Bab 1



Di altar tari, masuk sembilan perawan berjalan berurutan. Lenggok gemulai tampak sopan. Tiba di tengah ruangan tubuh direndahkan sampai posisi pinggul hampir sejengkal daripada lantai. Busana, rias, tata rambut semuanya sama. Rambut digelung dan dirias dengan perhiasan indah.


Gerak tubuh diiringi gamelan lembut. Seakan bunyian membawa ke alam syadhu. Di tengah bunyian, terselit rasa nan hening. Semua bergerak lembut. Gerak berpadu dengan gamelan sang pengiring. Mereka terus bertari dengan halus dan tenteram.


Tubuh ditundukkan lalu ancang-ancang diambil untuk menyatukan tapak tangan dengan tepat. Memberi hormat kepada semua yang hadir. Peranan Batak, Gulu, Dadha, Endhel Weton, Endhel Ajeg, Apit Weneng, Apit Wingking, Apit Ngajeng dan Buncit. Mereka adalah simbol dalam diri manusia.


Mereka bertari di rumah pak lurah. Jemputan yang hadir adalah penduduk setempat yang sudah lelah bertani. Sebagai menghargai usaha mereka, pak lurah menghadiahi persembahan tari gamelan. Anak teruna pak lurah, Ardiono dan Ardiyanto turut asyik menyaksikan.


"Ini santap aku beri untuk kau. Kau akan ada bila aku ada. Kau bayang bagi aku, aku teman bagi kau. Kau ada, aku cantik dan asyik. Bersama aku, bersamalah dengan aku. Semua pria akan jatuh asyik dengan aku. Aku rupawan tanpa bandingan. Masuk ke dalam aku, menjadi teman akan aku, tujuh keturunan lamanya."


Di dalam sebuah bilik yang agak terpencil, bersimpuh nak dara dengan sedulang hidangan. Seekor ayam engkong bersama pulut kuning. Di sebelah dulang, terletak dupa perasap kemenyan. Atmaranti anak gadis terkecil pak lurah tidak turut menyaksikan pesta tari.


"Wahai eyang, menjelmalah sekarang." Diam diam dia mahu melaksanakan satu keinginan.


Atmaranti meletakkan tangan di atas dupa. Asap kemenyan yang meliuk lintuk ditadah dengan telapak tangan. Asap itu disapu pula ke seluruh wajahnya.


Sedang Atmaranti melakukan itu, lirik matanya mulai menghidu. Bayangan seorang wanita duduk di hadapan hidangan, talam berisi pulut kuning dan ayam sebagai engkong. Dada Atmaranti dipagut debar kencang. Namun dia sudah bersedia.


"Apa maumu, ning?" Ketar suara kedengaran. Merinding bulu roma Atmaranti. Ketakutan yang bertandang segera diusir.


"Wahai eyang, bantu aku. Aku mau kecantikan. Aku juga mahu muda terus-terusan. Makanya aku jamu eyang dengan makanan yang enak. Boleh kan eyang?" Atmaranti tunduk. Dada masih dipenuhi debar.


"Hihihi... apa kamu sudah cukup kuat, anak hingusan?" Wanita yang dipanggil eyang dan belum jelas sosok tubuhnya seakan mempersenda Atmaranti.


"U... udah, eyang. Aku udah cukup dewasa kok." Dakwa Atmaranti.


"Apa kamu udah bersedia?" Kali ini suara itu seakan menjerkah. Atmaranti menelan air liur.


"I... Iya, eyang... iya. Tapi apa syaratnya?" Gadis genit itu mulai berani.


"Kamu harus meniduri 44 orang teruna tanpa bernikah! Hihihi."


"Aaa... aaa... ." Atmaranti terkelu. Peluh mulai merenik di dahi.


"Hihihi... masih anak anak udah pasang angan-angan!" Sindir Eyang.


"Errr... aku sanggup kok, eyang. Aku sanggup. Asalkan semua pria jatuh cinta sama aku."


"Hihihi... hihihi."


Terasa bagai ada pusaran angin di sekitar bilik. Atmaranti memejamkan mata. Setelah tidak terasa lagi pusaran angin, dia membuka mata. Sebaik matanya terbuka, dia melotot melihat seorang nenek tua duduk membongkok di hadapan talam hidangan.


Rambut nenek tua yang panjang mengerbang menutupi sebahagian wajahnya. Sebaik menoleh memandang Atmaranti, jelas kelihatan wajah hodohnya. Kedua matanya terperosok jauh ke dalam. Hidungnya agak panjang dengan kulit yang menggerutu. Atmaranti memandang tanpa berkerdip.


Mulut nenek tua itu ternganga. Dia menjulurkan lidah yang panjang. Slurppp. Sebahagian


pulut kuning di dalam talam ditarik masuk ke mulutnya. Selepas itu tangan yang berkuku panjang mencarik engkong ayam. Disumbat ke dalam mulut lalu dikunyah dengan rakus.


Begitulah berulang kali. Hanya dalam beberapa saat pulut dan engkong ayam sudah menjadi santapan. Nenek tua menjilat-jilat talam yang sudah kosong. Atmaranti yang melihat, terkedu.


"Hihihi... bagus. Kamu perlu sediakan untuk aku pada setiap kali bulan mengambang penuh. Jangan biar aku kelaparan. Jika kamu tidak mampu memenuhi, aku tidak bisa mendampingimu lagi."


"Baik! Baik! Aku bisa kok eyang. Usah khuatir, aku bisa!" Atmaranti tidak berfikir panjang lagi.


Nenek tua angguk. Kalau tadi dia duduk membongkok, tubuhnya mulai tegak. Atmaranti setia memerhati. Perlahan-lahan tubuh yang tua dan buruk berubah menggiurkan. Seperti tubuh si gadis sunti yang belum pernah tersentuh lagi.


Kulit wajah yang menggerutu menjadi mulus menggoda. Sinar mata bagai bintang kejora. Rambut yang panjang mengerbang sudah bersanggul lintang. Atmaranti ternganga. Ayu sungguh perempuan yang duduk di hadapannya.


"Eyang?" gumamnya.


  "Hihihi. Panggil aku Cahyani. Kamu sudah bersedia?" soal Cahyani. Atmaranti masih terpaku  




  • Chapter list
  • Setting
    Background color
    Font
    Font size
    Frame width
    Spacing
  • Info
  • Comment
Comment