TPOL: 3

Jam berdenting 12 kali menandakan waktu sudah jam 12 tengah hari. Sepatutnya warga pekerja di Pustaka Rembayu Jingga sudah boleh keluar untuk makan tengah hari, namun di satu sudut kanan ruang aras 4 pustaka yang sunyi itu ada sesosok tubuh wanita yang masih tekun menelaah naskah yang ditulis oleh penulis terkenal berasal dari Republik Suarsa dengan nama pena mataharisenja yang berjenre jenayah tersebut.

Sudah tiga per empat kandungan buku dibacanya. Naskah yang baru dikeluarkan dua bulan lalu itu akhirnya masuk ke senarai buku baharu di Pustaka Rembayu Jingga beberapa hari lepas, maka dengan itu, sebagai pegawai pemeriksa kualiti buku dan bahan bacaan di pustaka, Alisa menjalankan tugasnya dengan begitu cemerlang. Dia telah membawa satu troli mini berisi bahan bacaan ilmiah dan fiksyen bersamanya untuk diperiksa kualiti bahan tersebut dan kerja itulah yang dilakukannya sedari masuk kerja tadi. Tiga buah buku sudah habis dibacanya, kini dia berada dibuku yang keempat.

Dia bahagia bersama kerjanya, tidak sekali dia mengeluh sepanjang dua tahun bekerja. Haruman buku baru bercetak itu tidak pernah gagal meransang penghasilan hormon dopamin dalam badan.

"Alisa, belum habis membacakah? Sudah waktu makan, marilah bersama," ajak seorang rakan kerjanya, Jamilah untuk bersama-sama mendapatkan makan tengah hari.

"Tidak apa, saya disini saja dahulu. Ada bekalan makanan yang saya bawa dari rumah." sahut Alisa lembut. Dia ada bawa beberapa bungkus biskut berperisa dari rumah jadi dia tidak perlu membazir masa membeli makanan tengah hari, sebaliknya 1 jam 30 minit waktu rehat itu dia sambung membaca buku.

Masa terus berlalu, berlalu dan berlalu.

"Wahhh! Brutalnya cerita ini! Naik bulu roma aku! Mataharisenja tak pernah gagal buat cerita yang jenayah kejam seperti ini. Macam dia bergaul dengan penjenayah yang melakukan semua yang dia gambarkan dalam buku dia pun ada. Macam betul-betul terjadi dalam dunia nyata." Dia hanya membebel sendirian. Naskah yang dibacanya itu melibatkan pembunuhan bersiri yang sangat kejam, sukar untuk dia proses didalam benaknya.

"Haihh, okay! Aku nak sambung baca yang lain sampai habis, baru makan." Dia masih belum makan tetapi Alisa sanggup menangguhkan waktu makanya demi buku. Begitu dia cintakan perkataan, buku dan karya seni.

Satu jurnal ilmiah diambil dan dia terus buka untuk baca. Sesekali posisi duduknya diubah kerana berasa sengal di sendi-sendi pinggangnya, ada kala baju kemeja hijau jade dan skirt kembang khaki yang dipakainya dibetulkan, dan ada masa posisi duduk diubah sekali lagi. Baris demi baris, rangkap demi rangkap, habis sudah lagi satu jurnal dibaca.

Ditukar pula bukunya kepada buku keluaran publikasi lain dan diteruskan aktiviti membacanya hingga lewat masa bekerja. Lampu bacaan didepannya dibuka kerana cermin dihadapannya bertinted gelap, jadi tidak banyak cahaya senja menginjak malam yang menembusi.

Detik berlalu, jam menunjukkan waktu sudah menginjak 6:30 petang, perut Alisa mula berasa lapar. Dia juga sudah habis membaca dan menanda kod simpanan buku-buku yang dibacanya tadi. Dia kembali menyusun buku yang sudah membukit di meja sebelahnya kedalam troli mini yang berjasa pada dia dan kariernya selama ini. Alisa menolak troli itu kearah lif yang ada di bahagian kanannya. Tingkat paling bawah ditekan untuk menghantar semula semua buku tersebut kepada pegawai susun atur naskah untuk menjalankan tugas mereka pula.

Itulah rutin hidup Lily Alisa Rose selama dua tahun bekerja.

Selepas bergraduasi, Alisa memohon pelbagai jenis kerja yang berkaitan dengan ijazah yang dia miliki di pelbagai tempat. Dia pernah memohon dan menjadi Thesis Reader & Editor di Univeristi lamanya di Republik Restana, ada juga dia memohon untuk menjadi Script Reader dan banyak lagi.

Alisa telah menimba banyak pengalaman dalam bidang pekerjaannya yang berbeza-beza itu, dia juga telah merantau ke banyak tempat atas urusan kerja antaranya Republik Suarsa, Republik Amanjaya, Republik Tenggara dan Republik Sumatera. Ada yang dijejakinya atas urusan kerja, ada yang dia cuma melancong setelah mendapat bonus tahunan, dan ada yang dia pergi hanya kerana mahu membeli buku karyawan negara Republik tersebut.

Selepas setahun Alisa job hopping dan mengumpul pengalaman bekerja, dia akhirnya memohon dan mendapat tawaran bekerja sebagai Pegawai Pemeriksa Kualiti Buku dan Bahan Bacaan di Pustaka Rembayu Jingga, Republik Marjaya. Tempat idamannya!

Tempat yang dia kagumi sejak zaman universiti akhirnya menjadi tempat dia mencari rezeki. Di sini, bukan sahaja ramai karyawan, dia juga mendapat ketenangan kerana faktor geografi Republik Marjaya yang dikelilingi hutan hujan, berbukit bergunung, sungai yang boleh didengari alur airnya dari jalan raya, sungguh tenang. Mengingatkan semua tempat yang dia telah kunjungi, satu tempat yang sudah empat tahun tidak dia jejaki.

Republik Asia, tanah yang menempatkan rumah peninggalan bunda dan bapak. Tidak sanggup dia pulang tidak bersambut. Seredha manapun dia, dia tetap tidak kuat. Jadi biarlah dia merantau selama yang dia mahu, dia pasti akan pulang jua ke ke tempat asalnya, cuma bukan sekarang.

"Encik Mudin, ini saya dah tandakan naskah dengan kod tersendiri, nanti orang encik bolehlah susun, ya?" Santun Alisa kepada pegawai penyusunan buku itu.

Encik Mudin hanya mengangguk dan mengiyakan. Alisa membawa diri kearah bahagian belakang pustaka yang menempatkan ruangan loker peribadi pekerja. Masa kerjanya sudah hampir tamat. Jadi dia mengambil masa terluang untuk makan bekalan makanan yang dibawanya. Bukan dia curi tulang ya! Tugasnya sudah selesai, jadi ini mungkin tidak salah, mungkin...

Alisa duduk di bangku panjang yang tersedia di tengah ruang loker itu. Novel A Thousand Splendid Suns dibaca sambil menyuap biskut coklat jenama Marks & Spencer. Khusyuk membaca hingga tidak sedar biskutnya sudah habis. Dengan mata yang masih tertancap pada helaian muka surat novel, sebelah tangan membuka bungkusan biskut yang baru lalu menyuap lagi biskut kedalam mulut.

Tepat jam 7 malam, maka tamatlah waktu bekerja mereka. Suara-suara rakan sekerja sudah mula kedengaran menuju kearah bilik loker.

"Ha, Alisa. Disini kamu rupanya," Wawa menegur Alisa mesra. "Iya, saya disini lepas selesai kerja tadi. Makan biskut, kamu mahu?" Dia hulurkan bungkusan yang ada sisa dua keping biskut coklat didalamnya kepada Wawa.

"Tak apalah, saya makan di rumah nanti," lepas menolah pelawaan, Wawa meminta diri untuk pulang kerana suaminya sudah datang untuk menjemput dia.

"Alisa, mahu pergi dengan kami makan malam di kafe dekat pekan? Dengar kata kafe itu cantik," Jamilah bertanya dan mengajak Alisa menyertai kumpulan rakannya bersama. "Rasanya tidaklah, saya nak balik ke rumah terus." Alisa menolak dengan senyuman.

Selesai berborak satu dua perkara, Alisa terus meminta diri untuk pulang. Tak mahu terlalu lambat bimbang hari gelap. Alisa mengangkat blazer jenama Zara yang sama rona dengan skirtnya dari penyangkut baju dalam loker peribadi dan disarungkan ke tubuh genitnya. Beg tangan Prada hitam diambil lalu disangkut pada bahu. Alisa terus bergerak kearah pintu akses pekerja pustaka dan mengimbas retina matanya untuk punch out kerja hari ini.

Apartmen sewanya agak jauh dari pustaka, lebih kurang 10 minit menaiki bas awam tetapi Alisa lebih memilih untuk berjalan. Dapat dia menikmati pemandangan bumi Republik Marjaya ini. Lagipun hari tidak gelap di Republik Marjaya walaupun sudah jam 7 malam ditambah pula ramai juga orang lalu lalang. Tidak bahaya buat dia berjalan sendirian. Kenderaan awam seperti bas dan keretapi agak padat pada waktu pulang bekerja, dan itu membuatkan Alisa sangat tidak selesa. Lebih baiklah dia berjalan bersendirian.

Sepanjang jalan, ada satu perkara yang bermain di sudut terdalam fikiranya. Perkara ini sudah hadir sejak berbulan yang lalu.

Berhenti kerja, pulang ke kampung halamannya, dan mungkin kerja di sana. Tanah Republik Asia negeri kelahirannya bukanlah tanah yang tiada kemajuan, malah terdapat banyak tempat yang boleh dia jualkan sijil Anugerah Tertinggi Diraja yang dia genggam setelah bergraduasi, cumanya dia tidak kuat untuk berada di tempat yang telah juga mengambil nyawa ibu bapanya walaupun bumi itu jugalah yang menyimpan jutaan memori indah mereka.

Dia lari dari kenyataan?

Ya.

Memang pun. Dia redha, tetapi untuk kembali berpijak di tanah itu, dia perlukan masa yang dia tidak tahu lama mana.

Kaki berjalan tanpa henti. Kepala melilau kekiri, kekanan, keatas dan kebawah, menikmati setiap inci langkah dan pemandangan. Dalam fikiran masih lagi bingit dengan pelbagai hasutan.

Dapat dilihatnya bas merah kuning lambang Republik Marjaya membawa manusia pulang dari bekerja, ada anak muda menaiki basikal, ada yang jatuh dari skateboard diketawa oleh rakan, mereka senang menikmati dunia sendiri. Ada motorsikal tidak bertuan sedang berteduh dibawah pohon rendang. Dia sudah dekat dengan kawasan apartmennya.

Kaki terus melangkah, ada masa dibelok kekanan untuk sampai ke studio apartmen kediamannya. Benaknya masih khusyuk memikirkan hal itu. Perlukah dia kembali? Perlukah dia mencari peluang pekerjaan di Republik Asia. Perlukah dia tinggalkan Republik Marjaya?

Selama mana dia fikir, kini Alisa telah pun sampai di bangunan apartmennya. Kad akses ke bangunan blok H3 dikeluarkan dari poket kiri blazer dan diimbas pada mesin pengimbas. Alisa dibenarkan masuk ke dalam bangunan tersebut. Kad itu diimbas sekali lagi pada pengimbas yang ada di dalam lif dan kemudiannya dia dibawa ke tingkat 17 bangunan itu, tingkat teratas.

Alisa melangkah keluar dari lif sebaik sahaja sampai di tingkat rumahnya. Dia memandang kekiri, ada satu tingkap besar bergril yang menampakkan banjaran Marjaya-Sumatera, banjaran terpenting bagi penghuni negara-negara Republic Union.

Sungguh indah dan tidak pernah jemu menikmati pemandangan ini selama dua tahun. Rumahnya juga menghadap kearah bajaran tersebut. Ada hari dia disambut dengan hijau gelap pokok tualang di puncak banjaran, ada hari dengan putihnya awan baldu, dan ada hari gelap gelita berawan mengandung hujan. Itulah antara peramal cuaca terbaik bagi Alisa.

"Mungkin tidak lama lagi, kau hanya akan aku rindukan, hanya akan aku gambarkan pada kanvas bersih. Mungkin satu hari bukan lagi kau yang menyambut aku pulang dan menghantarkanku ke pejabat, wahai banjaran." Gumam Alisa, cukup didengari dirinya sahaja.

Mata masih lagi menghadap kearah tingkap itu. Alisa membuka blazer khakinya dan menyangkut blazer itu di lengan kiri. Tangan kanan menyeluk beg tangannya untuk mendapatkan kamera digital Sony G7X Mark III.

Memang kamera itu diheretnya kemana-mana. Dia gemar mengambil gambar dan video dimana sahaja dia berada. The art of noticing, bak kata orang putih.

Sekarang, dia mahukan sekeping dua gambar banjaran Marjaya-Sumatera itu. Dengan kabus nipis dan angin sepoi-sepoi bahasa itu sangatlah menenangkan. Dia tidak mahu terlepas pemandangan dan keindahan ini. Kameranya dibuka dan beberapa keping gambar dengan pelbagai tetapan ISO, Shutter, white balance dan lain-lain. Seterusya Alisa merakam video agar dia dapat mendengar bunyi angin dan sayup suara air sungai mengalir dari tingkat 17 ini.

Sedang Alisa menikmati pemandangan, tiba-tiba kedengaran tapak kaki yang agak jarang didengari. Bunyinya tegap, kuat dan bukan bunyi kasut tumit tinggi wanita. Bunyinya semacam bunyi berkawat tetapi sendirian. Alisa pelik dengan bunyi itu, risau kalau itu benda yang tidak boleh manusia lihat, tapi lebih takut kalau itu manusia.

Dengan tangan masih memegang kamera yang talinya tergantung di pergelangan tangan, Alisa turut menapak perlahan ke persimpangan yang membezakan blok H3 North wing dan South wing.

Sebelum Alisa tiba, ada satu tubuh tegap yang terlebih dahulu muncul dari North wing, berpakaian serba hitam dan kasut boot bertapak tebal dan yang lebih mengerikan, lelaki itu sedang mengelap tangan kirinya yang menampakkan sedikit kesan pudar berwarna merah.

Darah!

Itu benda pertama yang terlintas dalam fikiran Alisa. Waktu ini, kedua mereka telah bertentang pandangan cuma tidak bertentangan mata. Ini kerana lelaki itu memakai helmet menutupi seluruh muka, tidak sedikitpun yang kelihatan.

Tidak dinafikan, lelaki itu juga nampak tersentak melihat Alisa yang terbuka luas matanya bulatnya. Lelaki itu cuma beriak biasa dan berselisih betul di tepi bahu Alisa sambil menyimpan kain hitamnya di dalam poket seluar dan dia terus menekan butang lif kebawah menggunakan sikunya.

Alisa pegun. Bau hanyir dapat Alisa hidu ketika lelaki itu jalan disebelahnya.

'Wow, penjenayah berpengalaman.' Terdetik di sudut hati Alisa. Sebijik macam apa yang dia baca dalam karya Mataharisenja

Menurut penulisan yang dia baca, penjenayah akan mengelakkan diri dari meggunakan jari untuk menyentuh sesuatu benda untuk mengelakkan terdapat cap jari pada permukaan yang disentuh.

Samalah macam lelaki itu. Dia tidak membiarkan cap jarinya ada pada butang lif itu. Bijak benar melakukan jenayah!

Macam-macam persoalan timbul dalam kepala Alisa.

Apa lelaki itu buat? Kenapa tangannya berdarah?

Rasa takut pula apabila persoalannya dijawab dengan novel-novel dan filem jenayah yang biasa dia tonton.

Alisa tidak berani menunggu lama diluar, bimbang dia akan diserang oleh lelaki itu kerana secara lansung, dia telah menjadi saksi berkaitan sesuatu yang misteri. Segala senario buruk yang pernah dia baca dalam novel kini jadi bayang masa depannya.

Alisa mengatur langkah tanpa berpaling ke belakang. Langkah semakin laju, hari ini terasa jauh pula rumahnya dengan lif, sebelum ini dekat saja!

Dalam Alisa menapak laju, dia terdengar ada sahutan tapak kaki lain dibelakangnya. Tapak kasut lelaki tadi.

Sungguh aku takut Allah!

Langkah Alisa tidak lagi berjalan tetapi sudah hampir berlari. Derapan kaki itu juga semakin laju bunyinya. Alisa mempercepatkan lagi langkahnya. Beg tangan digenggam erat dan kamera di pergelangan tangan dibiarkan tergantung.

Sampai saja di hadapan gril rumahnya, dia membuka mangga yang mengunci gril apartmennya sambil berpaling kekiri, dapat dia lihat lelaki bertubuh sasa itu menuju kearahnya.

Lincah tangannya mencabut mangga dari gril dan masuk kedalam bahagian rumahnya. Dengan laju dia menutup dan mengunci kembali mangga pintu gril tersebut. Sebaik sahaja selesai kunci, lelaki tadi dengan tiba-tiba muncul betul dihadapan Alisa.

"Argh!"

Nyawaku harga mencintai kamu.
Published on Sept 7, 2023.
Edited on May 6, 2024..

Comment