SENSITIF DAN DEFENSIF TIDAK BERTEMPAT


SENSITIF DAN DEFENSIF TIDAK BERTEMPAT

Sering kita serempak apabila membaca komentar di medsos. Tidak pernah salah sekiranya kita sensitif dan defensif, namanya juga manusia berjiwa.

Apa yang musykil adalah sifat kita itu bagaimana? Pilihan kata kata balas balik?

Harus ingat bahawa medsos menjadikan manusia berani, tidak seperti suasana lisan yang disaksikan oleh ratusan atau ribuan manusia. Kata orang, selain dari isi; manusia yang berkata kata harus dilihat dahulu. Siapakah dia? Apa kredibilitinya? Maki hamun dengan ungkapan tidak sedap boleh hadir dari sesiapa sahaja. Orang yang mental, pelepas geram dan manusia tidak matang.

Penyakit baharu di alaf teknoligi maklumat adalah pelayar pelayar yang mempunyai banyak waktu terlebih. Secara perlahan lahan dia akan mula jatuh nikmat pada respon yang diberikan. Nah, bergerak dari sinilah para pengiklan secara tidak rasmi menusup masuk untuk menjadikan segalanya lebih berkesan. Hati orang apa mereka peduli? Yang penting segalanya tular bila dikongsi paut hanya kerana komentar itu lucu, bodoh dan berbunyi tidak peka. Apakah kita yang terserempak di laman medsos akan ikut menyertainya?

Kita sudah melihat pada semua gerak mereka di medsos. Ada yang suka suka, terkinja bagai beruk kena belacan hanya kerana mahu dikenali. Hal hal khilaf yang berakhir dengan mohon maaf. Sematan di hati tetap satu, tidak akan mendukung apa apa perbuatan tersebut. Ramai juga yang bijak, menyediakan tukang dukung apabila terjadi sesuatu. Ini tidak termasuk para peminat artis artis lagi ya... mereka sangat defensif.

Mengenal pasti hal sensitif juga harus jadi kepekaan yang berterusan. Kerana itu adalah gambaran tentang diri manusia yang menghantar cuplikan salinan atau kenyataan baharu. Sesekali kita akan masih bertemu manusia Melayu yang menggunakan nama khas Sakai, Jakun, Batak, Keling, Paria apabila berekspresi, marah pula kalau ditegur. (Harapnya mereka belajar dalam diam). Hal rungutan tentang perayaan agama lain dan perdebatan terhadapnya akan sering terungkap, membuahkan lagi kehangatan medsos. Antaranya: paparan korban, perayaan asyura di Iran, sindiran politik dan macam macam lagi. Ingatan bahawa lain manusia lain budaya  seharusnya jadi pedoman. Menghina dalam apa cara sekalipun adalah hal yang tidak berwibawa dalam pembangunan manusia. Tidak perlulah diulangi lagi pilihan pilihan butang yang ditawarkan oleh medsos.

Apa yang jelas, medsos lama lama menjadi nadi kehidupan bagi sesetengah orang. Menganggu emosi, menuai kemarahan, sengaja berprovokasi, menyingkap aib, melepas geram pada apa sahaja dan pelbagai hal hal negative (selagi itu bukan kisah kita – pandai pula kita merasa kecewa, marah dan defensif). Bahaya kalau begitu.

Sama sahaja dengan kesopanan hidup secara lisan, sebarang kekeliruan boleh ditegur secara berhemah di dinding terbuka, penggunaan bahasa yang baik dan menghantar mesej di kotak pesanan. Itu serta berpanas panasan sama naik dengan manusia mental dan emosional di ruang terbuka sebenarnya adalah pameran pada sikap kita. Pekerti kita akan ditelaah oleh mereka yang membaca, ini adalah nikmat lain pula (kepochi dalam diam atau sang batu api).

Sama seperti kisah hidup di luar dari dunia medsos: Segalanya haruslah jelas, tepat, hadir dari sumber terdekat dan dipercayai. Ingat, terlalu ramai yang mahu menuai kenikmatan menjadi penular. Bayangkan tularan video yang dipaparkan hanya separuh jalan? Berita yang tidak habis dikupas? Kisah kisah yang tidak jelas dan sensitif yang memberikan gambaran tidak elok sedangkan.... Ahh! Kamu sudah menyaksikan semuanya setakat ini bukan?

Fikir, apakah mahu disemakkan dinding kamu dengan sifat terhegeh hegeh pengiklan/peniaga/pengasas tidak sensitif? Manusia yang akhirnya mengatakan dia kesal dan hanya suka suka? Jangan lupa kamu sebagai pelayar dan pemilik dinding medsos harus punya kredibiliti juga... cuba bayangkan sekiranya kamu itu sang narsis melendik lendik di katil? Berjenaka tanpa mengambil hentang pada perasaan orang lain? Bagaimana?

Habis tu... tiadalah berita sensasi kalau semua berhemat cermat?

Bukan begitu, segalanya terpulang pada kamu. Kalau mahu juga bersifat sedemikian haruslah berkulit tebal dan sanggup menjadi cercaan. Cercaan yang membawa bersama ongkos dan kebaikan diri... barangan habis terjual dan apa sahaja yang wow! Dikagumi dan dipuja. Tak gitu? Kalau setakat memalukan diri satu kampung, membuatkan sanak saudara menjauhi dan membawa aib pada komuniti apalah ertinya semua itu?

Lainlah kalau dalam kehidupan harian kita miskin perhatian.

Duduk dan fikir.  

Comment