KEGILAAN YANG HADIR LEWAT MEDSOS

KEGILAAN YANG HADIR LEWAT MEDSOS.


Medsos – media sosial bagaikan gerai aneka, menawarkan kepelbagaian emosi manusia.


"Bak fb... nak add," pinta kenalan yang ditemui dalam keramaian.


"Mana ada... mama takda akaun fb, nak pakai komputerpun terkial kial," alasan tua yang sering diberikan, tergantung pada suasana selesa atau tidak.


Medsos sama seperti wadah lain, membawa bersama hal hal pro dan kontra manusiawi.


Tiap pelayar di awalnya pasti sudah pernah melalui pelbagai kisah mencuit hati sehingga bertemu papan pengimbang. Seperti yang dikatakan, ada pelayar yang tiba tiba hilang dari radar, ada yang akhirnya diam dan ada juga yang masih aktif penuh ampuh hingga saat ini. Alasannya pelbagai: Bosan ahhh! Fon kena virus! Malas buka akaun baharu... kerja tidak jalan kerana medsos menelan waktu dan macam macam lagi alasan skema.


Facebook awalnya diperkenalkan sebagai media interaksi sosial FaceMash sekitar Februari 2004, hasil penemuan Mark Zukernberg dan teman sekamarnya dan pelajar Universiti Harvard, Eduardo Saverin. Populariti Mukabuku kekal hingga saat artikel ini ditulis, malah aplikasinya semakin ditingkatkan sistem kegunaan.


Selain dari menjadi buletin yang cekap untuk perkongsian aktiviti sosial, perniagaan, perkenalan dan curahan rasa, sudah dilihat pelbagai sifat manusia yang dibawa serta. Sifat yang bagaimana? Oh! manusia sudah dikhabarkan macam macam, inikan pula bila komputer kecil sudah berada di tangan, diketik lantas mendapat tindak balas dari kenalan kenalan yang sudah bersiap sedia dalam senarai. Jadi ia wadah yang pantas meledak pastinya. Pelayar dari waktu ke waktu belajar bagaimana untuk mendapatkan komentar, sensasi, tambahan LIKE atau provokasi selamat: saya hanya berkongsi!


Dinding saya milik saya, punya pasallah! Dari waktu ke waktu akan dipaparkan oleh entah pelayar mana.


Azalinya manusia perlu berhubung. Kalau dahulu perlu keluar besosial, kini tidak lagi. Sambil berak mereka mampu berkomentar dan memuatnaikkan status di medsos. Samada diakui atau tidak terpulang kamu. Curhatan yang macam macam akan tetap ada, untuk apa dikongsi kisah biasa kalau ada kisah sensasi bukan? Tanpa susunan merit terhamburlah macam macam seperti di bawah.


1. Perkelahian sesama rakan taulan, ahli keluarga, kemarahan pada situasi harian dan rungutan berbau politik.


2. Narsis manusia, pameran dan tayangan apa sahaja yang dirasakan membahagiakan. Selalunya yang mewah mewah bagi mereka yang CIWI. Seterusnya diikuti oleh pertikaian pemilik dinding, ia biasa dan sudah menjadi adat.


3. Perkongsian terhadap apa sahaja kisah kisah sensasi. Tidak kira pautan dari portal sensasi murahan atau apa sahaja. Ada kalanya pautan asli yang bak panas dari oven, sudah tentu kisah orang lain dan bukan kita. Selalunya kisah sang selebriti. Artis, sosialita, pendakwah atau sesiapa sahaja asalkan bukan kisah peribadi.


4. Perdebatan tentang agama, bangsa dan budaya hidup. Beriya tiap seorang dari kita mahu didengari. Disusuli dengan tulisan pendek tentang pergaduhan tersebut, maklumlah sudah terasa diri artis medsos.


5. Provokasi apa sahaja dalam bentuk tulisan pendek, rencana atau video. Ada yang dilakukan terang terangan kurang sopan, ada yang bijak menyatakan bahawa itu hanyalah perkongsian, jadi panduan atau untuk panduan diri sendiri... ulah manusia biasa?


Setiap satu adalah gambaran tentang sahsiah sang pelayar sebenarnya. Kita masing masing ada gilanya. Itu adalah hakikat yang perlu diakui.


Melalui medsos ada menjalin hubungan/siratulrahmi yang baik, membina kerjaya yang lebih bermakna, mendapatkan nasihat dan mendapatkan peluang peluang tertentu. Tidak kurang juga yang bermasam muka membawa hingga keluar dunia medsos hanya kerana dirian terhadap sesuatu isu tidak selari dan barisan alasan yang mahu didebatkan. Ikut sekali bersama pemuatnaik sebenarnya adalah pernyataan tidak langsung tentang: rasis, pilih bulu, kafir mengkhafir, sopan atau tidak dan kematangan si pelayar.


Ada yang bagai dicabar daya intelek, merasa terhina dan tidak dilayan sebaiknya. Atas dasar itu terdapat mereka yang keluar masuk serta bertukar tukar identiti sebagai paparan mukabuku baharu. Anehnya mereka kembali mencari kolompok senarai pertemanan yang sama di mukabuku. Mungkin merindui sensasi tersebut? Merungut bila disekat oleh individu tertentu?


Bolehlah dikatakan bahawa mukabuku dan sesawang medsos lain seperti Instagram, Twitter dan lain lain mampu menimbulkan sejenis ketagihan pada pelayar. Akhbar dan bahan fizikal sudah diketepikan di saat ini.


Beratus kali sesama pelayar sudah dibilang pesan, layari medsos secara waras dan berpada. Butang butang kecemasan hadiah dari Mark Zukernberg juga sudah disedia maklum. Namun manusia hadir dengan sifat masing masing dan lambat laun harus ditangani oleh pelayar yang merasakan mereka tenang bagaimanapun.


Ghairah pelayar boleh dilihat dan dibaca dengan jujukan muatnaik yang bertalu talu, susunan kata, tanda bacaan dan macam macam petunjuk lain.


Apakah kegilaan yang sudah ditemui setakat ini?


1. Pengguna medsos yang secara semulajadi sensitif di tahap gaban.


2. Tukang scam dari dalam dan luar negara: Modus operandi mereka sama sahaja.


3. Pelayar gila seks. (mereka sangat kreatif dan ada yang jenis terbuka). Video lucah yang membawa sekali virus internet.


4. Jemputan jemputan ke dinding tidak senonoh (berbau seks bebas)


5. Pelayar sepi yang mencari cinta hingga menggangu kehidupan orang lain. Mengaku jatuh cinta dan mula membuat hantaran yang pelik pelik.


6. Pengidap OCD, bi-polar yang tidak stabil melalui hantaran hantaran mereka (namun ada yang bagus dan tahu bila mereka patut berhenti dan sanggup berkongsi pula info tentang derita tersebut)


7. Hantaran pergaduhan adik beradik yang memalukan. Termasuk tuntutan hutang dari kenalan yang ada dalam senarai fb dengan tujuan memalukan setelah buntu tidak mampu menagih hutang.


8. Kenalan lama yang masih berharap kita hidup seperti dahulu (asalnya dia dominan, tanpa sedar tiap manusia sudah dewasa dan matang) dia takut melihat kewarasan dan kedewasaan teman lama.


9. Hinaan dan pertikaian seksualiti (hingga kita anggap itu adalah lumrah). Termasuk salah faham pada isu isu yang terbit kerana hanya membaca umpan klik... anehnya diam bila diterangkan semula.


10. Pelayar yang mabuk dadah. Tidak waras apabila membuat hantaran. Penyamar yang mahu mengorek rahsia kehidupan orang.


Secara peribadi semua di atas sudah ditangani dengan molek. Sesekali digunakan butang BLOCK. Selalunya hanyalah UNFOLLOW. Oleh kerana had pertemanan di mukabuku hanya 5 ribu sesekali ada mereka yang sudah tidak berfungsi di DELETE. Secara peribadi, jika mereka sudah tersenarai, dibiarkan sahaja. Sebagai penulis yang mencari bahan, mereka boleh dijadikan sumber inspirasi tentang sikap manusia. Dibiarkan sahaja kerana paparan mampu dicalit ke atas dan jika menarik boleh dibaca selia.


Mukabuku masih digunakan untuk saling bertukar maklumat. Memberi sesi kaunseling pada anak anak muda yang berani berhubung dan bersifat ikhlas. Perkongsian selalunya melibatkan kejadian dan kisah manusia yang relevan sahaja dengan harapan di hujungnya mampu menjurus pada pemikiran yang baik demi pembangunan manusia. (antara sebab kenapa medsos seperti mukabuku masih saya gunakan)


Tarikan peribadi selalunya jatuh pada muatnaik jenaka dan satira masyarakat, manakala informasi baharu sangatlah dialu alukan. Sebagai pelayar yang pernah melalui fasa awal, segala hantaran kini lebih terkawal dan dipastikan matang. Tambahan teman teman sudah disaring awal awal lagi. Jika terlalu teruk (nampak sisi main main mereka) dengan mengetik dinding peribadi. (gambar kucing, wajah artis atau apa apa sahaja yang mencurigakan – kita tidak memerlukan hubungan sosial sebegitu – terpulang kamu)


Kita tidak mahu menganalisa kenapa dan mengapa ramai pelayar dilanda sakit mahukan PERHATIAN. Ia adalah perasaan semulajadi manusia yang tidak disedari atau sengaja diangkat jadi sifat diri dalam dunia medsos. Alter Ego jenis tersebut tidak harus dilayan atau dijadikan bahan dalam drama hidup. Cukuplah sekiranya kita berpesan pada diri dari waktu ke waktu tentang bahayanya medsos yang boleh melibatkan pecemaran maruah, tindakan mahkamah, lapuran polis dan gelang besi.


Pelayar pelayar ada ketikanya lebih berperanan sebagai BATU API dalam isu isu sensitif yang dipaparkan. Pemerhatian kamu harus lebih bijak kerana ia mencuit rasa lucu dan seronok setiap membaca komentar yang ikut serta. Jari jemari sendiri haruslah sensitif dan berperi manusia sebelum mengetik butang hantar. Pilihan tetap ada di tangan kamu. Menjadi SILENT READER juga tidak mengapa, tidak luak taraf kamu sebagai pemilik dinding mukabuku.


Kegilaan para pelayar berterusan. Pembisnes dengan teknik pemasaran yang bagaikan gila sawan, transgender yang dibadutkan atau membadutkan diri, si laeh yang selama ini tidak diberikan perhatian mula bernikmat dengan perkongsian tik tok, tutorial solekan yang berbahasa serta bertingkah aneh, video video balasan mengutuk sepatah dua, tularan kejadian yang sengaja dirakam (perkhidmatan buruk, aniaya, seram palsu, kemalangan yang aib, tangkap basah dan macam macam lagi pokoknya aib orang lain).


Kita sebagai pelayar boleh memilih untuk tidak menambah lemak pada sebarang isu yang kita rasa gila dan tidak masuk akal. Ukurannya masih dalam kadar tilikan peribadi, terpulang. Maklumlah kita masing masing tergoda pada dorongan nafsu yang berbeza, jangan tidak tahu ada orang yang kesepiannya diubati oleh medsos. Kamu sudah matang dan bukan lagi kanak kanak hingusan.


Bukan semua harus dipaparkan di medsos. Bukan juga semua hantaran itu harus selamat mengikut piawaian saya. Jangan juga hairan jika medsos pada sesetengah orang hanyalah hiburan, permainan dan tidak serius.


NOTA PERIBADI: Melalui medsos penulis menemui ramai kenalan yang baik dan menjadi sahabat hingga sekarang. Bolak balik berkongsi pelbagai tips dan selesa selama ini membantu ramai yang memerlukan khidmat nasihat tentang STI, HIV, peluang kerja, nasihat peribadi (cinta, nafsu, rumahtangga), mengedit karya penulis pemula dan kauseling seksualiti.


Beberapa kejadian buruk juga pernah dilalui, bertemu dengan manusia yang tidak ikhlas dan jahat sifat. Dihina secara terbuka di mukabuku hanya kerana salah faham, dihencap kerana tidak mampu membantu secara kewangan, cemburu dan dimarahi kerana berterus terang (memusnahkan alter ego mereka). Paling utama niat ditumpukan pada banyak hal baharu yang sudah diperolehi dari medsos (resepi baharu dan lama, tips jagaan rumah tangga, ubatan tradisional/moden, informasi lokasi, pesanan persediaan dan bermacam macam keuntungan lain).


Terus terang medsos hanya akan dibuka bila ada kelapangan. Ketagihannya dikawal. Sewaktu di meja makan dan bersosial, medsos dilupakan untuk seketika, ia jadi petunjuk pada tahap sopan (table manners) buat masakini.


"Amboi... sibuknya dia bermedia sosial...," kata lembut yang kita ucapkan pada teman semeja yang kelihatan taksub tertunduk mencalit calit telefon pintar.


You know who you are, and I sincerely appreciate it from the bottom of my heart. 


Comment