11 | GADUH

"Dia, Sang Penguasa Alam."


***


Dia mendengus tidak berpuas hati. Kakinya melangkah menuju ke arah kelasnya. Ikutkan hati dia tidak mahu hadir ke sekolah selagi Kiran tidak sedar daripada koma tetapi apakan daya, Puan Sahara terlalu garang baginya. Khuatir pula dirinya dilibas dengan rotan nipis kepunyaan ibunya seperti sewaktu dia kecil dahulu. Au, kenangan yang menyakitkan.


Bukannya dia tidak sedar, sejak dia melangkah masuk ke dalam perkarangan sekolah, kebanyakan mata tertumpu ke arahnya dengan pandangan yang sinis. Ada juga yang kelihatan takut-takut dengan dirinya.


Dia menghempas keluhan berat. Dia tahu pasti berita tentang dia menghancurkan pekan itu telah tersebar luas di Magical Kingdom ini. Jadinya, selepas ini perlulah dia bersiap sedia menghadapi kejian daripada orang di sekelilingnya.


Sepanjang dia melalui jalan menuju ke kelasnya, tidak tenang dirinya apabila berpasang-pasang mata merenung mengikut setiap jejak langkahnya. Ei, creepy!


Saat muka pintu kelasnya menyapa ke pandangannya, dia menghembus nafas lega. Mujurlah sudah tiba. Bolehlah dia mengelak daripada pandangan sinis mereka itu buat seketika.


Sangkanya begitu namun ternyata saat dia menapak ke dalam kelas, suasana kelas yang bingit terus bertukar hening.


Jack hanya mengendahkan dan terus bergerak ke mejanya. Saat matanya melihat permukaan meja dan kerusinya, dia mengeluh panjang. Jelas kelihatan permukaan meja dan kerusinya itu penuh diconteng dengan kata-kata hinaan serta kejian.


Jack meraup rambutnya ke belakang sebelum memandang kesemua rakan sekelasnya silih berganti.


"Siapa?"


Hening. Tiada yang berani bersuara.


Akibat berasa bengang yang amat, tangannya pantas menghempuk meja di hadapannya itu dengan kuat sehingga mengejutkan kesemua mereka. Malahan, para pelajar yang berada berhampiran kelas itu turut menjengukkan kepala. Ingin tahu apakah yang berlaku.


"Aku malas nak cakap banyak sebenarnya. Satu je aku tanya. Siapa?"


Tangannya yang diletakkan di atas meja itu, dikepal erat membuatkan urat-urat kelihatan timbul di kulitnya.


Sejujurnya, Jack tidaklah marah sangat apabila diperlakukan sedemikian. Yang dia bengangkan sangat apabila matanya tertancap pada dua baris ayat yang tertulis di mejanya itu.


'Jack anak haram.'


'Kiran loser!'


Melampau.


"Lo... Louis. Pe, pelajar senior."


Mata Jack pantas menikam ke wajah salah seorang daripada rakan sekelasnya itu. Dia mengetap giginya.


Dia menganggukkan kepalanya sekali.


"Okay, terima kasih," ujarnya sebelum meletakkan beg sekolahnya ke atas meja.


Tanpa berkata apa lagi, dia pantas menapak keluar daripada kelas.


Rakan sekelasnya yang lain hanya memaparkan riak wajah cemas. Ke mana Jack pergi? Adakah remaja itu pergi ke kelas di mana Louis berada?


Yang paling tidak tentu arah ternyata ialah remaja yang memberitahu nama si pelaku itu sebentar tadi kepada Jack. Dia khuatir sekiranya Louis akan mencarinya selepas ini kerana membocorkan perbuatan lelaki itu kepada Jack.


Beberapa ketika kemudian, kelibat Jack mampir kembali. Di tangannya terdapat satu baldi air dan sehelai tuala. Dia masuk ke kelas dengan riak wajah kosong sahaja.


Mereka hanya melihat tingkah remaja itu sehinggalah selesai tugas Jack membersihkan segala contengan di meja dan kerusinya itu.


Dalam diam, kesemua mereka menghembus nafas lega. Mujur apa yang mereka fikirkan sebentar tadi tidak berlaku.


***


Langkah dibawa menghala ke arah kafeteria akademi itu. Sebarang pandangan sinis yang hinggap pada dirinya sekadar diabaikan. Yang dia tahu sekarang, dia mahu makan.


Memandangkan barisan untuk mengambil makanan itu masih panjang, terpaksalah Jack menunggu dengan lama di situ. Kadang kala dia menghempas keluhan berat sambil mengerling jam yang meliliti pergelangan tangannya.


Usai sahaja mengambil makanan, dia menapak mencari meja yang kosong. Agak sukar untuk mencari memandangkan waktu rehat pelajar digabungkan sekali bagi semua peringkat. Ini membuatkan suasana kafe itu menjadi agak sesak.


Sedang asyik Jack meliarkan pandangannya ke segenap arah, seseorang tiba-tiba sahaja menjulurkan kaki di jalannya.


Bukannya Jack tidak nampak tetapi dia sengaja berpura-pura tidak melihat perbuatan salah seorang daripada senior di akademi itu. Bukan apa, mungkin senior itu tidak sengaja. Kononnya.


Kaki itu dilangkahnya, bersahaja.


Saat sebelah lagi kaki Jack mahu melangkah, tiba-tiba sahaja senior itu mengangkat kakinya, berniat untuk menyelit kaki remaja itu supaya dirinya jatuh di khalayak ramai.


Namun, apa yang terjadi bukan seperti yang diharapkannya apabila Jack terlebih dahulu memijak kaki itu dengan riak wajah bersahaja.


"Aduh!" Suara lelaki itu yang mengaduh kuat itu menarik perhatian pelajar-pelajar yang berada berdekatan meja mereka. Malah, rakan-rakan remaja itu yang sedari tadi hanya melihat dan menyokong tingkah lelaki itu dalam diam, spontan bangkit dari duduk mereka.


"Woi, kau apahal?" Suara itu melengking kuat.


Jack memapar riak wajah toya. Kakinya masih berada di atas kaki senior itu. Sedikit pun dia tidak mengurangkan tekanan di kaki senior itu membuatkan senior itu meronta kesakitan.


"Apa?"


Rakan-rakan senior itu yang seramai empat orang itu menerpa ke arahnya. Kolar baju Jack pantas direntap membuatkan tubuh itu melonjak sedikit ke hadapan.


Sup yang berada di dalam mangkuk yang dipegang oleh Jack sedari tadi lagi, sedikit berkocak.


Riak wajah Jack bertukar risau. Sup, janganlah tumpah. Susah payah dirinya beratur membeli sup itu sebentar tadi.


"Kau memang nak cari gaduhkan?"


Kening Jack berkerut mendengar pertanyaan itu. Riak wajahnya bertukar innocent.


"Apa yang saya buat."


Senior-senior itu mendengus kasar. Tanpa memberi sebarang tanda, salah seorang daripada mereka yang sedari tadi lagi mencengkam kolar baju Jack, menghumban jejaka bermata biru itu ke lantai sehingga tubuh Jack menjunam jatuh pada sebuah meja.


Para pelajar yang berada di meja itu, terjerit melihat akan kejadian di hadapan mata mereka itu.


Sup yang dibeli oleh Jack sebentar tadi turut tidak dapat diselamatkan lagi. Sebahagian sup tertumpah pada bajunya dan sebahagian lagi menjadi penghias lantai kafe itu.


Mata Jack membesar saat melihat supnya itu menyembah ke lantai.


"Heh. Poyo punya budak. Kau fikir kau dah hancurkan separuh daripada pekan, kita orang akan takut pada kau?" Sinis sekali seorang daripada mereka bersuara. Tawa sinis kedengaran menyambut kata remaja senior itu.


Jack mendengus. Dia bingkas bangkit dari duduknya di lantai itu. Wajah senior-senior itu dilihatnya dengan bengis.


"Satu."


Terangkat kening mereka apabila mendengar perkataan yang keluar daripada ulas bibir Jack itu. Apa yang satu?


Jack tersengih sinis.


"Aku tak tahu apa yang kau orang tak puas hati sangat dengan aku."


Senior berkaca mata berdecit sinis. "Kita orang tak puas hati dengan kau? Apa kau mengarut ni? Sedangkan kau yang pijak kaki kawan aku ni dulu tiba-tiba dan sekarang kau nak salahkan kita orang?"


Kedengaran suara pelajar yang lain mengata sesuatu yang buruk mengenai Jack. Mereka semua percaya bahawa Jacklah yang memulakan semua itu dahulu.


Kali ini, tawa besar Jack terlepas sehingga tubuhnya tertunduk-tunduk. Geli perutnya apabila mendengar mereka berbicara seolah-olah merekalah mangsa. Play victim, huh?


Suasana bertukar hening. Sejujurnya kesemua mereka berasa agak seram apabila mendengar tawa itu. Meremang bulu roma mereka tatkala itu.


Beberapa ketika kemudian, tawa Jack beransur hilang. Dia mengangkat wajahnya sambil mengelap air mata kegembiraan yang tersisa di tubir matanya.


Dalam sekelip mata, riak wajahnya bertukar kosong. Bagaikan sebelum itu dia tidak pernah ketawa buat seumur hidup. Wajahnya bagaikan boneka yang kosong sahaja.


"Dua, kau nak selit kaki aku, aku tak peduli. Kau nak malukan aku di khalayak ramai, aku tak peduli. Kau nak tumpahkan makanan aku, aku peduli sikit ja tapi bila kau sentuh soal Kiran Dan keturunan aku dalam hal ini, maaf, kau memang cari nahas dengan aku."


"Terutamanya kau, Senior Louis." dia menyambung ayatnya.


Jejaka yang hanya melihat sahaja kejadian itu sedari tadi, tersentak hebat. Dia jelas tidak tentu arah saat kepala remaja bermata biru itu menyenget sedikit memandang ke arahnya yang terlindung di balik tubuh rakannya itu.


Jack kembali meluruskan kepalanya, memandang ke arah senior-senior derhaka di hadapannya ketika itu.


"Kau senior, tak semestinya aku akan tunduk pada kau." Serentak itu, satu tumbukan melayang ke wajah senior bercermin mata itu.


***


>vote n comment<

Comment