KITA SUDAH JADI MEDIA





KITA SUDAH MENJADI MEDIA


Satu fenomena yang tidak pernah berlaku berlaku puluhan tahun dahulu. Media cetak fizikal dalam bentuk lapuran harian, mingguan atau bulanan beransur ansur pergi akibat tidak mampu bersaing atau langganan berkurangan. Menyusul kini situs dan portal berita serta lapuran yang pantas, menarik dan mudah. Di hujung jari segalanya mampu terjadi. Bayangkan Televisyen juga sudah jarang ditonton saat ini.


Perihal asas media tetap kekal. Asas bagaimana? Sajian yang tepat, dibaca, sumber berita/kisah, gambar, tujuan dan terkini media bervideo. Fungsinya masih sama, untuk melapurkan agar sampai pada golongan sasaran. Segala ini ditangani oleh syarikat syarikat media dengan baik dan berkesan, setelah melalui evolusi teknologi sebaran berita. Teknologi terkini membenarkan informasi jadi lebih cepat ,tepat dicapai dan adakalanya percuma. Kalau suatu ketika dulu, keluar TV dan muncul di akhbar atau sebarang media cetak adalah sesuatu yang dibanggakan, kini nikmatnya berkurangan dan mungkin tidak lagi ada sebarang debaran setelah bertahun menikmatinya.


Teknologi sudah membenarkan kita jadi media peribadi. Kalau dahulu kita bergantung pada wartawan atau pelapur yang dianggap profesional, kini sesiapa sahaja boleh berkongsi cerita kiranya mempunyai bahan yang dirasakan menarik. Begitu juga dengan kita para pelayar media sosial. 


Nah! Di sinilah bermulanya garis halus antara kebebasan berkongsi apa sahaja berita tidak kira dari sumber asal atau pautan yang dirasakan patut disalin lekat. Kita jadi semakin seronok.


Bukanlah tugas sesiapa untuk berceramah tentang bagaimana atau seharusnya media peribadi itu ditangani. Kalau dilakukan sekalipun ia tidak akan jadi tepat berdasarkan sifat manusia yang berlapis lapis dan tidak mungkin mampu dipuaskan. Kalau silap haribulan kamu mungkin akan dikecam sebaliknya. Kamu siapa? Ceh! Ada hati mahu menahan kebebasan orang...ikut suka akulah!


Fokus di sini adalah kita, sebagai individu yang sudah mendapat kebebasan bersuara untuk sebarang topik yang dirasakan dekat di hati. Mempamirkan segala resah hati, kegusaran, puji pujian, mengiklan atau apa sahaja. Mungkin tentang hal hal yang kita setuju atau mungkin menidakkan demi menyanggah tularan yang dirasakan tidak betul. Sekali lagi diingatkan bukan tugas siapa siapa untuk memberi panduan, beri ingat atau nasihat. Segala terpulang pada nafsu dan kewarasan kita sebagai pelayar yang sudah bermedia.


Media peribadi di hujung jari memanglah sedap, sedapnya mempamirkan kehebatan diri, pencapaian dibanggakan, kasih sayang, laungan nafsu peribadi dan apa sahaja termasuk video video aib (asalkan bukan kita – kita yang bagus bagus sahaja bukan?) namun bersedialah untuk sebarang impak. Impak apa? Apa sahaja tindakbalas dari pembaca/penikmat sasaran kamu. Kamu sudah mempunyai penonton/pengikut/peminat saat ini sebaik sahaja melampirkan sebarang paparan di medsos. Apa sudah jelas? Lebih memahami pada rentetan drama drama hidup yang berterusan di layar telefon bimbit, komputer riba dan gadjet moden yang sudah kamu gunakan. Ya, kita berdrama, berpolitik, beragama, mendukung dan apa sahaja lewat medsos.


Masing masing sudah bermedia peribadi untuk melepaskan segala jenis rasa. Tidak perlu gusar kerana tidak ada sebarang editor terbabit untuk memastikan ia paparan yang elok, tepat, tidak sensitif atau boleh menimbulkan rusuh rengsa pada orang lain. Semakin ghairah jadinya kita para manusia. Mestilah! Antara kemahuan kita yang asas adalah untuk didengari, difahami, dihormati dan mereka harus tahu siapa diri kita, tak gitu?


Melalui media peribadi ini juga kita akan terus dihidangkan dengan hal yang macam macam. Sesekali kita meluahkan rasa tidak senang sesama, memilih untuk tahu sahaja, menidakkan terus atau apa sahaja, termasuk melakukan serangan secara lisan peribadi kalau dirasakan ianya fitnah, ugutan mahkamah, mencemarkan nama baik atau sengaja bertujuan tidak elok. Ingat, itu adalah kisah antara manusia dan manusia yang masing masing bermedia peribadi.


Bukan kita tidak tahu, segala paparan sudah memberi gambaran tentang siapa kita yang sebenar. Sesekali dihidangkan aktiviti peribadi dan perkumpulan. Setelah bosan menjadi jauh lebih eksterim dan paling sedih apabila secara ilusi mula merasakan diri adalah figura publik atau artis artis pop. Tidak ada panduan untuk kawalan di sini, namun beruntunglah sekiranya kamu mampu menggunakan saluran media peribadi ini untuk hal hal yang diconggak sebagai beruntung untuk kempen kempen sihat, menjana jualan, memperkenalkan inovasi baharu, perkongsian ilmu hidup, mendukung hal yang dipercayai dan pokoknya apa sahaja yang ditafsirkan sebagai sihat manusiawi yang dilakukan secara berpada pada mengambil kira banyak faktor manusia.


Kita sama sama tahu bahawa manusia didasari oleh kemahuan/keinginan/keperluan yang tidak akan pernah dipuaskan.


Kamu kini sudah mampu menjadi pusat media peribadi, jadi bagaimana?


Comment