan sebagai "Pencaipaian pada sesuatu yang diidamkan, dirancang atau diusahakan demi meraih SOHOR atau KEMAKMURAN hidup"


Berikut di senaraikan 20 hal untuk memaknai JAYA:


1. Jaya adalah hasil dari SUNGGUH SUNGGUH bila bertugasan.


2. Jaya adalah matlamat yang dirancang secara nyata dan kental.


3. Ada tempat digelar rumah/tempat tinggal (tak kiralah sewa atau beli, selesa dan terasa penuh) - nyaman untuk menjana semula tenaga demi perjuangan esoknya.


4. Faham dan tahu membezakan antara asas PERLU dan MAHU manusia. (minimal? maksimal? mewah? asas?)


5. Percaya bahawa kamu mampu - jika kerap ragu bagaimana?


6. Timbang tara antara kerjaya dan keghairanan (passion) - kejayaan tidak datang jika kamu tidak suka pada apa yang dikerjakan.


7. Mendahului segala keperluan diri. Ia tidak bermakna kamu tidak peduli pada sekeliling. Jaga diri dahulu, kemudian barulah orang lain.


8. Jaya melibatkan hal belajar untuk mengatakan TIDAK - Jangan dibenarkan rasa malu alah, kerana ia melibatkan hal rugi masa.


9. Menyedari bahawa hidup kamu dipenuhi secara berlebihan. - rezeki yang melimpah ruah. (Rezeki - Kasih sayang, kesihatan, teman dan saudara mara)


10. Jaya tidak bermaksud nikmatnya kamu karau seorang. Ada golongan yang dibawa bersama - tidak kiralah adik beradik atau sesiapa sahaja yang sudi. - setinggi mana sekalipun pendakian kamu, tanya berapa orang yang sudah dibawa bersama?


11. Jaya adalah hal menangani segala ketakutan.


12. Jaya adalah mempelajari sesuatu yang baharu setiap hari. Serapan ilmu baharu oleh otak dan badan.


13. Percaya bahawa kegagalan/kegagalan dalam beberapa cabaran lambat laun akan membawa jaya. - bagaikan semangat perang.


14. Menyintai dan dicintai kembali adalah lambang jaya yang hakiki. (hubungan cinta kasih dan kerjaya - saling menghargai dan dihargai)


15. Tetap pendirian bila kamu benar benar percaya pada sesuatu perkara.


16. Tidak menyerah kalah. Cuba lagi, cari resepi baharu atau apa sahaja pendekatan berbeza.


17. Meraikan setiap capaian walaupun dianggap jaya yang kecil. Raikan!!!


18. Jika benar benar mahu, sebarang kecacatan dan kekurangan diri tidak jadi penghalang - orang lain boleh kenapa tidak kamu?


19. Memahami bahawa kamu mampu mengawal diri dan destinasi - teratur secara harian, mingguan atau bulanan. Lega jika tercapai dan bersemangat untuk terus mencuba.


20. Kemampuan menerima diri dan sekeliling sepenuhnya. (destinasi tidak tergantung pada bintang kelahiran dan mitos mitos, ia ada dalam diri kamu, menanti untuk diasah sebagai manusia).


Jika tidak dicuba, manakan tahu?


Tidak ada salahnya menafsirkan JAYA mengikut kiraan peribadi, asalkan ia tumbuh jadi motivasi diri pada apa sahaja yang dirasakan terbaik dan bermanafaat. Ukurannya sama seperti ukuran kaya materi atau kaya budi, tidak pernah seragam. Sampai bila kita mahu mulut orang terlopong melihat luaran kita? Sekali dua seronok, terlalu kerap jadi mudarat.


Jaya menurut saya adalah 24 jam yang nyaman. 8 jam bekerja penuh lancar, 8 jam untuk keghairahan bahagia hidup dan 8 jam tidur yang nyenyak demi esok... melakukan yang terbaik kerana tidak menongkat dunia dan tetap ghairah pada usulan usulan baharu.


Dia tidur malam bagaimana? Bolehkah lelap tu? - soalan soalan yang melintas di minda tidak terungkap pada subjek subjek yang difikirkan agak extravaganza!


CEST LA VIE!!!


Regina Ibrahim.


--------------------------------------------------


KARYA ADALAH SURAT CINTA... BOLEH JADI PROTES.


Penulis digerak gelembung niat. Bunyinya klise, namun bagaimana ditongkah segala jenis frasa tanpa niat? Lainlah jika kamu hanya pelapur berita atau menjadi penulis hantu dengan niat cari makan, dituntut kerjaya atau kamu orang berada yang suka menulis kerana wang berguni makan tidak habis.


Di negara kecil dan bersaing ini, mana mungkin muncul wenang wenang wartawan yang mahu duduk santai berwawancara dengan kamu secara ekslusif tentang karyamu seorang penulis ikan bilis (kualitinya yang difikirkan? Wallahualam!). Mahu dipaparkan dimana? Kamu tidak sensasi. Pembaca pula semakin berkurangan atau terpaksa memilih bila menghadap 1001 tajuk baharu di pasaran. Jadi promosi melalui medsos digunakan sebaik mungkin tanpa rasa malu. Iklan dari teman teman pembaca secara ikhlas jadi sangat indah. Bukankah lebih baik begitu?


Saya mahu berkisah tentang niat peribadi ketika berkarya. Tidak kiralah samada sudah atau belum dicetak jadi novel, cerpen, antologi bersama atau zine sekalipun. Tanya dalam dalam pada hati, apakah niat sebenar terhadap karya terhasil yang kemudiannya sudi pula dicetak oleh syarikat penerbitan atau dipaparkan di portal milik orang.


Kelegaan setelah berkarya sudah dibincangkan sebelum ini. Bagaimana bahu terasa ringan dan beban emosi bagaikan lenyap. Difikirkan kembali, ia suatu tindakan@proses yang agak SELFISH sihat oleh penulis bukan? Paling tidak itulah apa saya rasakan. Persetankan! Selagi karya mampu menawan pembaca apa salahnya?


Dalam menghasilkan karya (biarpun dengan syarikat penerbitan yang dianggap bebas) jarang saya buka surat cinta yang sebenarnya untuk sesiapa. Selalunya laman dedikasi berada di mukasurat awal karya sipi sipi mengambarkan gelut rasa setelah naskah siap. Berikut adalah beberapa kenyataan (umum dan peribadi) surat kasih dan protes dalam beberapa karya jika ditanya secara bersemuka:


PERJALANAN


Umum: dedikasi untuk teman teman mak nyah dan ibubapa semoga ada pencerahan.


Surat Cinta: pada diri yang sudah melalui kejadian berat, termasuk mengabadikan perjalanan di Sri Lanka dan teman teman yang pernah bercerita tentang kesukaran menjadi pekerja seks di negara orang dan cinta pada fesyen.


BUKU MAK NYAH


Umum: untuk ibu bapa dan adik adik trans yang keliru


Surat Cinta: Pada diri sendiri sambil meleraikan segala persoalan dunia Mak Nyah yang dilihat bagaikan tidak ada kompromi, sewaktu penulis membesar tanpa penjelasan. Harus ingat saya hidup sebagai Mak Nyah tanpa panduan yang konkrit, terumbang ambing mencari makna. Dikaji selia jantina yang serba tidak kena ini. Terma Transnita lebih banyak digunakan sekarang.


ANTOLOGI CERPEN REGINA IBRAHIM - FIXI


Umum: Hanyalah secebis kisah masyarakat


Surat Cinta: untuk famili dan diri sendiri yang membesar menyaksikan ramai perempuan perempuan yang kuat dan reda dengan takdir hidup. Banyak kebencian peribadi dipaparkan dalam antoloji ini. Masyarakat yang terlalu yakin, khilaf kehidupan semua jantina dan kemarahan pada sifat sesetengah institusi sosial yang mahu mengawal secara terlalu.


DELIMA


Umum: dedikasi pada dunia seni yang melintas di depan mata


Surat Cinta: untuk perjuangan para artis perempuan, harapan terhadap dunia seni Malaysia, memuaskan kemarahan diri terhadap industri Pop yang tidak adil. Disertakan barisan khilaf manusia yang hampir benar di dalamnya. Rasa meluat pada dunia POP yang mempergunakan keghairahan orang (yang tergedik gedik mahu jadi artis pop) dan seringnya memalit otak udang di negara ini.


BUDIMAN


Umum: untuk mencerahkan segmen seksualiti pada ibubapa dan masyarakat.


Surat Cinta: sebenar benarnya secara ikhlas untuk anak anak gay yang terlalu ramai keliru setelah cara hidup mereka dibedal, dihakimi dan dipertikai (sedangkan naluri/perasaan itu tidak pernah mereka minta). Melihat telingkah sesama mereka akibat tidak mendapat pencerahan juga membuatkan buku ini terhasil. Sengaja dipapar penerangan ulangan SOGIE dan kisah bi-seksual yang selfish. Sifat sifat manusia (watak pembantu) dan terus terang tentang kondisi keliru para LGBT akibat reaksi masyarakat yang tidak terbuka dan kerap mahu mendorong agama pada mereka. Sengaja diselit kisah kisah bijak mereka bagi membandingkan bahawa mereka manusia pintar.


MANUSIA


Umum: mahu bercerita tentang sifat manusia tanpa bersyarah.


Surat Cinta: untuk diri dan teman teman yang tidak bernasib baik dari segi fizikal dan rupa paras. Dalam manusia yang digabung kisah HIDUP dan MATI ini, dilampirkan LECTURE PERFROMANCE peribadi yang sudah digarap dari waktu ke waktu, bolehlah dikatakan menjual nilai juga (selagi diyakini berguna). Naskah ini penuh harapan akan dirujuk kembali suatu hari nanti apabila anak anak kurang bernasib baik merasa keliru dan dipinggirkan. Tidak ada unsur unsur homosek di bahagian saya (saat membikin naskah ini saya sudah perlahan lahan lari dari tema tersebut).


KATA KATA MAMA


Umum: Hanyalah bacaan pengenalan dari penulis mentah ketika itu.


Surat cinta: Secara ikhlas didedikasikan pada anak anak perempuan yang rata rata dilihat berpendidikan. Masuk bab menangani manusia mereka sedikit lemah tidak bertulang belakang. Niat paling penting Zine ini adalah untuk mendukung rumah penerbitan yang aktif dan nampaknya menyumbang pada dukungan terhadap penulis penulis baharu yang berbakat. Saya sendiri ketika itu masih baharu dan terpaksa belagak berani kerana mengejar keretapi yang tertinggal.


DELIMA 11


Umum: Hanyalah kisah dunia POP Malaysia.


Surat cinta yang tidak mendapat lampu hijau dari rumah penerbitan pilihan. Setelah disiarkan ada tawaran, tetapi saya tidak mahu kerana takut berulang kejadian lewa cetakan. Ini surat cinta yang sama, bagi menamatkan observasi terhadap dunia seni dan berterus terang bagaimana proses dunia POP. Namun, setiap helaiannya dipositifkan sebaik mungkin kerana saya banyak bertemu artis POP tempatan yang bijak dan tahu mengandar diri mereka... ini surat cinta pada geram tak lepas saya pada peluang peluang yang tidak jadi milik saya kerana saya bukan perempuan asli. Alhamdulillah surat cinta ini dibaca oleh ramai di wattpad.com


AUSTRALIA (belum terbit)


Umum: Travelog fiktif. Mewakili perempuan dan permasalahan mereka. Mengembara sambil otak ligat berfikir.


Surat cinta yang disertakan dengan harapan tinggi. Untuk surat cinta ini saya akan bersabar (sedikit risau - kerana takut isu isunya tidak relevan jadinya jika lewat dicetak). Australia ditulis dengan penuh emosi. Kerana pulau ST Alba sesekali muncul di minda terkenang kisah di darjah 6 sewaktu pulang ke Malaysia ketika belajar geografi. Masuk usia 40 masih belum ada tanda tanda akan menjejaknya sedangkan cerita tentang Australia, Nicole Kidman dan Kylie MInogue sudah lama menghiasi hidup. Merakam perkahwinan sejenis teman baik. 1 bulan lebih saya berada di Sydney untuk menghirup segalanya demi novel Australia. Surat cinta ini saya doakan saban hari terlaksana bulat. (Setelah GTLF2018 yang dihadiri tanpa novel baharu (manusia) secara fizikal - masalah editan dan waktu).


PENYANYI KOTAI - (Cerpen cukaria)


Rakaman peribadi untuk bernostalgia tentang pentas kotai atau getai hokkien. Ya, setahun saya mencari makan menyanyi dengan sistem bunyi hebat tersebut. Bertemu dengan ramai penyanyi cina di belakang pentas. Termasuk dua tiga penyanyi lagu cina bangsa India.. Ya, ramai sekali nyatanya.


SHAMSHUL QADRI - (Cerpen Cukaria)


Protes pada institusi moral yang memikirkan bahawa mereka itu orang kanan Tuhan.


LALUAN PENUH - (Cerpen DBP - Dewan Sastera).


Setelah menulis tentang Usman Awang edisi Julai 2017. (berpeluang melihat bagaimana editor DBP bekerja, ya saya senang sekali dengan caranya). Jadi saya fikir apa salahnya dihulurkan satu cerpen untuk Dewan Sastera.


Surat Cinta: Terlaksanalah sudah untuk siaran cerpen di DS. Sekali seumur hidup saya sudah bahagia sebenarnya. Laluan Penuh tidak membenarkan saya bersifat narsis. Kisahnya saya bulatkan pada inti rasa seorang perempuan yang semangatnya tidak mati membahagiakan keluarga, tertakluk pada nasib dan percayalah saya tidak sekuat itu (dalam hidup saya sudah menemukan lebih dari 10 ibu ibu kuat seperti watak utama di dalamnya). Ini adalah dedikasi 100 peratus pada perempuan perempuan yang tabah dan reda.


CURHATAN: (Chik Hasnah Penglipurlara)


Umum - agar dibaca oleh semua lapisan masyarakat


Surat Cinta - pada segala permasalahan yang pernah didengari dan dilalui. Dimanipulasikan agar menjadi subtle dan tidak terjojol sangat... surat cinta untuk memastikan racik rasa peribadi dan kenalan sedia ada... manis, masam, pahit, lucu atau sinis. Ini adalah demi perakuan bahawa saya suka bercerita dan sekaligus mampu beranimasi.


------------------------------------------------------


Lebih kurang begitulah caranya. Niat niat tersebut kemudiannya digabung dengan keupayaan berbahasa (saya masih dalam cakup terus terang - dan ketika menulis cuba masuk dalam kasut watak rekaan tidak kira samada beliau murni atau tidak bermoral. Kembali pula pada niat menulis sebenar (mahu memberi pencerahan, berkongsi rasa dan menghiburkan pembaca sambil meminta mereka berfikir). Jika karya diterima oleh penerbit saya bersyukur, disukai pembaca saya tersenyum.


Kerja menulis masih tidak mampu dilakukan secara tetap, kerana pulangannya agak pilu dan setelah faham galur cerita dunia penulisan saya tidak berminat pula mahu menganalisa sebab musababnya. Paling penting niat niat tersebut dilancarkan oleh Pencipta yang mengurniakan ilham.


INI TERAPI YANG DAMAI.


Comment