OCTOBERFEST





OKTOBERFEST


Festival musim luruh di Munich, Germany, lewat September dan awal Oktober, semata mata menikmati bir. Oktoberfest (sebutan german: [ɔkˈtoːbɐˌfɛst]) adalah perayaan dunia terbesar digelar Volksfest (beer festival and travelling funfair). Merupakan sebahagian dari budaya Bavarian sejak tahun 1810.


Sejarahnya bermula pada 12 Oktober 1810 ketika meraikan perkahwinan Putera Makhota Ludwig, yang kemudiannya ditabalkan jadi Raja Ludwig 1. Pernikahannya denga Puteri Therese Von Sachsen – Hildburgahausen diraikan di jajahan Bavaria, lokasinya menjadi tumpuan pelancong di mana mereka belajar tentang Bavaria dan orang orangnya.


Pesta minum ini selaras masa bertukar menjadi pesta di mana jenama jenama baharu bir dan uar uaran penemuan proses meragi minuman yang pelbagai. Di Asia juga sudah lama disambut sebenarnya di mana bir ditawarkan dengan harga yang murah disamping memperkenalkan jenama bir baharu. Sudah tentu peminat minuman keras terutamanya minuman beragi ternanti nanti untuk minum minum dan menikmati pelbagai hiburan yang disediakan.


Ini bukan budaya kita, tetapi sebagai menghormati kehidupan yang bervariasi lesen setempat dikeluarkan oleh penguasa tempatan. Negara masih menikmati kutipan cukai dari pengeluaran minuman keras. Sesekali melihat isu ini dipanaskan kita jadi ralat, bimbang ia akan menjadi punca perbalahan sesama rakyat. Akan muncul hal hal yang berbentuk rasis, kepercayaan dan percubaan menyekat kebahagiaan orang lain. Penulis secara peribadi masih percaya minuman beralkohol adalah sesuatu yang tidak seharusnya dijadikan habit manusia kerana ia beriringan dengan pelbagai kejadian yang tidak sihat.


Penulis sewaktu menghiburkan di kelab tidak pernah menjamah bir kerana Teh Ais lebih nikmat. Jadi tidak ada unsur unsur paksaan. Jemputan Oktoberfest yang diraikan di Pulau Pinang kami ikuti untuk memberikan hiburan. Tidaklah senikmat mana menyanyi di hadapan penonton yang separa sedar, namun itu punca rezeki sebagai penghibur. Bir yang mengalir tetap tidak dijamah.


Hal yang sensitif ini boleh sahaja ditangani dengan baik. Tidak menghadirinya adalah langkah pertama yang sangat wajar. Terlalu keras mahu membentaras bagaikan mengasak sifat dominan tentang akidah dan kepercayaan yang mahu dihempok atas bahu mereka yang berpegangan lain. Orang mahu berpesta masakan dilarang? Cukup untuk kamu ketahui bahawa pesta sebegini tidaklah disenangi oleh beberapa kerat mereka yang non-muslim.


Setelah bingit berpolemik tentang fiesta tersebut, sudahkah kamu lihat bagaimana minuman keras menjadi diet orang lain? Jualannya tetap wujud di café café berkelas, hotel dan rangkaian runcit yang lain. Kalau dahulu kala dijual di kedai runcit di kampung, di kawasan pendalaman, apatah lagi di daerah di Malaysia Timur di mana minuman keras menjadi budaya mereka. Kesimpulannya kalau mereka berhenti minum minuman keras adakah kamu akan mendapat upahnya? Graf bahagia kamu akan meningkat? Lebih baiklah dijaga lingkungan terdekat kamu agar semuanya waras, bijaksana dan tidak memberi gangguan selagi tiada gangguan dari mereka yang mahu berfiesta.


Pernah kamu jelajahi rumah dan istana orang kaya Muslim yang mempunyai bar sendiri dengan alasan – menghiburkan tetamu? Tidak pernah bukan?


Mereka yang minum minuman keras akan tetap mempunyai alasan tersendiri dan siapa kamu yang mahu menghentikannya? Sedangkan keraian minuman keras ada di Palestine, Bosnia dan Turki.


Atas dasar itu aku, kamu dan teman teman yang baik akan duduk dalam suasana damai, minum jus buah buahan, teh tarik dan kopi ais yang lazat. Itu fiesta kita yang sangat menghiburkan bukan? Kita berdamai sambil mencicip rasa minuman dan bergelak ketawa pada dunia yang lucu ini.


Simpanlah opini kamu yang agak keras itu. Sama seperti orang lain mereka mahu berpesta dengan penuh kebebasan. Ya, silakan...

Comment