KAKI WAYANG

KAKI WAYANG


Sewaktu dicabar oleh teman untuk menyenaraikan satu filem satu hari selama 10 hari, saya mengambil jalan pintas untuk meletakkan 5 filem setiap hari dibahagikan pada 3 kategori:


A. Filem filem luar selain dari Amerika


B. Filem filem horror dari luar juga bukan dari Amerika


C. Filem filem Malaysia mengikut dekad (kiraan 10 tahun satu)


Bersembang tentang filem tidak akan ada habisnya samada di luar atau medsos. Sebagai anak muda di zaman 70an membawa ke tahun 90an beratus filem sudah ditonton. Sejak tiket kelas 3 itu harganya 40 sen di Bukit Mertajam dan cheap matinee senilai 20 sen.


Sesekali dihantui rasa bersalah kerana sudah jemu dengan filem filem hitam putih dan nostalgia pentaksub, karya yang diulang tayang di TV Malaysia. Alih alih itu saja alasan pihak penyiaran bahawa filem asal tidak ditukarkan kepada format digital.


Usia dan kematangan citarasa membuatkan filem filem lama dijadikan bahan ketawa atau hanya untuk melihat lanskap bandar bandar lama di Singapura, Kuala Lumpur, Penang atau props filem yang diguna pakai... selalunya untuk ketawalah. Namun jangan ditolak tepi filem hitam putih arahan pengarah dari India seperti: B. S. Rajhans, S. Ramanathan, L. Krishnan, KRS Shastry, Phani Majmudar, Kidar Sharma, Dhiresh Ghosh, K. M. Basker dan B.N. Rao yang banyak berjasa untuk dunia perfileman Melayu.


Di usia 9 tahun sudah mula pandai menyusup masuk panggung wayang... filem filem dari Taiwan, Hong Kong, India dan Gred B Amerika menjadi pilihan. Hati jadi teruja bila sesekali ada filem berbahasa Melayu dan Indonesia.


Anak anak sering bertanya bila disebutkan kisah zaman gelap filem filem Malaysia... mereka fikir terma GELAP itu satu penghinaan. Bukan, bukan dan jangan salah anggap. Itu adalah proses... Kembalinya P.Ramlee ke Malaysia, Naz Achnaz, Omar Rojik dan beberapa pengarah lain giat memicu industri perfileman tanahair yang tidak berhaluan ketika itu dengan jalan cerita sezaman, cuma ia tidak menarik. Jalan Ampas Singapura melahirkan filem terakhir Raja Bersiong arahan Jamil Sulung pada tahun 1968 setelah studio ditutup pada tahun 1967.


Filem tempatan tidak mendapat sambutan kerana persaingan dari filem filem luar berWARNA masuk di tahun 70an membawa tema tema berselit seks atau paling tidak babak kamar tidur serta tema pertarungan. Filem filem adaptasi dari naskah luar juga banyak, cuma masyarakat tidak mengerti ketika itu... Marah jika dikatakan filem pilihan mereka karya adaptasi. (Kecohlah juga pada tahun 2018 bila ada filem mengadaptasi naskah Missing Wife)


Filem Amerika jangan cakaplah... blockbuster jika dahulu harus tunggu 1 - 3 bulan untuk ditayangkan di pawagam ibu kota kini dilancarkan seluruh dunia. Bertambah heboh dengan bantuan media dan rangka promosi setempat. Fikirkan Jaws, StarWars, Raiders of the lost ark dan Back to the future...


Deman VHS 80an melanda Malaysia dan pengusaha panggung wayang mula merungut. Golongan pertengahan mula membeli set VHS dan mereka yang mampu membayar secara ansuran pemain pita. Bayangkan hebohnya filem filem porno atau paling tidak filem X-rated... sehingga muncul pawagan pawagam mini di serata daerah sehinggalah adanya Laser Disc memberi saingan pada pawagam tradisional saat itu (peranti mahal yang paling tidak lama bertahan). Sekitar tahun 90an Malaysia disapa pula oleh demam VCD membawa ke DVD. Ini saat paling penting pada peminat filem yang mula terdedah pada filem filem luar yang RARE dan mencabar minda memikirkan tentang citarasa, perbandingan dan jalan cerita (Termasuk kelekaan badan penapis filem Malaysia yang ketat tak tentu hala itu).


Cineplex muncul dalam suasana yang lebih kondusif, aman dan nyaman. Generasi penonton yang beralih masih ada... sementara yang berusia mengaku malas mahu ke panggung - hanya mau tonton di rumah.


Hari ini Kill Bill arahan Quentin Trantino keluar di Amerika, esok sudah boleh ditonton dengan pembelian VCD (2 keping) palsu... aduh! Syurga sungguh. Sesekali mecari VCD dan DVD filem filem Eropah dan China di Ropewalk adalah nikmat!!!! Beratus ratus filem aneh dengan tema luar biasa ditonton. Pemilihannya sekadar membaca sinopsis, melihat bintang utama atau melihat paparan kalungan logo bintang yang berjujuk (nominee for Sundance, best foreing film, National Award atau apa sahaja hiasan)


Begitulah seadanya sehingga masuk zaman Astro by demand, YouTube atau layaran portal portal berbayar atau muatnaik curi di Medsos.


Berbicara tentang filem 3 hari 3 malam masih belum tentu tamat, itu belum lagi ghairah mami mamu pada filem filem Hindi... dan filem filem animasi tempatan yang semakin hebat.


Filem tempatan? Allahuakbar, takut sebenarnya mahu berkata banyak... takut dituduh sebagai tidak pandai menghargai atau lupa daratan. Ditambah pula sifat zaman medsos yang kuat merajuk ini... (jangan silap - jejak digital dicari oleh pembikin) Ya, memang ada dua tiga yang menarik dihidangan dalam setiap tahun. Sayangnya cerekarama yang disiarkan TV jauh lebih menarik temanya. Serba salah mahu memuji secara terlalu pada Almarhum Yasmin Ahmad (nanti dituduh bias).


SENARAI PILIHAN PERIBADI FILEM TEMPATAN (TAHUN 2000 ke atas) DITONTON DAN MERASA PUAS:


Adiwiraku - kisah dunia pendidikan di Kedah Selatan


The Journey - Kisah perhubungan anak beranak


Kaki Bakar - adaptasi the burning barn


KL Menjerit - ada sesuatu yang baharu di situ


7 Perhentian - jalan cerita menarik


Gubra - Yasmin dalam elemennya


Stem - menghiburkan


Anak Halal - kisah kota yang menyesakkan


Kami The Movie - filem POP yang boleh tahan


Gol Gincu 1 dan 2 - menarik saat ketandusan cerita


Istambul Aku Datang - ringan dan comel.


One Two Jaga - keberanian filem di saat negara sedang bilau


Songlap - arahan pengarah wanita yang mampan


Daulat - tayangan saat PKP di Viu


Misteri Delaila - menarik sebenarnya JIKA diakui ia karya adaptasi.


Mencari Rahmat - adaptasi mantap the importance of being earnest


---------------------------------------


Ada bukan tidak ada filem filem bagus terbitan dan arahan Malaysia, termasuk arahan secara digital pengarah seperti James Lee dengan trilogy 3 doors of horror...


Selain dari kisah kisah sensasi para pelakon dan adaptasi novel cinta (tak pernah tengok pun, jika ada ditonton skip skip cepat) ada yang mendapat sambutan box-office secara tempatan. Jadi, HARAPAN nampaknya masih ada... dan kita masih ternanti nanti buah tangan dari para pengarah filem yang terarah dan punya falsafah tentang kraf mereka...


Menonton adalah riadah nyaman manusia, ada yang mudah terhibur, kritis, mencari kesalahan tataan dan macam macam... saya fikir semua kegiatan gila wayang saat muda sebagai gantian terhadap diri yang kurang membaca.


Jangan lupa digoogle wawancara Z.Lokman di Youtube... dia epitom gigih dalam dunia wayang Malaysia.


Comment