BILA TIDAK CANTIK


BILA TIDAK CANTIK


Kata ramai orang cantik, pembuka jalan. Siapa yang melihat pasti tertawan, tawaran mencurah datang termasuk yang bukan bukan. Bertuah? Sumpahan? Gunakan sebaiknya? Nah, atas dasar itu setiap perempuan teringin mahu jadi cantik dan segala hal hal komersil dan manusia lingkarannya dimanipulasikan sebaik mungkin bertolak dari satu kata: CANTIK


Antara kata pujian terbaik adalah dengan mengatakan ia cantik. Tersipu sipu bila dipuji cantik. Barang, rumah, karya, gubahan dan sudah tentu orang bagaikan ternanti nanti untuk dikatakan cantik. Konstruk cantik sudah kita bicarakan sebelum ini, di dalamnya ada keterlibatan acuan budaya, sejarah, penjajah, taraf, genetic, status dan pelbagai elemen lagi. Terkial kiallah mereka yang tidak cantik akan kata kata penyedap demi meneruskan kehidupan.


Berbalas madah merakam hati


Biar berdetik dikasih disayang


Puas sudah menanam budi


Wajah nan cantik dipilih orang


Pernahkah kamu terlepas peluang hanya kerana tidak cantik? Ramai yang pernah tentunya. Peluang berkasih, berkawan dan bekerja. Berhentilah bertanya soalan kenapa dan mengapa. Tumpukan pada proses yang lain sambil mendapat jawapan kenapa manusia perempuan yang sanggup berhempas pulas menambah nilai untuk ditakrifkan sebagai cantik. Kamu pernah bertemu mereka yang sudah cantik tetapi tidak puas bukan?


Cerewet berdiet mahu kurus, mencerahkan kulit, sanggup melalui pembedahan major atau minor tanpa peduli lagi pada hal berbahaya yang ikut serentak dengan makna cantik yang digambarkan di kepala. Segala ini bermula angkara orang sekeliling yang menilai bagaikan juri tentang makna cantik, walaupun sang juri bermulut jalang itu sendiri tidaklah secantik mana. Kata kata menghina pilihan mereka pula bukan main lagi. Maklumlah orang yang tidak cantik sebaiknya tidak perlu terhegeh hegeh ke depan, tidak perlu dikasihi, menjadi pilihan terakhir atau tidak dipilih langsung.


"Sayanglah dia... kelulusan semua lengkap, badan gemok, pendek dan mukanya kemek,"


"Allahu... nama sedap, rupa paras menggerunkan"


Piawaian tidak cantik sebaiknya tidak usah kita bicarakan, kerana ia mampu membikin perempuan hilang semangat, jadi lembah, takut manu berfungsi dan jati diri jatuh di telapak kaki. Kalau tidak cantik apa yang boleh kita lakukan? Apakah kita masih mahu berada di sudut kamar dan menangisinya siang dan malam? Menangisi nasib, marah pada Tuhan? Ya, menangis kerana tidak dapat menyertai mereka yang cantik gebu, halus mulus dan jelita meskipun memakai kain guni?


Ada banyak usaha yang boleh dilakukan sebagai langkah awal.


1. Sedarkan diri bahawa kita tidak cantik. Telan hakikat ini.


2. Pupuk semangat mahu maju dalam pelbagai segi selagi tidak cacat tubuh badan


3. Jangan membiarkan rasa rendah diri menelan kamu hidup hidup.


4. Kekaguman pada orang lain yang cantik harus berpada pada


5. Hati budi dan sahsiah dipertajamkan


6. Banyak tersenyum. Senyuman manis adalah percuma dan pembuka rezeki.


Cantik merangkumi hal yang menyeluruh. Sila ambil perhatian. Di zaman serba moden ini cantik adalah rangkuman rupa paras, tubuh badan, bijaksana dan budi bahasa. Ini bukan kata penyedap lagi untuk kamu, peserta pertandingan ratu dan saya yang tidak masuk kategori cantik langsung. Gabungan ini adalah kebenaran yang hakiki. Jangan ralat bila perasan bahawa semua manusia memilih yang terbaik, bagaikan di supermarket memilih buah buahan. Kita juga punya naluri memilih bukan?


Tumpuan kini hanya kamu dan perkembangan positif diri sahaja.


Jadi berhenti mengeluh tentang parasmu yang kemek, kulit hitam, tubuh gemok atau hidung yang pesek. Semua boleh diatasi dengan ilmu dan usaha yang seharusnya jadi kemahuan BUKAN untuk cantik jelita tetapi menjadi hal utama sejahtera diri.


Pernah mendengar rugutan seperti di bawah?


a. Cantik tapi bodoh, sombong, jengkel, murahan, bohsia dll


b. Cantik tapi bila muka mulut potong stim (bahasa, bau mulut dll)


c. Cantik tapi dia tidak siuman


d. Cantik tapi buatan semuanya.


Jelasnya masih ada manusia yang waras dalam dunia ini paling tidak untuk kamu berhubungan. Manusia yang tahu bahawa tidak ada kesempurnaan yang lengkap menjadi milik si fana. Banyak kelemahan boleh dibaiki:


1. Bersenam untuk tubuh badan langsing, sihat dan cergas


2. Menukar pola fikir tentang kehidupan (sosial, cinta dan rasa ralat)


3. Komunikasi, yakni memilih tona bicara, isi kata kata dan bersopan


4. Teknik berhias dari hujung rambut hingga ke kaki. Solekan, busana dan lain lain


5. Tidak pahit, menyalahkan genetik ibubapa, benci pada tubuh badan dan murung hanya kerana tidak cantik seperti (isikan nama nama si cantik yang kamu kagum)


6. Tidak juga terlalu berlebihan keyakinan (over confident).


7. Rendah diri dan hati yang keterlaluan jangan sekali menyerang diri.


Kamu pasti pernah mendengar akan pujian terhadap mereka yang berparas biasa biasa tetapi cantik apabila berpeluang untuk berhubungan. Senyuman manis, budi bahasa, tona suara dan sikap yang menyenangkan. Paling tidak jatuh dalam kategori tersebut akan membahagiakan.


Harus yakin bahawa kecantikan sebenar berada di mata sang pelihat. Akan ada orang yang mungkin melihat kamu sebagai cantik. Segala rasa ragu ragu gerak sebagai perempuan kalau sudah bersedia dengan segala ilmu menjadi manusia akan luruh dengan sendirinya. Kamu ringan bergerak menyertai ramai, bersuara penuh yakin, tahu menepis mulut mulut yang cuba menjadikan kamu sebagai bahan jenaka fizikal mereka.


Jatuh terpelosok, berhempas pulas secara berbahaya hendaknya tidak menjadi pilihan kamu. Ubat ubatan bahaya, pembedahan yang mungkin boleh memburukkan lagi keadaan dan helah perdaya orang yang boleh menjadikan kamu terlupa diri hanya kerana tidak cantik (mereka ramai termasuk peniaga kecantikan yang tahu kelemahan kamu). Kiraan terhadap budi manusia akan terus kekal seperti biasa, ada manusia yang baik, jahat, penipu, pendusta, jengkel dan yang mulia berhati perut.


Berhenti berfikir bahawa semua jelitawan memiliki tahap kebahagiaan yang lengkap setelah berparas cantik.


Comment